Perlu ke untuk ibu hamil mencukur Miss V sebelum melahirkan anak? Atau perbuatan tersebut boleh mendatangkan kesan sampingan? Ikuti penjelasan Hello Doktor ini.
Baca lebih lanjut tentang Kehamilan di sini.
Ibu hamil perlu mencukur Miss V?
Kewujudan atau ketiadaan bulu pada kemaluan semasa bersalin pasti menjadi tanda tanya pada rata-rata ibu berbadan dua. Perlukah mencukur bulu kemaluan atau dibiarkan sahaja?
Seperkara yang mungkin tidak anda sedari, mencukur Miss V sebelum prosedur melahirkan anak pernah dianggap sebagai tindakan yang boleh menurunkan kadar jangkitan.
Jadi ibu mengandung boleh mencukur bulu kemaluan?
Sabar. Itu bukan jawapannya.
Walaupun begitu, berdasarkan percubaan penyelidikan kawalan secara rawak menunjukkan tiada sebarang penurunan jangkitan jika individu mencukur bulu kemaluan.
Sebaliknya, proses mencukur itu mengakibatkan jangkitan meningkat. Ini apabila dibandingkan mencukur dengan kaedah waxing atau clipping.
Peningkatan risiko jangkitan
Mencukur Miss V sebelum melahirkan anak dipercayai akan meningkatkan risiko jangkitan terutamanya jika anda perlu melalui prosedur operasi seperti pembedahan caesarean.
Ini kerana pencukuran akan mengakibatkan lecet mikro (micro-abrasions) pada permukaan kulit yang boleh menyebabkan jangkitan.
Pastinya ia bukan perkara yang anda mahukan terjadi pada saat ingin menimang cahaya mata.
Berdasarkan kajian pada tahun 2015, risiko jangkitan akan berkurangan pada wanita mengandung yang tidak mencukur bulu kemaluannya berbanding mereka yang memilih untuk bercukur.
Bahkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut tidak menggalakkan perbuatan mencukur bulu kemaluan faraj atau perineum – bahagian antara bukaan faraj dan dubur – sebelum melahirkan anak.
Saranan ini melibatkan semua pencukuran bulu atau rambut pada bahagian sekitar kawasan kelamin luaran wanita dalam konteks kelahiran melalui faraj atau kelahiran normal.
Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk mereka yang perlu melalui prosedur pembedahan C-Sec.
Pun begitu, keputusan untuk mencukur Miss V atau bahagian perineum haruslah diserahkan 100% kepada wanita yang bakal melahirkan anak dan bukan kakitangan perubatan.
Dalam situasi seorang wanita bakal bersalin yang memilih untuk bercukur bulu kemaluan atau perineum, mereka dinasihatkan untuk dicukurkan oleh individu dan tempat yang selesa baginya.
Sebagai contoh, mungkin proses mencukur bulu kemaluan boleh dilakukan di rumah sejurus sebelum bersalin berlaku di hospital.
Pro & kontra mencukur miss V sebelum melahirkan anak
Membuang bulu kemaluan daripada faraj dan bahagian perineum pastinya topik yang sukar untuk diputuskan.
Mungkin ada yang menganggap ia bukan 1 masalah jika tidak dibuang bulu kemaluan, namun bagi sesetengahnya akan berasa malu.
Jadi apakah kelebihan dan kekurangan mencukur Miss V sebelum bersalin?
Manfaat mencukur bulu kemaluan:
- Bercukur atau sekurang-kurangnya memotong (trimming) bulu kemaluan, menjadikan bahagian tersebut kurang berpeluh dan bersih secara keseluruhan
- Memberikan visualisasi yang baik untuk doktor atau bidan bahagian perineum. Jika mereka perlu melakukan episiotomi – bahagian itu sudah dicukur bersih dan menjadikan proses jahitan lebih mudah
- Sangat berguna pada minggu-minggu selepas kelahiran jika mengalami pendarahan faraj yang banyak dan isu kebersihan diri
- Jika keadaan kecemasan berlaku dan memerlukan pembedahan czer, bahagian tersebut sudah tersedia untuk pembedahan
- Sesetengah wanita sudah biasa dengan rutin mencukur Miss V sejak sebelum kehamilan lagi
- Mengurangkan rasa malu untuk menunjukkan bulu kemaluan
Risiko mencukur bulu kemaluan:
- Anda perlu memastikan tahap kebersihan yang betul kerana lecet dan luka pada kulit meningkatkan potensi jangkitan
- Meletakkan diri pada risiko bulu tumbuh ke dalam (ingrown hairs) yang menyebabkan pembentukan sista – berkemungkinan perlu dirawat secara pembedahan
- Pertumbuhan rambut atau bulu boleh menyebabkan kegatalan dan rasa tidak selesa
- Pastinya ia 1 keadaan sukar untuk ibu yang sedang sarat mengandung mencukur bulu kemaluan apabila perut yang membesar membatasi pandangan, kan?
Mencukur atau tidak pilihan peribadi
Pada akhirnya, keputusan sama ada mencukur Miss V atau tidak, adalah hak peribadi dan bergantung kepada kebiasaan anda.
Bagi ibu hamil yang mahu mencukur bulu kemaluan sebelum kelahiran bayi, ia perbuatan yang selamat untuk dilakukan, cuma pastikan tidak ada luka yang terjadi.
Mungkin sebagai jalan selamat, anda boleh meminta bantuan daripada pasangan untuk membantu anda melakukannya.
Jika anda tidak mahu membuang bulu pada kemaluan, tiada yang boleh memaksa anda. Keputusan di tangan anda.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]