Jika nafas bayi berbunyi, anda mungkin tertanya-tanya mengapa ia berlaku. Ia mungkin disebabkan stridor – istilah untuk bunyi pernafasan tidak normal dan kuat.
Stridor boleh terjadi disebabkan pelbagai punca, termasuklah jangkitan saluran pernafasan atas.
Biasanya jika bayi baru lahir atau anak kecil mengalami stridor, antara punca biasa adalah keadaan yang disebut sebagai laringomalasia (laryngomalacia).
Teruskan membaca untuk mengetahui cara menghilangkan nafas bayi berbunyi yang boleh anda cuba dalam artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Stridor punca nafas bayi berbunyi
Stridor merupakan sejenis pernafasan yang bising. Biasanya ia dialami bayi kerana saluran pernafasan mereka lebih sempit.
Ia digambarkan sebagai bunyi decitan berulang atau bernada tinggi, yang biasanya berlaku sekali-sekala atau nafas bayi bunyi bersiul.
Apabila anak mengalami stridor, ia petanda terdapat sesuatu menghalang sebahagian saluran pernafasan atas mereka.
Antara punca stridor adalah:
- Laringomalasia
- Penyempitan saluran pernafasan (stenosis subglotik)
- Tersedut objek asing
- Jangkitan seperti krup (croup) atau epiglottitis
- Luka pada pita suara
- Kelemahan pita suara atau lumpuh
Penyebab stridor yang paling biasa untuk bayi adalah keadaan yang dipanggil laringomalasia.
Nafas bayi berbunyi disebabkan laringomalasia
Laringomalasia adalah keadaan biasa pada bayi baru lahir.
Gejala nafas bayi bunyi bersiul berlaku apabila tisu dalam kotak suara jatuh ke dalam saluran udara semasa bayi menyedut nafas, menyebabkan pernafasan yang bising (stridor).
Kotak suara atau laring, diperbuat daripada rawan. Untuk bayi baru lahir, keadaan rawan ini biasanya lembut dan tidak matang, menjadikan ia lunglai (floppy).
Berita baiknya, keadaan ini biasanya tidak serius dan hilang seiring peredaran masa. Pun begitu, untuk sesetengah bayi, mereka mungkin perlu menjalani pembedahan untuk merawat gejalanya.
Fahami simptomnya
Kebanyakan bayi yang menghidap laryngomalacia mula mengalami simptom dalam masa beberapa hari hingga minggu selepas kelahiran, seperti:
- Nafas berbunyi
- Sukar menyusu atau mudah tercekik semasa menyusu
- Banyak meludah atau meragam selepas menyusu
- Kulit tertarik – kulit bahagian leher atau antara tulang rusuk seperti ‘disedut masuk’ setiap kali bernafas
- Berhenti bernafas ketika sedang lena tidur
Jika bayi mempunyai mana-mana gejala di atas, bawa mereka untuk pemeriksaan doktor.
Cara menghilangkan nafas bayi berbunyi tanpa perawatan
Kebanyakan bayi dengan laryngomalacia tidak memerlukan rawatan. Ini kerana apabila bayi semakin membesar, tulang rawan dalam kotak suara menjadi lebih kuat.
Gejala bunyi nafas bayi seperti hidung tersumbat yang dialami biasanya hilang apabila mereka berumur setahun.
Pun begitu, tempoh masa 18 bulan hingga 2 tahun mungkin diperlukan untuk masalah pernafasan ini hilang sepenuhnya.
Bayi yang menghidap laringomalasia juga biasanya mengalami refluks gastroesophageal (GERD).
GERD adalah keadaan di mana asid perut dan makanan mengalir semula ke esofagus, tiub yang menghubungkan perut ke mulut.
Umumnya masalah GERD tidak pernah menjadi keadaan serius kepada bayi, namun ia mungkin boleh memburukkan gejala laringomalasia.
Si kecil mungkin memerlukan ubat untuk GERD bagi mengatasi gejala refluks dan membantu pernafasan.
Cara menghilangkan nafas bayi berbunyi dengan pembedahan
Jika keadaan nafas bayi berbunyi menyebabkan si kecil mengalami masalah pernafasan yang serius, masalah penyusuan atau berat badan tidak bertambah seperti sepatutnya, pembedahan mungkin diperlukan.
Prosedur yang dikenali sebagai supraglottoplasty ini akan dilakukan secara mikroskopik melalui mulut bayi. Alat kecil digunakan untuk mengeluarkan tisu yang menyebabkan masalah pernafasan daripada kotak suara.
Prosedur ini biasanya memakan masa kurang daripada sejam. Selepas pembedahan, bayi mungkin perlu dimasukkan ke wad untuk semalaman.
Kesan daripada pembedahan akan mengurangkan gejala pada bayi dengan lebih baik.
Kesimpulan
Semasa bayi dalam keadaan sihat, pantau nafas bayi berbunyi, supaya anda boleh mengetahui jika ada perbezaannya.
Mengetahui keadaan normal dan tidak dalam pernafasan bayi boleh membantu mengesan masalah yang berpotensi untuk terjadi dengan lebih cepat.
Jika terdapat kebimbangan mengenai keadaan si manja, rakamkan corak pernafasan mereka supaya dapat ditunjukkan kepada doktor dengan mudah.
Berundinglah dengan doktor pediatrik jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai keadaan kesihatan si kecil terutama jika anda dengar bunyi nafas bayi seperti sesak ya?
[embed-health-tool-baby-poop-tool]