backup og meta

Ini 8 Punca Anak Kerap Kencing Malam! Ada Yang Disebabkan Penyakit Bahaya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/06/2022

    Ini 8 Punca Anak Kerap Kencing Malam! Ada Yang Disebabkan Penyakit Bahaya

    Kebelakangan ini, anak kerap kencing malam? Ibu ayah jangan ambil mudah. Ia mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan tertentu. Semak artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Anak kerap kencing malam 

    Bed-wetting atau enuresis nokturnal – adalah masalah kencing tanpa disengajakan semasa tidur pada usia yang dijangkakan seseorang itu boleh mengawal kencingnya.

    Anak yang terbabas kencing di atas katil ketika tidur adalah normal bagi perkembangan kanak-kanak, lagi-lagi ketika dalam proses latihan tandas.

    Biasanya anak kerap kencing ketika sedang tidur ini bukanlah perkara yang membimbangkan jika usia mereka di bawah 7 tahun, kerana masih dalam proses membina kawalan pundi kencing.

    Kebanyakan kanak-kanak akan dapat mengatasi masalah ini dengan sendirinya dan ada juga yang memerlukan bantuan.

    Dalam kes lain, situasi terbabas kencing ketika sedang tidur mungkin petanda masalah kesihatan yang memerlukan bantuan perubatan.

    Rujuklah doktor jika anak:

    kerap kencing malam

    • Masih terkencing semasa tidur selepas usia 7 tahun
    • Kembali terkencing semasa tidur selepas beberapa bulan berjaya mengawalnya
    • Terkencing dan disertai dengan kesakitan, dahaga yang luar biasa, air kencing berwarna merah jambu atau merah, najis keras atau tidur berdengkur
    • Perlu kencing lebih kerap
    • Makan atau minum lebih banyak daripada biasa
    • Mengalami bengkak pada kaki atau buku lali

    Punca masalah kerap kencing malam 

    Pelbagai faktor boleh menyebabkan keadaan ini, antaranya:

    • Pundi kencing kecil 

    Pundi kencing anak masih belum berkembang sepenuhnya untuk menampung air kencing yang terhasil pada waktu malam.

  • Kurang kawalan untuk mengendalikan pundi kencing penuh
  • Jika saraf mengawal pundi kencing lambat matang, pundi kencing yang penuh mungkin tidak akan membangunkan anak, khususnya jika mereka tidur nyenyak.

    • Ketidakseimbangan hormon punca anak kerap kencing malam 

    Untuk zaman kanak-kanak, ada anak yang tidak menghasilkan hormon anti-diuretik (ADH) yang mencukupi untuk melambatkan pengeluaran air kencing pada waktu malam.

    • Jangkitan saluran kencing (UTI)

    Jangkitan ini boleh menyukarkan anak mengawal kencing.

    Antara tanda yang boleh dikenal pasti termasuklah terkencing ketika tidur, terbabas kencing pada waktu siang, kerap kencing, air kencing merah atau merah jambu dan sakit semasa kencing.

    • Apnea tidur

    Isu terbabas kencing ini juga boleh menjadi petanda apnea tidur obstruktif – keadaan pernafasan anak terganggu semasa tidur.

    Ia sering disebabkan oleh tonsil atau adenoid yang meradang atau membesar.

    Gejala lain termasuk berdengkur atau mengantuk di siang hari.

    • Diabetes, punca anak kerap kencing malam 

    Jika anak menghadapi masalah terkencing pada waktu malam, ia mungkin petanda diabetes.

    Simptom lain termasuklah kuantiti air kencing yang banyak, peningkatan rasa dahaga, keletihan, dan penurunan berat badan walaupun berselera makan.

    • Masalah struktur dalam saluran kencing atau sistem saraf

    Dalam kes jarang berlaku, masalah ini boleh disebabkan oleh kecacatan pada sistem saraf atau sistem kencing anak.

    • Sembelit kronik

    Otot yang sama berperanan mengawal pembuangan air kencing dan najis.

    Jika sembelit berpanjangan, boleh menyebabkan otot tidak berfungsi dan menyumbang kepada terbabas kencing pada waktu malam. 

    kerap kencing malam

    Faktor risiko berlaku masalah kerap kencing malam 

    Keadaan ini boleh terjadi kepada sesiapa tetapi ia 2x lebih kerap pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

    Beberapa faktor boleh meningkatkan kemungkinan ia berlaku, seperti:

    • Tekanan dan kegelisahan. Keadaan yang memberikan tekanan pada anak seperti menjadi abang atau kakak, bersekolah di tempat baru atau berjauhan dari rumah
    • Sejarah keluarga. Jika salah seorang atau kedua-dua ibu bapa turut mengalami masalah yang sama semasa kecil, maka risiko untuk anak mengalaminya juga tinggi
    • Gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD). Anak yang mengalami ADHD lebih cenderung terkencing pada waktu malam

    Komplikasi 

    Biasanya isu anak kerap kencing malam tanpa sebab fizikal tidak mendatangkan sebarang risiko kesihatan. Tetapi ia boleh menimbulkan isu kepada anak, antaranya:

  • Rasa bersalah dan malu – mewujudkan rasa rendah diri
  • Hilang peluang melakukan aktiviti sosial – berkhemah atau bermalam di rumah kawan
  • Ruam pada bahagian bawah dan alat kelamin – terutamanya jika anak tidur dengan seluar dalam basah
  • Baca juga:

    Cara mengatasi 

    Kebanyakan anak yang mengalami masalah ini akan dapat mengatasinya dengan sendiri.

    Jika rawatan diperlukan, ia berdasarkan perbincangan pilihan dengan doktor dan mengenal pasti perkara yang paling sesuai untuk anak.

    Sekiranya anak tidak terlalu terganggu atau terkencing malam sekali-sekala, perubahan gaya hidup dapat membantu, seperti:

    • Menghindari kafein sepenuhnya
    • Mengehadkan pengambilan cecair pada waktu petang
    • Galakkan anak ke tandas sepanjang hari
    • Sarankan anak untuk kencing sebelum tidur

    Seandainya tidak berkesan atau anak menjadi trauma terkencing malam, mereka mungkin memerlukan rawatan tambahan.

    Jika punca terkencing malam disebabkan sembelit atau apnea tidur, masalah tersebut perlu ditangani terlebih dahulu.

    Rawatan terakhir yang mungkin menjadi pilihan adalah dengan pengambilan ubatan daripada doktor untuk jangka masa singkat bagi menghentikan tabiat terkencing malam.

    Anak kencing malam bukanlah satu perkara yang disengajakan untuk menyakitkan hati anda sebagai ibu bapa.

    Perbanyakkan bersabar dalam bersama-sama mengatasi keadaan ini kerana ia mungkin mengambil masa untuk dapat melihat keberkesanannya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan