Antara persoalan sering bermain di fikiran bakal ibu bapa adalah “perlu ke untuk mendapatkan beg baby?”. Jika anda salah seorang daripadanya, teruskan membaca artikel ini untuk penjelasan lanjut mengenai keperluan beg lampin ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Keperluan beg baby
Adakah anda benar-benar memerlukan beg lampin?
Secara teknikalnya, anda boleh memilih menggunakan sebarang beg galas atau beg jinjing (tote bag) yang terdapat di rumah.
Namun jika mahukan sesuatu yang lebih khusus, terdapat banyak beg baju baby sama ada beg bahu atau galas terjual di pasaran untuk membawa keperluan si manja dan diri anda sendiri.
Banyak beg diaper menawarkan ciri tambahan seperti pad menukar lampin atau beg penyejuk untuk memastikan susu ibu atau makanan bayi kekal sejuk.
Selain itu, beg baby untuk travel juga dilengkapi dengan poket dan ruangan kecil. Bahkan, ada beg diaper yang turut menyediakan poket untuk anda menyimpan telefon, dompet dan kunci.
Dari aspek reka bentuk, terdapat beg diaper yang direka seperti beg galas atau tote bag biasa – dengan reka bentuk moden dan neutral yang boleh dijadikan pilihan.
Dengan adanya beg diaper ini – yang berfungsi seperti ‘poket doraemon’ dengan segala keperluan bayi ada di dalamnya – pastinya sangat membantu anda apabila berada di luar bersama si kecil.
Memilih beg lampin
Semasa memilih untuk membeli beg diaper, carilah beg yang mempunyai lapisan kalis air bersama banyak poket bagi memudahkan anda menyimpan barang.
Beg jenis galas mungkin lebih sesuai untuk dijadikan pilihan berbanding beg diaper tradisional. Ini terutamanya apabila si kecil sudah mula berjalan dan anda perlu mengejar mereka!
Ciri beg baby yang diperlukan
- Muat di letakkan di bawah kereta sorong bayi
- Boleh berdiri tegak apabila diletakkan di atas permukaan rata
- Boleh diakses dengan sebelah tangan
- Berat dan saiz bersesuaian dengan diri
- Jika terdapat pad menukar lampin, pastikan ia jenis boleh ditanggalkan bagi memudahkan penggunaan dan mencucinya
Poket yang banyak juga sangat bagus bagi memastikan barangan dapat diletakkan secara berasingan bagi memudahkan anda mencarinya. Ini terutamanya apabila tangan anda penuh dengan barang dan perlu mendapatkan sesuatu dengan cepat.
Item penting untuk beg baby
Anda telah memilih beg diaper dan kini tiba masa untuk mengemasnya. Tetapi apakah barangan yang perlu anda bawa dalam beg ini ya?
Keperluan utama beg lampin
Berikut senarai keperluan dalam beg diaper:
- Lampin. 1 lampin untuk tempoh 2-3 jam anda berada di luar rumah, masukkan ekstra 1-2 sebagai langkah persediaan
- Tisu basah. Dapatkan tisu yang direka khas untuk kulit sensitif bayi. Sebaiknya pilih tisu travel-size pack
- Krim ruam lampin. Sama seperti tisu, pilih krim yang ditawarkan untuk saiz perjalanan bagi menjimatkan ruang
- Pad menukar lampin. Kebanyakan beg lampin disertakan dengan pad ini. Jika tidak ada, sediakan pad menukar lampin kerana anda tidak tahu bila dan di mana perlu menukar diaper si manja nanti. Anda juga boleh memilih pad jenis pakai buang
- Gel pembersih tangan. Gunakan jika tidak terdapat sumber air untuk mencuci tangan sebelum dan selepas menukar lampin atau sebelum memberi bayi makan
- Net kain menyusu. Boleh digunakan untuk pelbagai fungsi – semasa menyusu, selimut bayi atau pelindung tambahan matahari pada kereta sorong
- Kain napkin. Sediakan 1-2 helai kain untuk menyendawakan bayi, lap muntah bayi dan sebagainya
- Botol susu dan bekalan. Botol susu, bekalan penyusuan lain seperti puting botol, susu formula, pemanas botol mudah alih dan sebagainya
- Makanan, snek dan air. Jika bayi sudah mula mengambil makanan pejal, packing makanan mengikut keperluan. Anda juga boleh menyediakan snek dan air untuk anda dan anak yang lebih besar (jika ada)
- Puting kosong. Simpan dalam bekas yang boleh ditutup untuk memastikan ia bersih
Baca juga: