backup og meta

Ini 3 Menu Hari Raya Sedap & Sihat! Barulah Berat Badan Tak Naik Selepas Raya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 3 minggu lalu

    Ini 3 Menu Hari Raya Sedap & Sihat! Barulah Berat Badan Tak Naik Selepas Raya

    Hari raya yang dinantikan bakal tiba. Menu raya menjadi antara tumpuan utama setiap rumah yang dikunjungi. Boleh dikatakan setiap menu jamuan raya ingin dicuba apatah lagi setelah sebulan berpuasa. Namun, tidak kira ketika berpuasa atau hari raya, anda masih perlu mengamalkan tabiat dan gaya pemakanan yang sihat agar tidak membahayakan kesihatan anda.

    Kami berikan beberapa menu raya yang sedap dan sihat selain beberapa tip sihat sepanjang Syawal.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Menu raya yang sedap dan sihat

    Pada hari raya, kita biasa memasak atau dihidangkan dengan menu-menu klasik seperti rendang ayam, lontong, lemang, nasi himpit dan lain-lain lagi.

    Ia sudah tentu menyelerakan dan menyemarakkan lagi suasana hari raya tersebut.

    Namun, jika anda dalam fasa berdiet atau ingin menjaga pengambilan makanan anda, mungkin anda boleh menyediakan menu-menu di bawah ini ketika hari raya nanti:

    #1. Menu makan malam untuk tetamu ketika raya: Laksa utara

    menu raya
    Menu jamuan raya yang paling popular.

    Laksa utara atau asam laksa merupakan menu jamuan raya yang boleh dikategorikan sebagai hidangan sihat.

    Ini kerana kuahnya tidak ditumis, melainkan dengan kaedah rebus sahaja. Kuahnya juga terbuat daripada ikan yang membekalkan sumber protein untuk badan.

    Selain itu, laksa utara juga kaya dengan sayur-sayuran seperti salad, timun, bawang, cili dan nanas.

    Untuk menjadikannya lebih sihat, kurangkan pengambilan mi laksa tersebut kerana ia mengandungi karbohidrat yang agak tinggi dan perlu dimakan secara berpada-pada.

    #2. Lontong atau lodeh

    Lontong merupakan sejenis makanan yang berasal daripada masyarakat Jawa dan ia lebih sinonim dengan orang Johor.

    Ia merupakan hidangan nasi himpit yang dimakan bersama kuah lodeh; kuah santan dengan kandungan sayur-sayuran.

    Menu raya yang ringkas ini juga boleh dikatakan agak sihat kerana kuahnya juga tidak ditumis.

    Kuah lodeh biasa dimasukkan dengan pelbagai jenis sayuran seperti lobak merah, kubis putih, kacang panjang dan sengkuang. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sumber protein seperti telur ayam rebus, tempeh dan tauhu.

    Namun begitu, memandangkan nasi himpit merupakan bahan utama hidangan ini, anda perlu mengawal pengambilannya disebabkan kandungan karbohidrat yang tinggi.

    Selain itu, anda juga boleh menggunakan santan cair atau susu rendah lemak ketika memasak kuah lodeh. 

    #3. Soto

    soto
    Makanan yang seimbang.

    Terpulang kepada anda sama ada mahu memasak soto ayam atau soto daging, kerana kedua-duanya amat sedap dan boleh dikatakan sebagai menu jamuan raya yang seimbang.

    Soto mengandungi nasi himpit sebagai sumber karbohidrat, isi ayam atau potongan daging sebagai sumber protein, kekacang untuk mendapatkan mineral dan daun bawang sebagai sumber vitamin.

    Untuk menyediakan hidangan soto yang lebih sihat, kurangkan penggunaan minyak ketika menumis kuahnya dan pastikan lemak dan kulit ayam tidak digunakan.

    Kurangkan juga penggunaan garam dalam masakan soto di rumah semasa hari raya. 

    Tip makan menu raya secara sihat semasa hari raya

    Agak sukar untuk mengawal nafsu makan semasa hari raya. Ini kerana ia seolah-olah pesta makanan setelah sebulan berpuasa ketika bulan Ramadan.

    Apatah lagi jika dihidangkan dengan masakan yang agak jarang dijumpai, maka kita cenderung untuk makan dengan jumlah yang banyak.

    kalori makanan
    Kalori makanan semasa raya.

    Bagi memastikan anda mengawal pemakanan semasa hari raya, ikuti tip-tip di bawah ini:

    • Kurangkan jenis makanan karbohidrat. Hari raya biasanya dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan bersumberkan karbohidrat seperti nasi himpit, mi, lemang dan lain-lain lagi. Ambil dengan kadar yang sedikit jika anda merancang untuk menziarahi banyak rumah. 
    • Kurangkan makanan bersantan. Tidak salah untuk merasa rendang, kuah lemak, kuah kacang dan lain-lain lagi. Tapi makanlah dengan kadar yang berpada-pada. 
    • Kurangkan kuih-muih. Kuih raya juga merupakan antara menu raya yang tidak boleh dilepaskan ketika hari lebaran. Cukup sekadar merasa sebiji dua sahaja, dan jangan makan kuih raya seperti tiada hari esok. 
    • Kurangkan air manis. Salah satu cara mudah untuk kurangkan kalori semasa hari raya dengan mengelakkan minuman manis. Tidak kira ia air teh, air kordial, air berperisa apatah lagi air bergas, semuanya perlu dielakkan. 
    Menu raya di mana-mana rumah yang anda hadiri pastinya boleh menambat selera kita.
    Namun ingat, hari lebaran hanya sebulan, dan jika anda menambah kalori secara berlebihan pada hari tersebut, kesannya boleh bertahan bertahun lamanya.
    Makanlah secara berpada-pada dan bukan makan kerana risau ia akan habis. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 3 minggu lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan