Proses penjagaan anak selepas bersalin, terutama dalam minggu pertama kelahiran bayi bukanlah satu tempoh yang mudah. Ini lebih memberikan cabaran khususnya bagi individu wanita yang pertama kali bergelar ibu dan lebih mencabar jika proses kelahiran itu adalah melalui prosedur pembedahan C-Section yang mana ibu itu sendiri memerlukan penjagaan rapi. Ini bermakna, kehadiran pasangan, iaitu suami di sisi ketika melalui proses penjagaan awal ini adalah sangat penting. Jadi adakah ketika isteri mendapat cuti bersalin, penting untuk suami juga diberikan cuti ‘paterniti’?
Tempoh cuti bersalin ditambah
Berdasarkan laporan yang ditulis dalam Harian Metro, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.
Tambah beliau lagi, pihaknya juga sedang dalam usaha untuk meminda akta yang membolehkan golongan bapa yang bekerja di sektor swasta diberikan cuti paterniti (cuti isteri bersalin) selama 3 hari.
Draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang dipersiapkan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti. Draf tersebut akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLEC), wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.
Ini berikutan, memetik laporan daripada The Star Online, terdapat gesaan yang dibuat oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) supaya cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan dalam sektor swasta. Ini kerana golongan bapa di sektor swasta tidak layak mendapat cuti daripada segi perundangan untuk cuti paterniti, manakala golongan bapa dalam sektor awam, menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji.
Tidak perlu cuti paterniti
Namun, berdasarkan laporan daripada Berita Harian, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, cadangan kerajaan untuk memberikan cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta tidak dipersetujui kerana pemberian cuti wajib selama tiga hari kerana isteri bersalin akan memberi kesan kepada kos operasi syarikat.
Menurut dakwaan beliau, berdasarkan kajian, majikan terpaksa menanggung kos lebih RM150 juta setahun sekiranya kerajaan tetap mahu memperkenalkan langkah itu dengan meminda Akta Kerja 1955.
Tambah beliau lagi pemberian cuti selama tempoh itu untuk membina ikatan kekeluargaan utuh antara suami, isteri dan anak yang baru dilahirkan, perlu diubah dengan cara lain tanpa membabitkan sebarang kos di pihak majikan.
Kepentingan cuti paterniti buat isteri
Sebenarnya, soal cuti paterniti ini bukanlah sekadar untuk membina ikatan kekeluargaan, antara ibu, ayah dan anak yang baru dilahirkan tetapi dalam masa yang sama ia adalah sebagai untuk membantu isteri yang baru melahirkan anak untuk menjaga anak itu sendiri. Ini kerana dalam minggu pertama selepas kelahiran, isteri akan mengalami perubahan dramatik dalam tahap hormon, dan ia sudah tentu akan mempengaruhi emosi.
Menurut Pembantu Profesor Obstetrik dan Ginekologi di University College of Physicians and Surgeons di New York, Dr. Hilda Hutcherson, situasi itu adalah sesuatu yang normal dan perubahan emosi itu merupakan perkara yang tidak mendatangkan kebimbangan.
Selalunya, kebanyakan wanita tidak bersedia dengan perubahan emosi yang bakal mereka lalui selepas melahirkan anak. Sering kali kita membayangkan situasi selepas kelahiran anak adalah satu fasa yang gembira dan bahagia.
Tempoh rapuh untuk ibu
Tempoh postpartum (selepas bersalin), merupakan satu tempoh paling rapuh bagi wanita, terutama bagi yang melalui proses kelahiran melalui pembedahan. Ia bukan sekadar melibatkan kesakitan fizikal, tetapi ia turut melibatkan aspek perubahan emosi. Ketika tempoh ini, badan akan mengalami pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan.
Semasa tempoh ini, badan seorang wanita akan kerap untuk berasa sakit dan lesu. Ia akan memerlukan tempoh masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika kaedah bersalin adalah secara pembedahan C-section, ia mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.
Semasa postpartum, terdapat beberapa simptom-simptom yang akan dialami oleh badan, antaranya seperti di bawah:
- Bengkak
- Pendarahan faraj
- Kesakitan faraj
- Bengkak payudara
- Kekejangan
- Masalah pundi kencing
- Masalah pergerakan usus
- Rambut menipis
- Kehilangan pigmentasi kulit
- Kemurungan selepas bersalin
- Kekurangan tenaga
Bahaya kesan postpartum
Kebanyakan individu wanita, selepas kelahiran bayi akan melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan akan berkurangan dalam masa kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan untuk seseorang wanita mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, malah terdapat juga risiko untuk wujudnya kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri atau bayi, ia adalah berkaitan dengan kemurungan selepas bersalin (Postpartum depression) atau meroyan yang boleh dikaitkan dengan kecelaruan emosi serta perasaan dan keresahan perinatal (Perinatal Mood and Anxiety Disorder, PMAD).
Pentingnya sokongan suami
Sememangnya cuti selama tiga hari tidak mungkin mencukupi buat isteri, kerana ia terlalu singkat. Tetapi sekurang-kurangnya, dalam tempoh yang singkat itu dapat membantu mengurangkan tekanan dan bebanan yang dihadapi isteri pada awal-awal kelahiran anak, terutama bagi pasangan yang pertama kali mendapat cahaya mata.
Walaupun terdapat perkhidmatan bidan berbayar yang boleh didapati pada masa kini. Namun, hakikat yang perlu disedari adalah bukan semua pasangan mampu untuk mendapatkan khidmat bidan berbayar untuk menjaga isteri ketika dalam proses pantang. Malah lebih menyedihkan terdapat juga pasangan yang tidak dapat menyediakan keperluan bayi dengan lengkap.
Jadi sebenarnya, kehadiran suami selepas proses kelahiran anak, bukan sahaja untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak, tetapi cuti tersebut sebenarnya sebagai bantuan untuk meringankan bebanan dan tekanan yang mungkin dihadapi isteri.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Ibu Baru: Peranan, Tekanan dan Cara Mengatasinya
- Apa itu Meroyan?
- Cuti Bersalin: Apa yang Perlu Anda Ketahui?
[embed-health-tool-ovulation]