Jangan ingat ibu sahaja perlu membuat persiapan bersalin, bapa pun sama ya! Kepada bapa yang sedikit panik, kami akan kongsikan beberapa tip bersalin untuk mudahkan perjalanan anda nanti!
Persiapan ketika isteri hampir bersalin
Sebagai bapa, mungkin semangat yang ditunjukkan tidak setanding dengan para ibu. Namun, bapa juga mempunyai kerisauan yang tersendiri ketika berhadapan dengan proses kelahiran.
Bapa juga boleh rasa takut dan gementar, lebih-lebih lagi bagi yang pertama kali menyambut bayi. Kelahiran seorang bayi bermaksud tanggungjawab anda akan bertambah.
Dunia si bapa juga mungkin akan berubah dengan lahirnya insan baru sebagai penyeri rumah tangga kalian.
Oleh itu, kelahiran merupakan satu pengalaman yang akan membuatkan anda mengalami 1001 perasaan yang berbeza.
Ini beberapa tip yang boleh bapa ikuti bagi menghadapi isteri hendak bersalin.
Antara perkara yang bapa boleh lakukan sebagai persediaan ketika ibu menghampiri tarikh untuk bersalin adalah:
- Pastikan anda bersedia menghadapi kelahiran. Anda boleh berbincang dengan kawan-kawan ataupun sesiapa sahaja yang pernah mengalami pengalaman yang sama.
- Pastikan anda tahu jalan paling dekat untuk ke hospital. Bapa haruslah bersedia untuk memandu ketika saat kelahiran tiba nanti. Anda juga patut tahu di mana anda perlu hantar isteri ketika dia hampir bersalin nanti!
- Pastikan anda boleh dihubungi pada bila-bila masa.
- Periksa minyak kenderaan anda. Kalau sempat, cuba pandu kereta ke hospital dan lihat sama ada minyak anda cukup untuk hantar isteri dengan sekali jalan.
- Jangan lupa kemaskan satu beg untuk kegunaan anda. Proses kelahiran kadang-kadang boleh makan masa yang lama. Oleh itu, pastikan anda bawa barang yang mencukupi! Anggaplah anda akan berada di hospital selama sekurang-kurangnya 48 jam.
- Bawa makanan dan snek!
- Sebagai suami, anda perlulah jadi penyokong nombor 1 isteri. Oleh itu, selalulah beri sokongan moral kepadanya saat menghampiri kelahiran. Ingatkan isteri untuk bernafas dengan perlahan, lakukan sedikit urutan ringan dan pastikan isteri dalam keadaan selesa.
Kelahiran boleh jadi pengalaman yang amat menakutkan buat isteri.
Anda boleh baca 100 buku tentang kelahiran untuk mencari tip bersalin ataupun tonton 100 video berkaitan sebagai persediaan, namun ia takkan boleh kurangkan kesakitan yang isteri anda alami ketika bersalin.
Walaupun begitu, anda boleh berada disampingnya dan berikan kata-kata semangat. Cuba untuk tidak katakan perkara seperti ‘gelinya’ ataupun ‘alahai, takkanlah sakit sangat!’ kepada isteri.
Ibu mengalami rasa sakit bermula daripada kontraksi pertama lagi. Jika boleh, temani isteri anda sehinggalah sampai masa isteri bersalin.
Sakit yang si ibu alami hanya akan bertambah seiiring dengan masa. Walaupun nanti si ibu mungkin akan cakap banyak perkara yang bukan-bukan, cuba untuk ada disampingnya dari awal sampai akhir ya!
Anda mungkin juga berminat:
- Persiapan Bersalin Secara Normal
- Jika Anda Kena Warded, Apa Persiapan Untuk Bermalam Di Hospital?
Perasaan anda ketika isteri hamil dan melahirkan anak juga penting!
Walaupun proses kehamilan dan melahirkan anak merupakan proses yang ditanggung sepenuhnya oleh isteri anda, kadangkala, anda juga mungkin akan mengalami gangguan emosi dan rasa seperti tidak dipedulikan.
Jika anda rasa seperti ini, jangan malu untuk berbincang dengan isteri ataupun keluarga terdekat. Jangan biarkan perasaan anda menimbun baru hendak mintak pertolongan!
Tidak kiralah berapa pun usia anda ketika itu, anda akan tetap rasa seperti tidak bersedia menimang cahaya mata.
Bapa yang hadir ketika ibu sedang melahirkan anak telah terbukti dapat mengurangkan rasa stres yang ibu alami ketika kelahiran.
Ibu juga mungkin akan rasa perkara yang sama. Oleh itu, jangan risau. Perasaan ini adalah normal.
Kajian juga menyatakan, bapa akan terus ada disamping isteri dalam setiap langkah penjagaan anak jika dia mampu terus komited ketika ibu melahirkan.
Menjadi bapa merupakan satu kerja yang tidak akan berakhir. Langkah pertama untuk menjadi bapa adalah dengan menjaga isteri anda dengan baik!
Bapa selepas proses kelahiran
Melihat bayi buat pertama kali pasti akan membuatkan bapa rasa sebak. Ada yang akan menangis, dan mungkin ada juga yang akan rasa gembira hingga tak mampu berhenti tersenyum.
Jangan lupa untuk bergilir-gilir menjaga bayi bersama isteri nanti. Anda juga boleh lakukan beberapa kerja rumah yang mudah untuk ringankan beban isteri selepas bersalin.
Gunakan masa ini untuk mengenal anak anda. Belajar bagaimana untuk mandikan bayi dan tukar lampin supaya anda boleh luangkan lebih banyak masa bersamanya.
Namun, walaupun anda kini telah sibuk dengan tanggungjawab baru, itu bukan bermaksud anda harus tinggalkan terus keinginan anda untuk bersosial.
Kalau kadang-kadang anda ingin keluar minum kopi, apa salahnya. Cuma janganlah lama sangat ya!
[embed-health-tool-due-date]