Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Duit Raya Anak Selalu ‘Lesap’? Ini 5 Tempat Paling Selamat Untuk Simpan!
Setiap kali Hari Raya Aidilfitri tiba, kanak-kanak pasti teruja dapat duit raya daripada ahli keluarga dan kenalan. Walaupun jumlahnya mungkin kelihatan kecil, tetapi jika dikumpul dan disimpan, ia akan menjadi simpanan yang bermanfaat untuk masa depan si cilik ini. Ibu bapa yang celik kewangan akan menyimpan dan membantu membina tabiat menabung pada anak-anak.
Kami akan kongsikan tempat yang praktikal dan selamat untuk ibu bapa simpan duit raya 2026 si anak.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, boleh klik di sini.
Kenapa perlu simpan duit raya anak dengan betul?
Duit raya yang anak anda dapat ialah amanah yang anda perlu diuruskan dengan baik. Walaupun ia sekadar jumlah yang kecil, jika ia dikumpul bertahun-tahun, ia boleh menjadi jumlah yang besar!
Berikut adalah kelebihan menyimpan duit raya anak:
Beri keyakinan buat si anak dalam mengendalikan kewangan
Lebih bersedia dalam tanggungjawab kewangan semasa dewasa
Mengelakkan duit raya digunakan secara berlebihan
5 Pilihan untuk simpan duit raya anak
1. Akaun bank simpanan
Simpanan duit di akaun bank simpanan merupakan pilihan yang mudah untuk simpan duit raya 2026 anak anda kerana ia mudah diuruskan.
Sesetengah bank menyediakan akaun simpanan junior kerana ia direka khusus untuk kanak-kanak, biasanya dengan pengawasan ibu bapa.
Akaun ini selalunya disertakan dengan ciri yang disesuaikan untuk penabung muda, seperti keperluan baki minimum yang lebih rendah dan kadar faedah yang lebih tinggi berbanding dengan akaun simpanan biasa.
Antara bank yang menawarkan akaun kanak-kanak:
Hong Leong
Maybank
CIMB
Bank Islam Malaysia
Menyimpan duit raya si kecil di dalam akaun simpanan bank lebih mudah diuruskan.
2. SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional)
SSPN ialah tabung pendidikan yang boleh dibuka seawal umur 1 hari. Skim Simpanan Pendidikan Nasional ini bertujuan untuk memupuk sifat menabung bagi pendidikan tinggi anak anda yang masih kecil.
Dengan mendaftar di SSPN, anak anda dapat menikmati pemberian dividen setiap tahun, pelepasan taksiran cukai pendapatan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000, perlindungan takaful percuma serta khairat kematian.
Di sini, parent boleh pilih untuk buka akaun Simpan SSPN Prime atau Simpan SSPN Plus.
3. Lembaga Tabung Haji
Bagi individu yang beragama Islam, anda boleh menyimpan duit raya anak melalui pembukaan akaun di Lembaga Tabung Haji. Tabung Haji ialah risiko pelaburan yang rendah, disebabkan itulah ia sering menjadi pilihan ramai.
Jangan risau, anda hanya perlu sediakan RM100 bagi deposit minimum pembukaan akaun. Jika anda berminat untuk pendaftaran haji, jumlah simpanan asas yang diperlukan ialah RM1300.
Ibu bapa atau penjaga mestilah warganegara Malaysia dan telah membuka akaun TH
Hanya seorang penjaga dibenarkan untuk setiap akaun kanak-kanak
Penjaga mesti mengemukakan dokumen yang sah dan salinan
Sijil kelahiran
Dokumen pengenalan anak (MyKAD or MyKID)
Dokumen pengenalan penjaga
4. ASNB (Amanah Saham Bumiputera)
Antara tempat yang popular bagi menyimpan duit raya anak anda ialah di ASNB Bijak. ASNB adalah antara platform yang dapat memberikan pulangan dividen yang tinggi dan risiko pelaburan yang rendah. Jadi, ibu bapa jangan lepaskan peluang ya!
Untuk membuka akaun ASNB, berikut antara dokumen yang diperlukan:
Borang DF ASNB – Unit Pendaftaran Amanah
Kad Pengenalan dan/atau Sijil Kelahiran Anak Bawah Umur
Kad Pengenalan Penjaga Berdaftar
Tunai bersamaan/lebih daripada langganan awal yang diperlukan untuk setiap dana unit amanah
5. Emas
Jika anda ingin lakukan sedikit kelainan, simpanan emas adalah jawapannya bagi menyimpan duit raya anak. Anda boleh menyimpan ia di mana-mana platform sama ada secara fizikal atau digital. Namun, pastikan anda daftarkan di tempat dan institusi yang sah bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa penipuan pelaburan emas.
Duit raya yang besar nilainya…
Duit raya bukan sekadar pemberian sempena hari perayaan, tetapi juga peluang yang bermanfaat untuk mendidik anak tentang pengurusan kewangan. Dengan pendekatan yang betul, ibu bapa boleh membantu anak membina tabiat menabung, memahami nilai wang dan merancang masa depan mereka sejak kecil.
Mulakan dengan langkah kecil seperti menggunakan tabung, membuka akaun simpanan dan tetapkan matlamat terutama selepas mereka habis belajar kelak. Ingat, didikan kewangan yang baik hari ini akan memberi manfaat besar kepada anak pada masa hadapan.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Teaching Your Child Financial Literacy With Kids’ Savings Account. https://www.hlb.com.my/en/personal-banking/blog/hlb-teaching-your-child-financial-literacy-with-kids-saving-account.html . Accessed on April 9, 2026
What are the pros and cons of saving? . https://moneyready.org/library/what-are-the-pros-and-cons-of-saving/ . Accessed on April 9, 2026
Pembukaan Akaun . https://www.tabunghaji.gov.my/pembukaan-akaun . Accessed on April 9, 2026
Register ASNB & Become the Investing . https://www.asnb.com.my/registration . Accessed on April 9, 2026
Buka Akaun Simpan SSPN Plus untuk Simpanan Pendidikan Anak Anda Seawal 1 Hari . https://www.ptptn.gov.my/buka-akaun-simpan-sspn-plus-untuk-simpanan-pendidikan-anak-anda-seawal-1-hari/. Accessed on April 9, 2026
Simpan SSPN Prime . https://www.ptptn.gov.my/simpan-sspn/simpan-sspn-prime/ . Accessed on April 9, 2026
Versi Terbaru
10/04/2026
Ditulis oleh Norhanan Abdul Latip
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor