Trimester pertama kehamilan merupakan peringkat yang penting kerana janin dalam perut ibu baru mula terbentuk dan dalam proses membesar.
Mungkin ada dalam kalangan kita yang belum tahu tentang bagaimana penjagaan ibu mengandung trimester pertama bukan?
Usah rasa khuatir dan mari kita semua ikuti artikel ini untuk mengetahui tentang perkara tersebut dengan lebih mendalam lagi!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Berapa lama trimester pertama ini berlangsung?
Untuk pengetahuan anda, proses kehamilan yang sihat dan sempurna biasanya akan berlaku selama 40 minggu (9 bulan).
Ia kemudiannya akan dibahagikan kepada tiga trimester dan trimester pertama melibatkan minggu 1 ke minggu 12 kehamilan.
Ini adalah ketika di mana proses persenyawaan di antara sperma lelaki dan telur wanita berlaku selepas pasangan bersetubuh.
Ya, ia merupakan antara fasa yang paling penting dan si ibu mengandung perlu menjalaninya dengan baik agar proses kehamilan sihat dan sempurna!
Apa akan berlaku pada ibu ketika ini?
Semasa trimester pertama kehamilan, bukan sahaja baby bump akan mula kelihatan tetapi akan berlaku pelbagai lagi perubahan lain pada tubuh badan si ibu.
Ia bukan sahaja melibatkan perubahan pada luaran (fizikal) malahan juga dalaman (mental) ekoran penghasilan dan pengeluaran hormon pada tubuh badan.
Antara tanda paling utama anda sudah mula masuk ke fasa ini adalah wanita tidak lagi datang bulan.
Beberapa minggu selepas itu pula, si ibu juga mungkin akan mengalami beberapa gejala seperti:
- Badan lemah
- Pening kepala
- Sakit perut
- Sakit payudara
- Mual-mual
- Muntah-muntah
- Ketidakhadaman
- Sembelit
- Berat badan bertambah
- Emosi tidak menentu
- Mengidam makanan
Ketika ini, si ibu mungkin perlu untuk berehat dengan cukup dan makan dalam kadar sederhana untuk mengelak gejala-gejala di atas.
Pun begitu, tidak semua wanita adalah sama dan mungkin ada juga si ibu yang tidak langsung mengalami perubahan ketika trimester pertama ini.
Apa yang berlaku pada bayi ketika ini?
Hari pertama anda mula tidak datang haid merupakan hari pertama kitaran menstrual anda.
Selepas 10 ke 14 hari, telur wanita akan dilepaskan untuk disatukan dengan sperma lelaki lantas memulakan proses persenyawaan.
Ketika inilah janin akan mula terbentuk dan menghasilkan bahagian tubuh badan yang penting seperti otak, organ dan saraf tunjang.
Pada trimester pertama kehamilan ini juga, jantung bayi akan mula berdegup menandakan sudah bernyawa dalam kandungan ibu.
Selepas beberapa minggu pertama, tangan dan kaki akan mula terbentuk dan pada minggu kelapan, jari kaki dan tangan pula akan muncul.
Menjelang lewat fasa trimester pertama, jantina janin akan mula terbentuk dan ketika ini dianggarkan besar bayi adalah sepanjang 3 inci dan seberat 1 auns.
Persoalannya, apa yang perlu dilakukan oleh si ibu ketika bayi sudah mula terbentuk dan membesar ketika trimester pertama kehamilan ini?
Penjagaan ibu mengandung trimester pertama!
Adalah sangat penting untuk ibu mengandung itu kekal kuat dan sihat tubuh badan ketika ini bagi memastikan kehamilan yang sempurna.
Bagi mereka yang disarankan untuk bed rest ekoran beberapa masalah kehamilan yang dialami, sila lakukannya sesuai dengan saranan doktor.
Ada beberapa perkara yang perlu anda buat dan elak ketika trimester pertama kehamilan ini dan ia bukanlah mencari nama atau meneka jantina bayi.
Perkara perlu buat:
- Mengambil vitamin pranatal terbaik
- Mengambil kalori dengan cukup (sekitar 300 lebih dari biasa)
- Mengambil lebih banyak buah, sayur, protein dan serat
- Mengambil lebih banyak air kosong
- Bersenam dengan kerap
- Lakukan senaman kegel
Perkara perlu elak:
- Aktiviti yang memberi tekanan pada perut
- Minuman beralkohol
- Minuman berkafein
- Menghisap rokok
- Menyalahgunakan dadah
- Mengambil makanan laut tinggi merkuri
- Mengambil makanan diproses
- Mengambil produk tenusu
- Berada dekat dengan haiwan berparasit
Dalam pada itu, adalah penting juga untuk kalian berjumpa doktor bagi menjalani beberapa jenis ujian termasuklah ujian darah, urin, pap, swab, ultrabunyi dan lain-lain.
Ini bertujuan bagi memastikan si ibu dan janin dalam kandungan berada dalam keadaan yang sihat dan sempurna bagi mengharungi proses kehamilan kelak.
[embed-health-tool-due-date]