Terdapat banyak stigma dan salah faham masyarakat tentang penyakit Cerebral palsy (CP). Apabila terjumpa seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap CP, tentu banyak perkara dan persoalan yang bermain di minda anda.
Jom baca artikel ini sehingga tamat untuk mengetahui 5 fakta tentang penyakit Cerebral palsy ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Memahami penyakit Cerebral palsy (CP)
Berikut adalah 5 perkara penting yang perlu anda tahu tentang Cerebral palsy:
#1. Ia adalah sejenis penyakit neurologi
Apa itu Cerebral palsy?
Cerebral palsy merujuk kepada sekumpulan penyakit saraf tidak progresif yang mempengaruhi pergerakan, imbangan dan juga postur seseorang.
Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada gangguan ketika otak si manja sedang berkembang atau berlakunya kecederaan kepada otak bayi anda semasa dalam kandungan atau dalam tempoh 3 tahun pertama selepas lahir.
Dalam CP, isyarat dari otak ke otot terganggu, menyebabkan masalah koordinasi postur dan otot badan.
Tanda Cerebral palsy pada bayi #2. Terdapat beberapa jenis penyakit Cerebral palsy
CP boleh menghasilkan pelbagai simptom dan tanda yang berbeza. 3 jenis CP yang utama adalah seperti berikut:
- CP spastik
- CP atetoid
- CP ataksik.
Walaupun terdapat tiga kumpulan yang berbeza, seorang penghidap CP boleh sahaja mengalami simptom campuran daripada ketiga-tiga kumpulan tersebut.
Untuk CP spastik, ia boleh dikategorikan dengan lebih lanjut mengikut anggota yang terjejas. Jika bahagian kaki sahaja yang terjejas, ia disebut sebagai spastik diplegia.
Jika ia membabitkan sebelah badan, ia disebut sebagai spastik hemiplegia. CP spastik yang mempengaruhi keempat-empat anggota pula disebut sebagai spastik quadriplegia.
#3. CP boleh berlaku pada tahap yang rendah, sederhana dan teruk
Setiap pesakit CP boleh berada pada spektrum atau tahap yang berbeza.
Ada pesakit yang mengalami simptom tahap rendah sehinggakan cukup sukar untuk gangguan pergerakan dilihat manakala terdapat juga pesakit yang kurang bernasib baik, mengalami gangguan yang sangat teruk sehinggakan mereka mengalami sawan yang kerap, gangguan pembelajaran dan juga masalah bertutur.
Kebanyakan pesakit penyakit Cerebral palsy akan berada di antara dua tahap yang ekstrem ini. Perbezaan tahap keterukan penyakit ini juga akan menentukan keperluan mereka untuk alat bantuan berjalan dan juga pertolongan dalam melakukan aktiviti harian.
#4. Rawatan boleh melibatkan suntikan Botox, prosedur ortopedik, fisioterapi dan juga terapi pertuturan
Bergantung kepada keadaan dan indikasi, satu atau lebih rawatan diperlukan pada kekerapan yang berbeza dalam merawat pesakit CP kerana setiap penghidap mempunyai simptom dan tahap penyakit yang berbeza.
Suntikan Botox digunakan untuk mengurangkan masalah ketegangan otot. Prosedur ortopedik pula boleh melibatkan prosedur seperti pemanjangan tendon atau pemakaian simen bersiri pada anggota badan.
Terapi seperti fisioterapi, terapi cara kerja dan juga terapi pertuturan digunakan untuk melatih pesakit untuk lebih cekap dalam melakukan tugas harian dan interaksi dengan orang sekeliling.
#5. Penghidap Cerebral palsy boleh berdikari untuk beberapa perkara
Daripada usia yang muda, kebanyakan penghidap Cerebral palsy telahpun mempelajari dan mengamalkan skil-skil adaptasi penting dalam kehidupan harian mereka.
Ini membolehkan mereka untuk melakukan beberapa tugasan sendiri seperti memandu, bergerak ke suatu tempat dan untuk melakukan tugas fizikal berkeamatan rendah.
Seperti keadaan kesihatan yang lain, langkah sokongan utama terhadap mereka yang menghidapnya adalah melalui pemupukan fahaman yang kuat dan kesedaran yang utuh dalam masyarakat.
Begitu juga dengan penyakit Cerebral pasly. Ini kerana stigma yang luas boleh melumpuhkan mereka lebih teruk daripada penyakit itu sendiri. Ayuh bersama meningkatkan kesedaran kita demi mereka.
[embed-health-tool-child-growth-chart]