backup og meta

Ibu, Percayalah Seorang Anak Autisme Juga Boleh BERJAYA! Ini Contohnya...

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 14/08/2023

    Ibu, Percayalah Seorang Anak Autisme Juga Boleh BERJAYA! Ini Contohnya...

    Bolehkah seorang kanak-kanak autisme berjaya dalam kehidupannya tanpa mengharapkan individu lain? Siapa kata ia sesuatu yang mustahil? Ini adalah kisah mengenai seorang autistik yang berjaya mencipta inovasi dalam penternakan…

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Si kanak-kanak autisme yang genius

    Apabila menyebut tentang kanak-kanak autisme, perkara pertama yang terbayang di benak pastilah kesukaran mereka menyesuaikan diri dengan norma hidup seharian.

    Percaya atau tidak, terdapat tokoh autisme yang berjaya dalam kerjaya mereka, menepikan segala rintangan dan cabaran yang mereka hadapi daripada zaman kanak-kanak hingga dewasa.

    Proses pembelajaran dan pengajaran untuk kanak-kanak autisme sememangnya sangat mencabar, tetapi tidak mustahil pendidikan mampu mengubah, bahkan melahirkan genius dalam kalangan kanak-kanak autisme.

    kanak-kanak autisme

    Dr Temple Grandin daripada Boston, Massachusetts merupakan seorang tokoh ternama dalam bidang penternakan haiwan di Amerika Syarikat.

    Beliau yang menghidap autisme, mempunyai kesulitan bercakap dan tidak gemar disentuh ketika kecil.

    Walaupun disarankan doktor agar dimasukkan ke dalam institusi jagaan, ibunya nekad membesarkan Grandin agar mendapat pendidikan seperti orang lain.

    Dengan sokongan daripada ibunya dan bimbingan mentor di sekolah, beliau menamatkan pendidikan dengan jayanya dan mencipta kerjaya sebagai seorang pakar haiwan dan rujukan keibubapaan untuk kanak-kanak autistik.

    Sewaktu menghadiri kolej, disebabkan tekanan yang dialaminya sendiri, beliau mencipta ‘mesin peluk’ yang membantu menenangkan seorang autistik yang terlebih sensitif kepada ransangan deria.

    Uniknya, idea tersebut datang apabila beliau melihat bagaimana lembu menjadi lebih tenang apabila dimasukkan ke dalam kandang pemeriksaan.

    Pengenalan beliau dengan haiwan ternakan bermula dengan cuti musim panas yang dihabiskannya di ladang penternakan kepunyaan ibu saudaranya. Di kawasan peternakan itu, beliau mula berkembang minat pada lembu.

    Daripada pemerhatiannya, beliau mendapati bahawa cara beliau ‘befikir secara visual’ sama seperti haiwan ternakan tersebut.

    Baca juga:

    Ini cara kanak-kanak autisme melihat dunia

    Menurut beliau, sebagai seorang autistik, beliau melihat dunia seperti kebanyakan haiwan: tempat menakutkan tanpa dapat membaca emosi orang lain dan fikiran hanya dalam bentuk visual dan bukannya kata-kata.

    Persamaan antara cara beliau dan haiwan mencerap persekitaran membantu beliau memahami keadaan haiwan. Menurut beliau lagi, beliau tidak berfikir dalam bentuk perkataan dan bahasa, tetapi dalam bentuk deria ransangan.

    Segala sentuhan, bau, visual menjadi memori yang dikategorikan.

    Demikian juga pemerhatian beliau kepada haiwan. Sebagai contohnya beliau mendapati sewaktu lembu diberikan vaksin, ada sesetengahnya meronta manakala ada yang tenang.

    Setelah diselidik, beliau mendapati lembu yang panik menjadi takut disebabkan melihat bayang-bayang.

    Tambah beliau lagi, haiwan mempunyai emosi. Tetapi rasa takut cenderung menjadi salah satu emosi paling utama.

    Beliau juga percaya bahawa haiwan juga mempunyai bakat tertentu. Seperti burung yang berhijrah dengan hanya mengingati laluannya kerana memori berdasarkan deria.

    Segala apa yang dilihat dan dihidu sepanjang perjalanan membentuk memori yang diingati mereka.

    kanak-kanak autisme

    Inovasi penternakan haiwan yang beretika daripada seorang autistik

    Pemerhatian dan kajian teliti yang dilakukan beliau akhirnya membolehkannya membuat penambahbaikan dalam industri ternakan, dan pada tahun 1975 selepas mendapat ijazah sarjana, beliau yang merupakan seorang kanak-kanak autisme pada zaman kecilnya menubuhkan syarikat Grandin Livestock Handling Systems.

    Sepanjang kariernya, Grandin memulakan perubahan besar dalam industri ternakan seperti merancang pelbagai inovasi pada pusat ternakan yang membantu mengurangkan tekanan pada haiwan sebelum disembelih.

    Disebabkan jasa beliau, industri penternakan haiwan di Amerika Syarikat tidak lagi sekadar melibatkan cowboy yang melayan haiwan dengan kasar tanpa memahami dan bersimpati dengan keadaan haiwan tersebut.

    Kisah hidup beliau juga menjadi inspirasi kepada filem Temple Grandin. Beliau membuktikan bahawa perbezaan sebagai seorang autistik bukan bermakna kekurangan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 14/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan