Bukan orang dewasa sahaja yang boleh berada dalam tekanan. Bahkan, anak kecil juga sudah pandai stres. Kanak-kanak boleh mengalami tekanan perasaan disebabkan hal keluarga, rakan-rakan, sekolah, ataupun perkara lain. Kenal pasti ciri ciri anak tertekan dan cara mengatasinya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
8 Ciri ciri anak tertekan, kenal pasti dan cegah sebelum terlambat!
Mungkin sukar untuk ibu bapa kenal pasti ciri ciri anak tertekan. Manakan tidak, insan kecil ini sebenarnya kuat memendam rasa. Malah, jika mereka tertekan, mungkin mereka lebih gemar berdiam diri berbanding meluahkan perasaan kepada ibu bapa masing-masing.
Sebagai ibu bapa, ada 8 tanda anak sedang tertekan. Antaranya:
1. Mimpi ngeri
Kanak-kanak yang kerap mengalami mimpi ngeri adalah petanda mereka mengalami trauma atau tertekan.
Tindakan anda: Ceritakan pada anak anda tentang kanak-kanak lain yang juga mengalami perasaan yang sama seperti mereka bagi membantu anak anda berasa lebih baik. Cara ini juga membuatkan anak anda tahu yang anda cuba untuk memahami perasaan mereka.
2. Sukar untuk memberi tumpuan dan menyelesaikan kerja sekolah
Tekanan akademik dan sosial adalah salah satu penyebab utama yang membuatkan kanak-kanak tertekan. Meskipun anak yang terlibat dengan aktiviti kurikulum tambahan adalah bagus, namun jika terlebih aktiviti juga boleh mengundang tekanan kepada si kecil.
Tindakan anda: Sebagai ibu bapa, anda perlu menyeimbangkan jadual aktiviti anak anda dengan meletakkan keutamaan pada aktiviti yang perlu.
3. Semakin agresif antara ciri ciri anak tertekan
Sesetengah kanak-kanak, apabila berada dalam tertekan akan bertindak agresif melalui fizikal (menggigit, menendang, atau menumbuk) ataupun melakukan tindakan secara lisan (menjerit). Mereka juga mengalami kesukaran untuk menyiapkan tugasan yang memerlukan kesabaran.
Tindakan anda: Jika dengan cara bercakap tidak dapat membantu anak anda, maka cubalah untukmenggunakan buku cerita yang mengandungi kisah-kisah seperti kelakuan anak anda supaya dapat menegurnya secara tidak langsung. Atau, anda juga boleh membawa anak berjumpa dengan doktor atau ahli terapi.
Anak alami tekanan perasaan? Ingin dapatkan pendapat dari ibu bapa yang lain? Jom, sertai komuniti Keibubapaan Hello Doktor untuk tanya pendapat pakar dan bertukar cerita dengan ibu bapa lain.
4. Kencing malam
Kanak-kanak yang rasa tidak terjamin atau memikirkan banyak perkara dalam minda mereka boleh membuatkan mereka terkencing malam.
Tindakan anda: Jika ini berlaku, yakinkan anak anda yang anda tidak marah mereka jika mereka terkencing malam. Namun, anda perlu membawa anak anda berjumpa doktor bagi memastikan punca yang menyebabkan anak terkencing malam.
5. Berkelakuan hiper tanda tekanan perasaan
Apabila kanak-kanak tidak boleh menangani rasa stres, mereka akan membebaskan tenaga negatif. Menunjuk perangai (tantrum), berlari pergi, atau kerap membantah kata-kata anda adalah antara ciri ciri anak tertekan. Tanda ini juga menunjukkan bahawa mereka berada dalam masalah.
Tindakan anda: Bantu anak anda mendapatkan tenaga yang positif dengan cara menenangkan diri melalui menarik nafas dalam-dalam, mendengar muzik yang mendamaikan, melakukan regangan, ataupun membuat yoga.
Baca juga:
- Minuman Malt Coklat Boleh Jadi Punca Anak Hiperaktif, Fakta Atau Mitos?
- Terlebih Gula Punca Hiperaktif, Mitos @ Fakta? Ini Kebenarannya…
6. Menyendiri daripada keluarga dan rakan-rakan
Berpindah, penceraian, mendapat ahli keluarga baru, atau dibuli di sekolah boleh menyebabkan kanak-kanak berasa ketinggalan atau ketakutan.
Tindakan anda: Berikan anak anda perhatian yang secukupnya dan kekalkan rutin biasa untuk keselesaannya. Jangan biarkan anak alami tekanan perasaan dalam tempoh yang lama. Bercakap juga dengan guru anak anda jika anda mengesyaki dia menghadapi masalah dengan rakan-rakan di sekolah.
7. Ciri ciri anak tertekan – Alami gangguan makan atau tidur
Kanak-kanak yang berada dalam keadaan tertekan akan mengalami kegelisahan dan kebimbangan sehingga mengganggu tabiat tidur mereka. Jika anak anda berubah secara tiba-tiba dalam tabiat makannya, sama ada makan sedikit ataupun makan berlebihan, ini juga menunjukkan tanda anak anda sedang stres.
Tindakan anda: Cari punca kebimbangannya dengan membawa anak berjumpa ahli psikologi kanak-kanak atau kaunselor untuk membantu mengurangkan gangguan yang berlaku.
8. Reaksi berlebihan walaupun masalah kecil sahaja
Adakalanya, tekanan untuk menggembirakan ibu bapa membuatkan kanak-kanak mementingkan kesempurnaan dan sentiasa berada dalam kebimbangan.
Tindakan anda: Bina keyakinan diri anak anda supaya dia boleh berdepan dengan cabaran dan menyelesaikan masalahnya sendiri. Selain itu, yakinkan anak anda bahawa manusia memang ada membuat kesilapan dan tidak sempurna. Jadi, tidak salah jika sesekali anak anda melakukan kesilapan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]