backup og meta

Tip Ajar Anak Tulis ABC? Mama Boleh Mula Dengan 5 Cara Ini, Baru Si Kecil Seronok!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/12/2022

    Tip Ajar Anak Tulis ABC? Mama Boleh Mula Dengan 5 Cara Ini, Baru Si Kecil Seronok!

    Lagu ABC menjadi antara lagu popular yang menjadi hafalan bagi anak kecil. Bahkan ia mungkin menjadi lagu pertama yang anda ajarkan kepada si kecil. Tetapi bagaimana caranya untuk mengajar anak belajar menulis ABC?

    Ketahui caranya dalam perkongsian artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Tanda anak bersedia untuk belajar menulis

    Sebelum anak mula belajar menulis ABC prasekolah, mereka biasanya akan membuat kesimpulan setiap tulisan yang dilihat mempunyai makna.

    Sebagai contoh, apabila melihat tulisan dalam buku, apa yang anda tulis, papan tanda jalan, sari kata rancangan dan lain-lain.

    Sekiranya anda tidak pasti sama ada si kecil sudah bersedia untuk belajar menulis atau tidak, tanya beberapa soalan ini kepada diri sendiri:

    • Bolehkah mereka mengenali huruf apabila melihatnya?
    • Adakah mereka berminat atau bertanya bagaimana untuk menulis?
    • Adakah anak berpura-pura menulis seperti membuat coretan atau simbol untuk ‘surat’ mereka?
    • Adakah mereka tahu cara memegang pensel dengan betul semasa menulis atau mewarna?
    • Adakah mereka cuba bereksperimen dengan menulis ejaan nama mereka, walaupun tunggang-langgang?

    Jika kebanyakan jawapan bagi persoalan di atas adalah ya, maka anak kini sudah bersedia untuk diajar menulis!

    Petua mengajar anak belajar menulis abc

    Mempelajari cara menulis abjad adalah salah satu langkah pertama dalam perjalanan pembelajaran anak.

    Biasanya kebanyakan ibu bapa akan memberikan anak buku latihan penulisan abjad untuk mereka belajar menulis. Namun ada kalanya cara ini tidak berkesan.

    Apa kata anda cuba tip berikut:

    belajar menulis abc

    1. Latihan menguatkan tangan

    Sebelum belajar menulis ABC prasekolah, anda disarankan untuk menggalakkan si kecil melakukan perkara melibatkan kemahiran motor halus bagi membantu memudahkan pembelajaran penulisan tangan nanti. 

    Antara aktivitinya:

    • Melukis
    • Mewarna 
    • Menyurih garis lurus, garis senget dan bentuk seperti bulatan
    • Membuat rantai daripada manik
    • Melukis dengan pasir atau tepung
    • Menggunakan gunting
    • Mengambil pompom dengan penyepit dan pelbagai lagi

    2. Menulis huruf menggunakan aktiviti deria

    Aktiviti menulis deria atau sensory letter writing merupakan cara menyeronokkan untuk menulis abjad tanpa penggunaan pensel atau kertas.

    Tunjukkan contoh kepada anak cara untuk membentuk huruf dengan menulis di atas tanah atau pasir. 

    Seperkara yang perlu anda ketahui, walaupun anak melihat anak menulis huruf B dari atas ke bawah, itu tidak bermakna mereka akan melakukan dengan cara yang sama.

    Terdapat banyak cara fun lain yang boleh dilakukan dengan menggunakan barangan rumah seperti chopstick, blok mainan, putik kapas dan sebagainya untuk membentuk abjad lurus.

    Selain itu, berikan anak tanah liah atau slime, reben atau tali kasut untuk membentuk huruf berlekuk.

    belajar menulis abc

    3. Latihan menulis yang kerap

    Apabila diberikan kertas, anak mungkin akan mencontengnya berbanding menulis. Jangan memarahi mereka kerana itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebaliknya galakkan mereka untuk menconteng.

    Semakin anak membesar, akan berlaku perubahan daripada contengan kepada menghasilkan bentuk tertentu seperti orang lidi – hasil gabungan bentuk bulat dan garis lurus. 

    Bahkan lama-kelamaan, anak turut akan belajar melukis bentuk seperti segi tiga walaupun garisannya senget.

    4. Belajar menulis ABC di kertas kosong

    Umumnya, anak cenderung untuk mula menulis huruf besar. Jadi berikan anak sekeping kertas kosong yang besar, seperti kertas A4.

    Dalam proses mengajar anak, anda boleh menulis abjad besar atau kecil pada sudut kertas untuk dijadikan contoh buat si kecil.

    Untuk membuat anak tertarik, sediakan pensel warna atau krayon buat mereka.

    5. Surih huruf di atas kertas

    belajar menulis abc

    Berlatih menulis pada kertas surih bergaris dapat mengajar mereka mengenai garisan, bahkan ini merupakan kaedah yang akan diajar di tadika.

    Buku latihan menulis seperti ini banyak terdapat di pasaran. Tambahan pula, kebanyakannya turut menyediakan contoh anak panah dan turutan nombor cara menulis abjad ini.

    Jika anda mahu membuatnya sendiri, apa yang diperlukan adalah kertas bergaris kosong dan isikan huruf tertentu dalam bentuk titik dengan pen. 

    Urutan betul belajar menulis ABC prasekolah

    Apabila menyebut ABC, anda pastikan mahu mengajar anak menulis abjad ini mengikut urutan, betul tak? Hakikatnya adalah tidak semestinya anda perlu mengikut susunan abjad. 

    Cara terbaik adalah dengan memulakan huruf lebih mudah terlebih dahulu sebelum ke huruf yang agak mencabar.

    Langkah pertama: L, I, H, E, F, T

    Langkah kedua: V, X, N, M, W, A, Y, K, Z

    Langkah ketiga: C, D, B, O, P

    Langkah keempat: U, J, Q, R, S, G

    Baca juga:

    Berikan galakan!

    Sebagai ibu bapa, pastinya kita mahu anak melakukan yang terbaik. Namun apabila bercakap mengenai belajar menulis, ia memerlukan banyak latihan.

    Apabila anak berasa dikritik dan tidak diberikan galakan, mereka boleh menjadi sedih, kecewa dan tidak mahu belajar menulis ABC lagi. Jadi daripada memberikan kritikan, apa kata anda berikan sokongan. 

    Gunakan frasa ayat seperti “Cantik dah tulisan anak Mama ini! Lain kali Husna pastikan B menyentuh garisan tengahnya, okay sayang?” berbanding “Bentuk B ini kena betul-betul bulat, baru betul”.

    Semoga bermanfaat dan selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan