backup og meta

Nak Tingkatkan Kesuburan? Lakukan 6 Cara Ini Dahulu Untuk Menjaga Kesihatan Rahim!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/06/2022

    Nak Tingkatkan Kesuburan? Lakukan 6 Cara Ini Dahulu Untuk Menjaga Kesihatan Rahim!

    Rahim merupakan organ yang sangat penting bagi wanita. Untuk tingkatkan kesuburan, kesihatan rahim perlu dititikberatkan oleh kaum Hawa.

    Wanita yang pernah mengalami simptom yang teruk seperti sakit belakang, kembung perut, sembelit dan senggugut pasti faham akan kepentingan rahim yang sihat. Malah, kesihatan rahim juga memberikan impak yang besar terhadap kualiti hidup seorang wanita.

    Ramai wanita yang tidak mengambil berat mengenai kesihatan rahim masing-masing kecuali ketika hamil atau datang haid. Sebab itulah, ramai yang mempunyai masalah kesihatan, namun penyakit tersebut hanya mampu dikesan apabila tibanya saat akhir.

    Kali ini, kami akan kongsikan beberapa tip untuk tingkatkan kesuburan dengan cara menguatkan rahim. Tetapi, mari kenali apakah kepentingan rahim yang sihat dan kuat terlebih dahulu.

    Rahim yang kuat serta kepentingannya terhadap wanita

    tingkatkan kesuburan

    Tahukah anda, salah satu fungsi utama rahim adalah untuk memelihara ovum setelah ia melalui proses persenyawaan?

    Apabila ovum tertanam dalam lapisan endometrium, ia akan menerima nutrisi daripada salur darah yang berselirat di sekeliling rahim. Kemudiannya, ia akan menjadi embrio dan berkembang membentuk fetus.

    Ada beberapa penyakit yang boleh menyebabkan rahim tidak dapat berfungsi dengan baik. Antaranya ialah:

    1. Haid yang tidak teratur.
    2. Fibroid uterus.
    3. Adenomiosis.

    Wanita mempunyai risiko tertinggi untuk menghidap fibroid uterus ketika menginjak ke usia 50 tahun. Malah, lebih daripada 65,000 wanita setiap tahun didiagnosis dengan kanser rahim setiap tahun.

    Berita baiknya, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk memastikan rahim kekal kuat dan sihat. Malah, langkah yang sama juga boleh tingkatkan kesuburan wanita!

    1. Makan makanan yang bernutrisi

    Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Obstetrics and Gynecology, pengambilan daging merah boleh meningkatkan risiko fibroid rahim sebanyak 2 kali ganda.

    Sama jugalah dengan kanser uterus. Wanita yang mengambil 3 auns daging merah sehari mengalami peningkatan risiko kanser sebanyak 51%.

    Pengambilan sayur-sayuran pula boleh mengurangkan risiko sebanyak 50%, lebih-lebih lagi sayuran seperti brokoli, kubis, kubis bunga dan kubis Brussel.

    Oleh sebab itu, cuba tambahkan sayur dalam makanan. Pastikan anda mendapatkan sekurang-kurangnya 2 setengah cawan sayuran setiap hari.

    2. Berbincang dengan doktor mengenai suplemen

    tingkatkan kesuburan

    Menurut kajian yang dijalankan oleh National Institute of Health (NIH), pengambilan suplemen vitamin D dapat mengecutkan fibroid rahim.

    Malah, mereka yang mempunyai tahap vitamin D yang sihat mempunyai risiko 32% lebih rendah untuk mengalami masalah fibroid berbanding wanita yang kekurangan vitamin D.

    Wanita dewasa yang berusia 14 hingga 70 tahun diagalakkan untuk mengambil suplemen vitamin D sebanyak 600 IU sehari. Manakala, wanita berusia 71 ke atas pula perlu mengambil vitamin D sebanyak 800 IU sehari.

    Selain itu, pengambilan asid folik juga dapat tingkatkan kesuburan wanita. Suplemen yang lazim diambil wanita hamil ini sebenarnya sesuai untuk semua wanita.

    Selain suplemen, anda juga boleh mengambil makanan seperti susu, yogurt, dan juga ikan seperti salmon dan tuna.

    3. Kurangkan minum kopi untuk tingkatkan kesuburan

    Anda suka minum kopi? Inilah masanya untuk berhenti kerana kafein sebenarnya boleh menyebabkan fibroid rahim. Terlalu banyak kafein boleh meningkatkan penghasilan estrogen yang akan memburukkan lagi kesihatan rahim wanita.

    Malah, wanita yang mengambil 500 miligram kafein sehari, bersamaan 4 hingga 5 cawan kopi, menghasilkan 70% lebih banyak estrogen berbanding wanita biasa!

    Masih perlukan kopi untuk kekal fokus semasa bekerja? Cuba perlahan-lahan bertukar kepada alternatif lain yang lebih sihat seperti teh hijau.

    4. Banyakkan bersenam

    Jika anda ingin tingkatkan kesuburan, tidak ada cara yang lebih baik berbanding bersenam.

    Pada zaman sekarang, terlalu ramai yang terikat dengan kerja yang sedentari. Kebanyakan kita banyak duduk dan jarang berdiri ketika kerja.

    Mungkin nampak tidak serius, tetapi dalam jangka masa panjang, ia boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan diri.

    Cuba berdiri atau berjalan sebentar untuk gerakkan badan. Jika boleh, lakukan akiviti yang boleh menenangkan minda seperti yoga atau latihan pernafasan.

    Lagipun, tekanan perasaan juga merupakan salah satu punca rahim menjadi tidak sihat.

    Jadi, tidak ada salahnya kalau kita lakukan kedua-duanya sekali, bak kata pepatah, sambal menyelam minum air!

    5. Berhenti merokok

    Banyak kajian yang membuktikan bahawa amalan merokok boleh menyebabkan kemandulan. Malah, wanita yang merokok juga mungkin mengambil masa yang lebih panjang untuk hamil.

    Selain itu, rahim juga akan mengalami penuaan dengan lebih cepat jika anda merokok.

    Berhenti merokok merupakan sesuatu yang sukar. Bercakaplah dengan pakar untuk mendapatkan bantuan berhenti merokok.

    6. Kurangkan stres untuk tingkatkan kesuburan

    tingkatkan kesuburan

    Stres yang kronik boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Tekanan perasaan juga boleh membuatkan berat badan bertambah dan haid menjadi tidak teratur.

    Selain senaman, ada banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan. Sebagai contoh, banyakkan aktiviti yang dapat mengurangkan stres seperti membaca, meluangkan masa dengan keluarga, menonton wayang atau bermeditasi.

    Jangan lupa, tidur juga penting! Pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi setiap hari untuk kesihatan rahim yang lebih baik.

    Kesimpulan

    Jika anda ingin tingkatkan kesuburan dan runsing mengenai kesihatan rahim, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    Pakar boleh mengenal pasti cara untuk memperbaiki kesuburan dan meningkatkan peratusan anda untuk hamil.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan