backup og meta

Takut Sakit Puting, Perlu Ke Hentikan Penyusuan Jika Si Manja Dah Tumbuh Gigi?

Takut Sakit Puting, Perlu Ke Hentikan Penyusuan Jika Si Manja Dah Tumbuh Gigi?

Ada ibu yang takut nak menyusukan anak hanya kerana mereka sudah tumbuh gigi.

Kalau digigitnya puting ibu dengan gigi yang baru tumbuh, tidak terbayang betapa sakitnya perkara tersebut.

Oleh sebab gigi pertama bayi kebiasaannya tumbuh dalam lingkungan usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah mula mengambil makanan bersifat pepejal.

Namun, apa yang anda mungkin tidak tahu adalah kebaikan susu ibu tidak terhenti hanya kerana anak anda sudah tumbuh gigi.

Dalam segelintir kanak-kanak, proses tumbuh gigi adalah satu fenomena yang menyakitkan.

Ketika mereka sedang bergelut dengan kesakitan tersebut, payudara ibu merupakan salah satu faktor ‘penenang’.

Amat penting untuk ibu faham keperluan meneruskan susu badan atau bila masa terbaik untuk berhenti.

Tumbuh gigi bukan penghalang kepada ibu untuk hentikan penyusuan badan

susu badan

Bukan sahaja anak yang mendapat kebaikan daripada susu ibu, malah wanita yang menyusukan bayi mereka turut menikmati kebaikan fisiologi.

Antaranya adalah:

  1. Penyusuan badan meningkatkan kadar pembakaran kalori. Ini bermakna ibu boleh kembali kepada berat asal dengan lebih cepat.
  2. Hormon oksitosin yang dirembeskan semasa pemberian susu badan boleh membantu mengembalikan saiz rahim kepada ukuran asal. Ia juga boleh mengurangkan risiko pendarahan rahim selepas bersalin.
  3. Penyusuan badan boleh merendahkan risiko kanser payudara dan kanser ovari. Oleh itu jangan mengelak walaupun anak sudah tumbuh gigi.
  4. Wanita yang menyusu badan turut mempunyai risiko rendah untuk mendapat masalah kerapuhan tulang (osteoporosis).

Melihat kepada kebaikan yang dapat dinikmati oleh ibu dan hakikat bahawa susu ibu adalah makanan semula jadi terbaik untuk bayi, adalah lebih ideal penyusuan badan dibuat sepanjang yang boleh.

Ia juga dapat mengukuhkan hubungan di antara anak dan ibu.

Terdapat pelbagai jenis saranan berkaitan dengan berapa lama ibu perlu menyusu badan anak yang baru lahir.

Akademi Pediatrik Amerika (AAP) telah menyarankan penyusuan badan dibuat untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun, tidak kiralah anak sudah tumbuh gigi atau belum.

6 bulan pertama seharusnya penyusuan badan eksklusif jika mampu dan 6 bulan seterusnya boleh digabungkan dengan pemberian makanan.

Sakit tak jika saya beri susu badan selepas anak sudah tumbuh gigi?

tumbuh gigi

Ini merupakan isu yang tidak asing dalam kalangan ibu baharu. Jika tidak diuruskan dengan baik, mereka cenderung untuk berhenti memberi susu badan kepada bayi.

Statistik berkaitan dengan penyusuan badan juga tidak menunjukkan trend yang memberangsangkan.

Menurut Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit (CDC), pada tahun 2015, kira-kira 83% ibu di Amerika memberikan susu badan kepada anak.

Daripada jumlah tersebut, hanya 58% yang memberikan susu badan eksklusif kepada anak sehingga berusia 6 bulan.

Mereka yang memberikan susu badan kepada anak sehingga berusia 1 tahun hanya terdiri daripada 36% ibu.

Walaupun ramai yang membayangkan bayi menggigit puting semasa sedang menyusu badan, namun teknik yang betul tidak melibatkan gigitan.

Ini berikutan terdapat lidah di antara puting ibu dan gigi bawah membuatkan keadaan tersebut tidak berupa gigitan, hanya cengkaman bagi mendapatkan susu ibu.

Pun begitu, oleh sebab bayi sudah tumbuh gigi, terdapat situasi di mana mereka ingin bereksperimen dengan menggigit puting ibu.

Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan namun tidak sekuat yang anda sangka.

Anda mungkin berminat:

Apa yang perlu saya buat sekiranya bayi menggigit puting semasa menyusu?

tumbuh gigi

Berita baik adalah anda tidak perlu buat apa-apa pun.

Walaupun kebanyakan ibu mengalami saat gigitan puting oleh bayi yang menyusu, tapi tabiat tersebut tidak kekal lama.

Ini berikutan bayi yang baru tumbuh gigi akan mengaitkan gigitan dengan jumlah susu yang keluar kurang.

Beberapa hari selepas itu, mereka tidak lagi menggigit puting ibu untuk mendapatkan jumlah susu badan yang optimum.

Namun, dalam situasi tertentu, gigitan yang dibuat merupakan isyarat kepada apa yang dirasai oleh anak yang menyusu.

Sebagai contoh, bayi yang mengantuk dan hendak tidur cenderung untuk tergigit puting ibu.

Jika anda rasa seperti ada gigitan kecil, berhenti menyusukan badan dan dodoikan anak sehingga mereka tidur.

Kalau gigitan berlaku pada permulaan penyusuan badan, cuba berikan jari kecil anda kepada mereka.

Jika mereka hisap jari tersebut bermakna mereka ingin menyusu. Namun, jika digigit jari anda, bermakna mereka mahukan sesuatu untuk digigit.

Almaklumlah, baru tumbuh gigi. 

Konklusi

Mungkin sukar untuk anda memberikan susu ibu kepada anak apabila mereka sudah tumbuh gigi.

Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak menikmati kebaikan yang boleh diberikan melalui penyusuan badan.

Anda perlu tahu bagaimana hendak membezakan tabiat gigitan atau bayi anda sememangnya lapar.

Cara paling mudah adalah dengan menggunakan jari anda.

[embed-health-tool-baby-poop-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Breastfeeding your baby. (https://www.acog.org/patient-resources/faqs/labor-delivery-and-postpartum-care/breastfeeding-your-baby#:~:text=Breastfeeding%20is%20best%20for%20your%20baby%20for%20the%20following%20reasons%3A&text=Breastfed%20infants%20have%20a%20lower,problems%20that%20preterm%20babies%20face.). Diakses pada 20 Julai 2020.
  2. Breastfeeding rates. (https://www.cdc.gov/breastfeeding/data/nis_data/index.htm). Diakses pada 20 Julai 2020.
  3. Breastfeeding After Your Baby Gets Teeth. (https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/baby/breastfeeding/Pages/When-Your-Baby-Gets-Teeth.aspx). Diakses pada 20 Julai 2020.

 

Versi Terbaru

13/08/2020

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Anak Mengadu Sakit Gigi Sebab Berlubang? Ini Cara Mencegah Gigi Anak Rosak

Air Liur Bayi Meleleh Tanda Mahu Tumbuh Gigi? ALERT Mak Ayah, Ada Bahayanya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/08/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan