Anda seorang ibu hamil yang ringkas terutamanya dari cara pemakaian.
Namun adakalanya ia mungkin tidak sesuai dengan keadaan anda.
Jom selongkar isu fesyen ibu mengandung.
Fesyen ibu mengandung
Kehamilan adalah 1 fasa yang menyeronokkan.
Namun dalam masa yang sama anda akan berdepan dengan perubahan dari aspek bentuk badan, khususnya apabila kandungan semakin membesar.
Anda mungkin bukan seorang yang cerewet dalam cara pemakaian.
Tetapi anda masih perlu mengikuti perkembangan fesyen ibu mengandung bersesuaian dengan diri anda.
Ini bagi mengelakkan daripada memakai sesuatu yang tidak bersesuaian dengan keadaan semasa anda.
Sudah tentu ia boleh menyebabkan ketidakselesaan bagi anda dan juga kandungan.
7 cara pemakaian yang harus dielakkan ibu hamil
Seiring dengan perubahan yang berlaku kepada tubuh, anda perlu cuba untuk menyesuaikan diri anda dengan fesyen ibu mengandung.
Berikut senarai cara pemakaian yang patut dielakkan sepanjang kehamilan anda, antaranya:
- Seluar ketat
Elakkan daripada memakai seluar yang ketat kerana ia tidak akan membuatkan anda tampak kurus, memandangkan anda kini sedang berbadan dua.
Lebih memburukkan keadaan seluar ketat juga boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa serta memberikan tekanan kepada bayi dalam kandungan.
- Pakaian singkat
Memakai pakaian yang terlalu singkat juga adalah antara fesyen yang perlu dielakkan.
Ini kerana ia tidak akan membuatkan anda kelihatan menawan. Sebaiknya, cuba untuk tampil sopan ketika hamil.
- Terbelah di depan
Memakai blaus atau sebarang baju yang mempunyai belahan hadapan mungkin akan membuatkan anda tampak menarik ketika belum hamil.
Namun cara pemakaian ini ketika mengandung pastinya bukan pilihan yang baik.
- Pakaian longgar
Sesetengah wanita hamil lebih gemar memilih fesyen ibu mengandung yang longgar dan besar.
Biasanya kerana mereka mahu menyembunyikan baby bump.
Namun, kadangkala pemilihan baju yang terlalu besar sangat tidak bersesuaian, malahan ia mungkin menyebabkan anda kelihatan seperti khemah bergerak.
Pakaian yang longgar juga mungkin boleh membuatkan anda berasa kurang keyakinan diri.
Jadi apa kata anda memakai pakaian yang cantik dan dapat menaikkan semangat anda ketika sedang hamil.
- Pakaian dalam tidak sesuai
Pakaian dalam seperti seluar dalam atau bra haruslah mengikut saiz betul tidak kira sama ada anda sedang hamil atau tidak.
Malahan pemilihan pakaian dalam yang betul ketika hamil boleh membantu anda untuk berasa lebih selesa.
Pakaian dalam yang ketat boleh mewujudkan risiko kepada kandungan dan rasa tidak selesa.
Manakala seluar dalam yang terlalu longgar pula pastinya membuatkan anda berasa tidak yakin untuk tampil menarik.
- Baju dan seluar pendek
Yes! Anda mungkin berasa selesa dengan cara pemakaian seperti ini. Tetapi ia bukanlah fesyen ibu mengandung yang sesuai untuk anda.
Seluar yang pendek dan kecil serta baju-T bersama perut yang sedang membesar, hanya akan membuatkan anda tampak kelakar. Jadi elakkannya, okay?
- Kasut tumit tinggi
Memakai kasut tumit tinggi mungkin dapat memberikan anda rasa keyakinan diri.
Namun untuk tempoh 9 bulan ini, apa kata ketepikan dahulu kasut kegemaran anda ini? Kenapa?
Pemakaian kasut yang bertumit tinggi bukan sahaja menyebabkan anda berasa tidak selesa, malahan boleh mendatangkan bahaya.
Anda terdedah dengan risiko untuk tersadung dan sekali gus boleh mencederakan anda dan kandungan.
5 tip untuk ibu hamil tampil selesa sepanjang 9 bulan
Keselesaan cara pemakaian adalah sangat penting ketika anda sedang berbadan dua.
Berikut 5 tip untuk tampil selesa ketika sedang hamil:
- Material kapas
Pakaian yang diperbuat daripada material kapas adalah sangat sesuai untuk wanita yang sedang hamil.
Ini kerana material ini dapat menyerap peluh dan membantu kulit untuk bernafas.
Semasa hamil, akan berlaku perubahan hormon dan ia akan meningkatkan tahap kepekaan kulit.
Pakaian daripada material kapas juga dapat mengurangkan reaksi alahan ketika hamil.
- Pakaian dalam yang bersesuaian
Maka anda mungkin perlu mendapatkan beberapa pakaian dalam baru.
Bra dan seluar dalam yang ketat adalah tidak selamat kerana ia boleh menghalang aliran darah dan boleh menyebabkan ketulan.
- Masih boleh memakai jeans
Jika anda adalah penggemar seluar jeans, pastinya anda tidak boleh membayangkan untuk tidak memakainya selama 9 bulan, bukan?
Bertenang. Anda boleh membeli seluar jeans khas untuk ibu mengandung.
Ia direka khas untuk memberikan keselesaan kepada perut yang sedang membesar. Ini antara fesyen ibu mengandung yang harus ada!
- Legging
Anda mungkin perlu untuk mendapatkan diri anda beberapa helai legging. Kenapa? Sudah tentu kerana ia dapat memberikan anda keselesaan.
Sama seperti memakai jeans, anda boleh memakainya dengan apa sahaja baju seperti blaus atau baju-T.
Paling penting, pastikan legging anda tidak terlalu ketat atau ia boleh menjejaskan aliran darah.
- Gaun maxi
Gaun maxi atau maxi dress adalah antara fesyen yang selalu dikenakan oleh ibu mengandung.
Ini kerana ianya memberikan keselesaan dan membolehkan perut anda bernafas.
Ia hadir dalam pelbagai pilihan; berbunga, lengan panjang atau tidak berlengan, bergantung kepada citarasa anda.
Cara pemakaian ini membuatkan ibu hamil tampil ringkas tetapi masih cantik dan bergaya.
Berhenti membandingkan diri
Anda mungkin melihat wanita mengandung lain tampak cantik walau memakai apa juga jenis pakaian.
Tetapi adakah ia perkara penting atau anda patut lebih mengutamakan tentang keselesaan diri?
Usah membuat sebarang perbandingan atau ia hanya mengakibatkan anda berasa hilang keyakinan diri.
Sentiasa hargai setiap masa dan perubahan yang dilalui diri anda ketika berbadan dua kerana itu yang paling utama.
[embed-health-tool-ovulation]