Bayi kerap menangis semasa tahun pertama kehidupan adalah perkara biasa. Ini kerana ia merupakan cara si kecil menyampaikan keperluan mereka.
Tidak dinafikan, kadangkala sebagai ibu bapa apabila perlu berdepan situasi tersebut, anda akan berasa mahu marah tapi kena sabar.
Ya, memang ramai tidak tahu kenapa bayi menangis tanpa henti atau kenapa baby kerap menangis malam. Berita baiknya, ada cara yang boleh ibu bapa cuba!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kenapa bayi kerap menangis?
Bayi kerap menangis adalah isyarat penting, satu-satunya alat komunikasi pada awal kehidupan mereka.
Normal untuk bayi menangis selama 2–3 jam sehari pada enam minggu pertama. Semasa tiga bulan pertama kehidupan, mereka akan menangis lebih banyak daripada masa lain.
Pelbagai perkara boleh menyebabkan bayi menangis, seperti:
- Kelaparan
- Lampin yang kotor atau basah
- Keletihan
- Mahu didukung atau dipeluk
- Terlalu panas atau terlalu sejuk
- Kebosanan
- Rangsangan berlebihan (overstimulation)
Bayi kerap menangis kerana kolik?
Sesetengah bayi menangis lebih banyak berbanding yang lain.
Bayi yang menangis lebih daripada tiga jam sehari, dengan kekerapan lebih daripada tiga hari seminggu dan berlanjutan sekurang-kurangnya tiga minggu mungkin mengalami kolik.
Kolik cenderung berlaku kepada bayi baru lahir. Biasanya, ia bermula apabila bayi berumur 2-5 minggu dan berakhir pada masa bayi berumur 3-4 bulan.
Walau ia mungkin menyebabkan rasa bimbang, tetapi kolik terjadi bukanlah kerana sesuatu yang anda lakukan atau tidak lakukan.
Kepercayaan karut
Pastinya anda pernah mendengar nasihat seperti “usah terlalu melayan setiap kali bayi kerap menangis” atau “biarkan bayi berhenti menangis sendiri”, betul tak?
Kenapa ramai ibu bapa mengelak untuk memujuk anak jika mereka menangis?
Malangnya, punca kenapa baby kuat nangis tidak berdasarkan sebarang bukti saintifik – yang mana bayi akan menjadi lebih manja. Namun sehingga ke hari ini, ia masih menjadi kepercayaan kebanyakan daripada kita.
Hakikatnya, anda tidak mungkin akan terlalu memanjakan si kecil, apatah lagi kepada bayi baru lahir.
Sekiranya bayi kerap menangis, itu adalah tanda mereka memerlukan ibu bapanya. Seandainya anda memberi respons yang baik dan konsisten dengan cara memujuk bayi menangis, ia membantu mereka mengetahui bahawa dunia adalah tempat yang selamat.
Di samping itu, si kecil juga akan berasa disayangi dan secara tidak langsung akan menyumbang kepada perkembangan positif mereka.
Petua anak kuat menangis
Tidak dinafikan dalam keadaan tidak cukup tidur dan keletihan, kita sebagai ibu bapa pasti akan berasa nak marah tapi kena sabar. Ini kerana seperti dijelaskan pada awal tadi tangisan adalah cara si kecil untuk berkomunikasi.
Berita baiknya, terdapat cara yang boleh anda lakukan bagi memujuk dan menenangkan mereka.
Pergerakan perlahan
Salah satu cara pujuk bayi menangis adalah dengan mendukung si kecil dalam pelukan atau diletakkan di dalam rocking chair dan melakukan gerakan perlahan. Ia boleh memberikan impak mendamaikan dan menenangkan.
Biasanya pada bulan-bulan pertama kehidupan, si kecil masih tidak tahu cara untuk menenangkan diri. Jadi, dengan membawa mereka menaiki kereta atau menggunakan kereta sorong juga boleh membantu menghentikan tangisan.
Suka untuk diingatkan, jika bayi tertidur semasa anda mencuba sebarang teknik ini, pastikan anda kembali meletakkan si kecil untuk tidur secara terlentang.
Bedung dapat atasi bayi kerap menangis
Membedung bayi turut dapat meredakan tangisan mereka kerana boleh memberikan keselesaan dan membuatkan si kecil berasa lebih selamat.
Kaedah lain seperti kangaroo care – sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi yang dipakaikan lampin serta diselimuti – dapat membuatkan si kecil selesa.
White noise
Penggunaan mesin white noise atau hingar putih adalah pilihan terbaik untuk meniru bunyi yang biasa didengar bayi semasa di dalam kandungan.
Jika tiada mesin ini, anda boleh menggunakan salah satu barangan rumah seperti kipas angin atau vakum. Tetapi pastikan ia tidak terlalu kuat.
Urutan bagus untuk bayi kerap menangis
Tanggalkan pakaian si kecil dan berikan urutan lembut. Elakkan penggunaan sebarang minyak atau losen sehingga bayi berusia sebulan.
Dalam masa yang sama, cuba untuk ‘berbual’ dengan tenang bersama si kecil.
Cara pujuk bayi menangis #Penyusuan & puting
Sesetengah bayi akan berasa tenang jika menyusu. Jadi anda boleh melakukan penyusuan susu badan sekiranya si kecil menangis.
Penggunaan puting kosong juga boleh membantu menenangkan diri mereka.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]