Jika anak anda seorang yang aktif, pasti agak sukar untuk menyuruhnya tidur awal. Kadangkala sudah tidak tahu lagi apa yang perlu dilakukan supaya anak terbiasa lena awal. Ingin tahu kaedah agar anak anda tidur cepat di rumah? Kami kongsikan di sini beberapa tips tidur awal yang dilakukan oleh ibu muda ini agar anak anda juga boleh membiasakan diri dengan tabiat tersebut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Iman Naufal, aktif dan pandai berkomunikasi
Adik Iman Naufal, 4 tahun, merupakan kelahiran sulung bagi pasangan Puan Nur Madihah dan juga Encik Mohd Hafizi.
Menurut ibunya, Iman Naufal adalah seorang kanak-kanak yang sukakan cabaran dan gemar berkomunikasi dengan orang lain.
Selain itu, Iman Naufal juga sangat suka beraktiviti dan bermain bersama kanak-kanak lain.
Tidur awal penting untuk perkembangan anak
Nur Madihah telah mula membiasakan Iman Naufal untuk tidur cepat setiap malam sejak anaknya masih kecil lagi.
Ini kerana, dia berpendapat bahawa tidur cepat setiap hari sangat penting untuk perkembangan dan tumbesaran anak selain daripada memberikan si kecil pemakanan yang sihat.
Dalam mengajar anaknya tabiat lena awal, Nur Madihah akui bahawa terdapat banyak proses ‘try and error’ sebelum betul-betul dapat membiasakan anaknya dengan rutin tidur cepat setiap malam.
Walau bagaimanapun, lama-kelamaan anaknya itu sudah terbiasa untuk tidur cepat dan akan masuk ke bilik sendiri apabila sudah sampai waktunya.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
5 tips tidur awal yang ibu ini ajarkan kepada anaknya
Berdasarkan temu bual bersama Nur Madihah, terdapat beberapa tip yang digunakan untuk mendidik anaknya tidur awal setiap hari.
Namun, tip ini mungkin hanya sesuai untuk anak anda yang masih tidak bersekolah.
#1. Banyakkan aktiviti fizikal bersama anak pada siang hari
Nur Madihah akan meluangkan masa setiap petang untuk keluar bersiar-siar bersama Iman Naufal di taman permainan.
Dia juga akan membawa anaknya berjalan-jalan ke pusat membeli-belah, ke masjid atau sekadar bermain di halaman rumah.
Apabila si kecil sudah berasa agak penat membuat aktiviti pada siang hari, maka anak akan lebih mudah untuk masuk tidur pada waktu malam.
Menurut ibu ini, anaknya akan tidur seawal jam 8 malam kerana sudah penat dan tidak terbiasa tidur pada siang hari.
#2. Wujudkan suasana tenang di rumah pada waktu malam
Cara kedua untuk didik anak tidur cepat pada waktu malam adalah dengan memastikan suasana yang tenang di rumah.
Nur Madihah akan cuba mengurangkan bunyi-bunyian seperti bunyi televisyen atau video yang boleh mengganggu anak untuk tidur lena.
Jika anak mudah terganggu dengan pencahayaan rumah yang terlalu terang, ibu bapa boleh cuba memalapkan lampu atau sumber pencahayaan lain yang ada di rumah dan di dalam bilik tidur anak.
#3. Hentikan penggunaan gajet apabila waktu tidur sudah hampir
Gajet juga boleh menjadi antara punca anak sukar tidur awal.
Ini kerana, cahaya biru atau blue light daripada skrin gajet boleh menyebabkan mata anak menjadi lebih segar.
Oleh sebab itu, Nur Madihah akan menghentikan penggunaan sebarang gajet kepada anaknya apabila waktu tidur semakin hampir.
Jika ibu bapa mahu menggunakan televisyen atau komputer riba pada waktu malam, beri masa kepada anak untuk masuk tidur terlebih dahulu.
Kemudian barulah ibu bapa boleh meneruskan kerja dengan menggunakan komputer riba atau sebarang gajet yang lain.
#4. Bercerita atau alunkan zikir sebelum tidur
Teknik bercerita dan alunan zikir juga sedikit sebanyak boleh membantu anak untuk tidur cepat pada waktu malam.
Ibu bapa boleh cuba membaca kisah-kisah daripada buku cerita atau mengalunkan alunan zikir dengan suara yang rendah dan perlahan agar anak mudah terlelap.
#5. Elakkan beri makanan dan minuman manis kepada anak
Ibu ini juga mengurangkan pemberian makanan bergula kepada anak pada waktu malam.
Menurut Nur Madihah,
“Ada potensi pemakanan yang tinggi gula boleh menyebabkan anak lebih bertenaga dan sukar untuk tidur malam. Kurangkan atau elakkan makanan dan minuman bergula seboleh yang mungkin.”
Anak mudah bangun awal bila buat tips tidur awal ini
Nur Madihah akui, apabila anak tidur cepat pada waktu malam, anak juga akan mudah untuk bangun awal pada waktu pagi selain lebih cergas kerana cukup rehat.
Dari sudut emosi pula, anaknya dilihat lebih tenang dan lebih bersedia dengan sebarang aktiviti pada keesokan harinya.
Ini cabaran utama Nur Madihah sewaktu mendidik anak tidur awal
Tidak dinafikan, setiap perkara dalam dunia keibubapaan pasti mempunyai cabarannya yang tersendiri.
Ini termasuklah yang dilalui oleh Nur Madihah sendiri ketika membiasakan anak untuk tidur cepat.
Ujarnya,
“Peringkat awal agak mencabar juga untuk saya memandangkan kedua-dua anak saya mempunyai kitaran tidur yang berbeza pada siang hari. Namun, lama kelamaan saya dapat mengikut rentak waktu tidur mereka.”
Selain itu, sebagai ibu bapa, kita juga perlu sentiasa bertenaga dan cergas agar dapat beraktiviti bersama-sama anak pada waktu siang.
Untuk Nur Madihah sendiri yang menjalankan bisnes online sepenuh masa dari rumah, dia juga perlu mahir menyeimbangkan masa antara aktiviti bersama anak dan juga urusan bisnes setiap hari.
Kesimpulan
Semoga ibu bapa di luar sana mendapat manfaat daripada perkongsian ibu ini dalam mendidik anak untuk tidur cepat setiap hari.
Ia mungkin agak sukar pada permulaannya, namun pasti memberikan kebaikan kepada anak itu sendiri setelah mereka terbiasa dengan rutin tersebut.