Hendak mengajar anak suka makan sayur bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi jika mahu menarik minat mereka untuk makan sayur setiap hari. Namun, setiap kesukaran dalam fasa keibubapaan itu pasti ada jalan keluarnya. Begitu juga dengan keluarga ini yang berkongsi tip dengan Hello Doktor. Ini cara bagaimana Puan Aida Adibah dan suaminya mengajar anak kecil mereka makan sayur setiap hari.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Wan Muhammad Firas Aidan, cahaya mata pertama Puan Aida
Puan Aida Adibah Samin bersama suaminya, Encik Wan Farizzudin Wan Mohd Shaari telah dikurniakan cahaya mata pertama yang bernama Wan Muhammad Firas Aidan.
Anaknya yang lebih manja dipanggil Firas ini sudah berusia hampir 1 tahun (11 bulan).
Semasa dalam proses tumbesarannya, Firas dilihat sebagai seorang kanak-kanak yang agak aktif, manja dan juga peramah.
Malah, Firas juga dikatakan suka menyapa orang lain dan gemar bermain dengan kanak-kanak seusianya.
Beri anak makan sayur setiap hari seawal 6 bulan
Aida telah mula memperkenalkan sayur-sayuran kepada anaknya itu sejak dia berusia 6 bulan lagi.
Ini kerana, 6 bulan merupakan usia ideal di mana kanak-kanak sudah mula boleh diberikan makanan selain susu ibu.
Aida memastikan setiap makanan yang disuapkan kepada Firas akan mempunyai kandungan sayur-sayuran walaupun sedikit.
Tambahan pula, anaknya memang gemar makan, jadi dia tidak mengalami kesukaran untuk menyuap sayur kepada Firas.
Setakat ini, Firas suka makan sayur yang disuapkan kepadanya dan tidak menolak setiap kali diberi.
4 panduan didik anak suka makan sayur
Berdasarkan pengalaman Aida membesarkan anak pertamanya, ada beberapa teknik atau tip untuk galakkan si anak minat makan sayur.
Antara kaedah yang diamalkan ialah:
#1. Kenalkan sayur seawal 6 bulan
Apabila anak sudah mencecah usia 6 bulan, ibu bapa boleh mula memperkenalkan sayur-sayuran kepada anak. Namun, ia bukanlah dengan cara seperti individu dewasa makan sayur.
Sebaliknya, campurkan sayur dalam setiap makanannya untuk dijadikan puri.
Sebagai contoh, jika anda memasak bubur bayi, boleh masukkan puri lobak merah ke dalamnya kemudian kacau, ataupun bubur boleh dikisar bersama dengan lobak tersebut.
#2. Pelbagaikan jenis sayuran dalam makanan bayi
Ibu bapa juga disarankan untuk mempelbagaikan jenis sayuran dalam makanan anak, tidak terhad kepada satu jenis sahaja setiap hari.
Ini untuk mengelakkan anak atau bayi berasa jemu dengan sayuran yang sama.
Selain itu, ia juga sebagai teknik mengajarkan anak mengenali rasa sayur yang berlainan.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
#3. Mahu anak suka makan sayur? Jadikan sayur sebagai snek
Teknik ini mungkin agak jarang diamalkan. Namun, Aida mengaplikasikan kaedah ini disebabkan beberapa kelebihannya.
Menurut Aida,
“Jadikan sayur sebagai snek ketika waktu anak sedang makan. Contohnya, semasa ibu sedang menyuapkan nasi, sediakan sayur-sayur seperti lobak merah atau brokoli untuk dipegang oleh anak sebagai snek. Dalam masa yang sama, ia dapat merangsang atau mengembangkan kemahiran anak untuk menggunakan deria dan motor halus mereka”.
#4. Berikan sayur yang sesuai dengan peringkat umur
Untuk anak-anak kecil atau yang masih bertatih untuk makan, berikan sayur-sayuran yang lembut teksturnya.
Ini untuk memastikan agar ia boleh digigit atau dikunyah dengan baik sebelum ditelan.
Selain itu, sayur dengan saiz dan tekstur yang sesuai boleh mengelakkan anak daripada tercekik ketika memakannya.
Nutrisi lebih lengkap bila anak suka makan sayur
Kanak-kanak memerlukan nutrisi yang baik dan lengkap agar tumbesaran mereka berjalan dengan sempurna.
Menurut Aida, apabila Firas minat makan sayur setiap hari, ia boleh membantu memberikan nutrisi yang lengkap.
Dengan itu, dia tidak perlu risau berkenaan perkembangan anaknya setiap hari.
Cabaran? Tidak semua makanan disukai oleh Firas
Tambah Aida lagi, dia sendiri tidak mempunyai sebarang masalah atau kesukaran untuk mengajar anaknya suka makan sayur.
Namun cabaran utamanya ialah jenis makanan yang dihidangkan itu.
Tidak semua jenis makanan yang diberikan kepada Firas akan disukainya. Oleh itu, agak mencabar untuk memujuk anaknya itu memakan makanan yang kurang digemari.
Selain itu, disebabkan umurnya yang masih kecil, tempat makan pasti akan bersepah jika Firas diberikan peluang untuk makan sendiri.
Pun begitu, Aida faham ini adalah salah satu proses tumbesaran anaknya, jadi dia dan suami masih akan terus memberikan anak cuba pelbagai jenis makanan yang berkhasiat agar Firas tidak memilih makan apabila besar.