Ibu bapa mana yang tidak teruja apabila anak sudah pandai bercakap atau sekurang-kurangnya menyebut beberapa perkataan. Namun, tidak ramai yang tahu cara nak ajar anak bercakap dengan betul. Untuk ibu bapa di luar sana, kami kongsikan di sini pengalaman dan tips anak cepat bercakap yang diamalkan oleh Puan Siti Nurnabilah untuk manfaat kita bersama.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Safiya Imani, anak yang aktif tetapi mudah diurus
Pasangan Puan Siti Nurnabilah Muhammad Fairul Anuar dan Encik Ahmad Ashraf Ghazali dikurniakan cahaya mata pertama, Safiya Imani, yang kini sudah pun berumur 1 tahun 9 bulan.
Menurut Nurnabilah, anaknya yang hanya dipanggil Safiya ini ialah seorang yang sangat aktif dan tidak gemar untuk duduk diam.
Walaupun begitu, anaknya ini merupakan seorang kanak-kanak yang mudah mendengar kata walaupun hanya berusia hampir dua tahun.
Safiya juga bukanlah jenis kanak-kanak yang mudah meragam kerana ibu ini amat menjaga waktu tidur, makan dan emosi si anak.
Jadi, boleh dikatakan Safiya amat mudah diurus dalam pelbagai aspek.
Ajak berbual sejak Safiya masih dalam kandungan
Nurnabilah telah mula bercakap atau berbual bersama anaknya sejak awal kandungan lagi.
Menurutnya, setelah Safiya lahir, dia telah mula merancang pelbagai aktiviti yang sesuai dengan umur anaknya itu.
Antaranya membacakan flashcard dan buku cerita sewaktu sedang menyusukan, memandikan atau memakaikan lampin anaknya.
Walaupun dia sedar anaknya tidak boleh memberikan respons pada ketika itu (disebabkan masih pada usia bayi), namun dia tahu si anak mendengar setiap patah perkataan yang disebutkannya.
Berkat usahanya yang berpanjangan, Safiya berkemampuan untuk menyebut beberapa perkataan seperti Allah, Abi (panggilan untuk ayahnya) dan juga Abu (ibu).
Kata Nurnabilah lagi, sebelum anaknya pandai bercakap, dia sendiri telah mengajarkan bahasa isyarat kepada Safiya, seperti jika mahukan susu dan sebagainya. Jadi, dia lebih faham kemahuan anaknya pada ketika itu.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Jom cuba 5 tips anak cepat bercakap yang dikongsikan Puan Nurnabilah ini
Terdapat 5 kaedah atau cara nak ajar anak bercakap yang boleh kita amalkan berdasarkan pengalaman Nurnabilah. Anda boleh cuba tips anak cepat bercakap di bawah ini:
Tips anak cepat bercakap 1: Ibu ayah kena libatkan diri dengan aktiviti anak
Sejak Safiya berusia 1 bulan, Nurnabilah dan suami telah membeli pelbagai buku bacaan untuk dibacakan bersama-sama.
Semakin Safiya membesar, dia sudah tahu untuk menyebut nama sesuatu benda atau watak dalam buku yang dibaca.
Semua ini berkat usaha Nurnabilah yang menyebabkan anaknya sentiasa mendengar apa yang dibacakan kepadanya.
Tips anak cepat bercakap 2: Bercakap dengan penuh ekspresi muka
Ibu ini juga akan menunjukkan ekspresi muka seperti teruja dan sebagainya ketika berbual bersama si anak.
Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa ada eye contact sewaktu bercakap dengan anak.
Dengan cara ini, anak akan lebih cepat ‘tangkap’ apabila melihat ekspresi muka dan juga gerak mulut ibu bapa.
Ini lebih berkesan jika ditambah dengan nada suara yang sesuai seperti intonasi yang ceria ketika bercakap.
Tips anak cepat bercakap 3: Kurangkan penggunaan gajet untuk anak
Nurnabilah tidak menafikan kebaikan gajet. Namun sebagai ibu bapa, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk mengawal penggunaan gajet oleh anak-anak.
Sebaliknya, pendekatan yang dilakukan ibu ini adalah dengan menonton video pada gajet dan berinteraksi bersama-sama anaknya.
Dia juga akan mengehadkan waktu penggunaan gajet tidak lebih satu jam setiap hari untuk Safiya.
Selebihnya, Safiya akan bermain dengan alat permainan fizikal sahaja bersama-sama dengan ibunya.
Tips anak cepat bercakap 4: Guna perkataan yang pendek, betul dan jelas
Nurnabilah juga tidak mengamalkan kaedah baby talk seperti ‘Jom mamam’.
Walaupun ia kedengaran agak comel, namun ia tidak sesuai untuk perkembangan jangka panjang anak.
Gunakan perkataan yang pendek, betul dan jelas seperti ‘Jom makan’ atau ‘Jom eat’. Ini merupakan cara nak ajar anak bercakap yang betul.
Tips anak cepat bercakap 5: Berikan anak masa untuk belajar
Ibu bapa tidak disarankan untuk terlalu memaksa atau menekan anak untuk belajar bercakap.
Ini kerana, anak akan mudah berasa stres dan tidak akan memberikan kerjasama yang baik.
Oleh itu, jangan sesekali memaksa anak untuk menyebut sesuatu perkataan.
Kita perlu mengikut rentak anak ketika mengajar mereka, bukannya anak yang perlu mengikut rentak kita sebagai orang dewasa.
Jika kita mengikut rentak anak, anak akan lebih fokus, memberikan perhatian dan memahami apa yang disampaikan.
Kita mudah faham apa yang anak mahukan apabila anak pandai bercakap
Berdasarkan pengalaman yang dilalui, Nurnabilah lebih memahami kemahuan anaknya apabila si anak sudah pandai bercakap atau menyebut perkataan.
Bukan itu sahaja, Safiya juga lebih mudah untuk memahami arahan dan mendengar kata.
“Apabila ibu bapa mudah memahami kemahuan anak, anak juga akan mudah mendengar kata ibu bapa. Kesannya, emosi ibu dan anak juga akan menjadi lebih gembira dan positif. Alhamdulillah!” kata Nurnabilah.
Cabaran utama membesarkan anak di samping berbisnes
Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa yang menceburkan diri dengan bisnes dalam talian, cabaran utama untuk Nurnabilah ialah pengurusan masa.
“Pada awalnya, agak mencabar untuk membahagikan masa mengurus bisnes, membuat iklan dan melayan anak sentiasa. Tetapi tidak mengapalah. Saya bersyukur walaupun penat melayan Safiya dan kekurangan masa untuk diri sendiri. Waktu anak masih kecil ini hanya sekali dan tidak boleh diulang lagi,” katanya mengakhiri perbualan.
Semoga tip yang dikongsikan ibu ini berguna untuk parents di luar sana. Ingin berkongsi tip keibubapaan yang lain bersama kami? Ayuh sertai komuniti kami di sini.