Pelbagai cara cepat hamil telah anda cuba tetapi keputusan masih negatif? Tidak mengapa, ada 9 kaedah mudah mengandung yang ingin Hello Doktor kongsikan bersama anda.
Cara cepat hamil yang boleh dicuba
Memiliki zuriat adalah impian setiap pasangan yang berkahwin. Namun bukan semua pasangan terus dikurniakan cahaya mata walaupun telah melakukan pelbagai kaedah mudah mengandung.
Apabila kerap menemui kegagalan, pastinya anda mula berasa gelisah dan ragu dengan tahap kesuburan diri.
Namun sebenarnya, banyak faktor yang mungkin menjejaskan peluang untuk anda hamil.
Tidak mengapa. Usah bimbang, jika anda sedang mencari cara cepat hamil, berikut dikongsikan 9 tip yang boleh anda cuba, antaranya:
-
Buang alat kontraseptif
Jika sebelum ini anda membuat pilihan untuk menggunakan alat kontraseptif, mungkin kini sudah tiba masanya untuk anda membuang alat pencegah kehamilan tersebut. Ini sekali gus meningkatkan peluang untuk anda hamil dengan segera.
Walau bagaimanapun, selepas anda mengeluarkan alat kontraseptif itu, anda memerlukan beberapa tempoh sebelum hormon dalam badan anda kembali kepada keadaan normal. Ini perlu dilakukan sebelum anda merancang kehamilan.
-
Menjalani pemeriksaan kesihatan dengan doktor
Perkara paling penting sebelum anda mencuba sebarang kaedah cepat mengandung, anda dan pasangan dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Pemeriksaan ini adalah bagi memastikan tahap kesihatan anda berdua berada pada tahap terbaik.
Dalam pemeriksaan ini, doktor mungkin akan mencadangkan beberapa ujian meliputi ujian darah, kadar gula dalam darah, fungsi tiroid, pap smear dan pelbagai ujian lain yang bersesuaian.
Melalui pemeriksaan yang dijalankan, doktor boleh mengetahui jika terdapat sebarang kelainan atau masalah kesihatan kepada anda berdua.
Semakin cepat masalah dikesan, maka sudah tentu pilihan rawatan tersedia lebih banyak.
Anda juga boleh bertanyakan sama ada terdapat sebarang suplemen tambahan yang perlu anda dan pasangan ambil sebelum memulakan perancangan kehamilan, seperti pengambilan asid folik.
-
Mengetahui waktu terbaik melakukan hubungan kelamin
Antara cara cepat hamil yang paling mudah adalah untuk mengetahui waktu terbaik melakukan hubungan kelamin dan ia sudah tentulah tempoh anda subur atau dipanggil waktu ovulasi.
Setiap wanita mempunyai waktu ovulasi yang berbeza. Ia adalah tempoh kematangan dan pelepasan ovum secara berkala daripada ovari. Biasanya ovulasi terjadi dalam tempoh kurang 14 hari sebelum kedatangan haid seterusnya.
Hubungan intim yang dilakukan sebelum waktu ovulasi sudah tentu meningkatkan peratusan untuk mengandung. Ini kerana sperma boleh hidup dalam badan wanita dalam 48 hingga 72 jam.
-
Posisi hubungan senggama
Terdapat beberapa posisi ketika seks yang dipercayai dapat meningkatkan potensi untuk kehamilan, seterusnya dijadikan antara kaedah mudah mengandung yang boleh diamalkan.
Posisi suami di atas adalah lebih baik sebagai cara cepat hamil. Ketika berada dalam posisi ini, dicadangkan untuk meletakkan sebiji bantal pada bahagian pinggul isteri. Selepas ejakulasi berlaku, biarkan pasangan untuk bertenang dan berehat untuk tempoh 15 minit.
Tip itu adalah bagi membantu sperma berenang ke arah rahim dan bersenyawa dengan ovum.
Anda disaran untuk menghindari posisi seks melibatkan isteri di atas, duduk atau berdiri kerana ia mengurangkan jumlah sperma yang akan berjuang menuju ke ovum.
-
Kekerapan bersama
Cara cepat hamil yang boleh dicuba adalah dengan melakukan hubungan kelamin sekerap yang mungkin. Kebanyakan pasangan mengakui bahawa mereka memilih untuk melakukan hubungan intim sekerap yang mungkin.
Berapa kerap persetubuhan berlaku? Ia bergantung kepada tenaga anda dan pasangan. Ada pasangan yang melakukannya antara 15 hingga 20 kali setiap bulan. Tiada salahnya jika kerap bersetubuh kerana ia pastinya dapat mengeratkan hubungan kalian!
-
Gaya kehidupan sihat
Selain melakukan pelbagai kaedah mudah mengandung, aspek gaya kehidupan yang sihat juga boleh memberikan kesan kepada kehamilan anda.
Sebaiknya, hentikan sebarang tabiat yang tidak sihat seperti pengambilan minuman beralkohol, merokok, minuman tinggi kafein dan yang mengandungi banyak gula. Dalam erti kata mudah, mulakan gaya pemakanan seimbang.
-
Penting ke orgasma?
Ada yang mengatakan perlu untuk pasangan mengalami orgasma ketika melakukan hubungan seksual dengan pasangan, betul ke?
Memang orgasma dikatakan sebagai 1 puncak kenikmatan dan sebahagian daripada seks yang memuaskan. Tetapi hakikatnya, perkara paling penting adalah kenikmatan yang dirasai bersama.
Apa guna jika anda melakukan orgasma palsu sedangkan anda tidak benar-benar menikmati hubungan seksual yang berlangsung, bukan?
Lakukanlah hubungan intim dengan rasa yang tenang dan bahagia. Pastinya ia akan menjadi antara kaedah cepat mengandung yang terbaik untuk anda berdua.
-
Kualiti sperma
Mengandung bukan hanya mengenai ovum, tetapi ia juga berkaitan dengan sperma. Maka tahap kualiti sperma juga memainkan peranan penting sebagai antara kaedah mudah mengandung yang boleh dilakukan.
Jika anda dan pasangan sedang mencuba untuk segera hamil, maka tabiat tidak sihat seperti merokok, penggunaan alkohol adalah perkara yang perlu dielakkan bagi mendapatkan sperma yang berkualiti.
Pastikan anda mengekalkan berat badan yang normal dan mendapatkan nutrisi yang mencukupi ya, Encik Suami sekalian? Jangan hanya pandai suruh isteri jaga kesihatan tapi diri sendiri ke laut.
-
Elakkan stress
Setelah beberapa kali mencuba untuk mengandung tetapi menemui kegagalan pasti akan menyebabkan wujudnya tekanan. Tetapi itu adalah perkara yang paling perlu dielakkan.
Jangan biarkan diri anda dan pasangan dibelenggu tekanan daripada pejabat atau sebarang masalah lain. Untuk mendapatkan hubungan intim yang berjaya, ia memerlukan kerjasama dua hala.
Buat sementara, apa kata tumpukan sepenuhnya kepada cinta hati anda dan berikan yang terbaik dalam hubungan intim kalian. Siapa tahu kali ini anda berdua akan mendapat perkhabaran gembira?
Jangan berputus asa
Jika anda dan pasangan telah beberapa kali menemui kegagalan dalam percubaan untuk hamil, bersabar dan jangan berputus asa. Elakkan daripada memberikan tekanan dan desakan kepada pasangan.
Sentiasa jaga keharmonian hubungan anda berdua dan kami di Hello Doktor mendoakan yang terbaik buat anda berdua. Semoga kaedah mudah mengandung yang dikongsikan ini akan membuahkan hasil.
[embed-health-tool-due-date]