backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

5

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Kehamilan Luar Rahim, Apakah Punca Ia Boleh Terjadi & Risiko Yang Ditanggung Ibu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 03/04/2023

Kehamilan Luar Rahim, Apakah Punca Ia Boleh Terjadi & Risiko Yang Ditanggung Ibu

Kehamilan ektopik adalah di mana janin disenyawakan di luar rahim. Tetapi apakah punca kandungan luar rahim? Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui jawapannya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Apa itu mengandung luar rahim?

Sebelum mengenal pasti antara punca kandungan luar rahim, jom kita ketahui apakah yang dimaksudkan dengan kehamilan jenis ini.

Mengandung luar rahim, atau turut dikenali sebagai kehamilan ektopik, adalah sejenis komplikasi kehamilan pada trimester pertama.  

Ia merujuk kepada implantasi ‘morula’ (tisu embrio peringkat awal) yang tidak berlaku pada dinding rahim, sebaliknya, berlaku pada kawasan lain.

Berdasarkan definisi ini, implantasi tisu yang telah disenyawakan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Ia sama ada di sekitar bahagian dalaman organ reproduktif wanita (seperti kehamilan dalam tiub fallopian), mahupun di sekitar bahagian abdomen seperti kehamilan dalam hati (walaupun insiden ini adalah sangat jarang berlaku).

Menurut data dan statistik tentang kehamilan ektopik, dianggarkan sekitar 1.3 hingga 2.4% daripada keseluruhan kehamilan yang berlaku adalah daripada jenis kehamilan ektopik.

punca kandungan luar rahim

Angka tersebut menggambarkan perbandingan persis satu dalam setiap 100 hingga 300 kehamilan berkemungkinan untuk menjadi kehamilan ektopik.

Tambahan lagi, peratusan insiden kehamilan ektopik ini boleh menjadi lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mengandung melalui penggunaan bantuan teknologi reproduktif, setinggi 4%.

Di bawah tajuk besar kehamilan ektopik ini, terdapat beberapa pengelasan yang mencirikan jenis-jenis mengandung luar rahim yang wujud.

Sesetengah masyarakat mungkin maklum tentang kehamilan dalam tiub fallopian dan akan segera merujuk kepada kehamilan ektopik jenis ini apabila persoalan mengandung luar rahim diutarakan.

Ianya adalah variasi yang signifikan secara klinikalnya namun ia bukanlah satu-satunya jenis kehamilan ektopik yang ada.

Punca kandungan luar rahim

Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan lagi kemungkinan seseorang itu untuk menghidap keadaan ini.

Namun yang demikian, kira-kira satu per tiga daripada keseluruhan kes kehamilan ektopik tidak mempunyai faktor risiko atau punca yang berjaya dikenal pasti.

Antara faktor risiko yang dikenal pasti menjadi punca kandungan luar rahim adalah:

  1. Penyakit keradangan pelvis (PID)
  2. Penggunaan alat dalam rahim (IUD)
  3. Pendedahan lampau terhadap bahan kimia diethylstilbestrol (DES)
  4. Pembedahan lampau yang melibatkan tiub fallopian
  5. Prosedur-prosedur atau pembedahan yang membabitkan bahagian dalam rahim
  6. Merokok
  7. Sejarah kehamilan ektopik yang lampau
  8. Endometriosis
  9. Ikatan tiub (Tubal ligation)

Kesemua faktor-faktor risiko di atas menyebabkan kerosakan kepada tiub fallopian.

Pada dinding-dinding dalaman tiub fallopian, terdapat struktur mikro mirip rambut yang disebut sebagai cilia.

Fungsi cilia

Cilia ini berfungsi untuk mengerakkan telur daripada ovari, ke bahagian rahim.

Kekurangan bilangan cilia ini mengganggu peredaran telur daripada ovari ke rahim, menyebabkan kecenderungan untuk berlakunya kehamilan dalam tiub.

punca kandungan luar rahim

Wanita yang merokok mempunyai risiko untuk kehamilan dalam tiub kerana merokok menyebabkan kerosakan pada cilia selain membunuh struktur ini.

Jika telur yang disenyawakan ini tidak digerakkan ke bahagian rahim dalam masa yang mencukupi (akibat masalah dengan struktur cilia), waktu transit akan meningkat.

Situasi tersebut meningkatkan juga kemungkinan untuk telur yang telah disenyawakan ini menampal pada dinding tiub fallopian, sekali gus menjadi punca kandungan luar rahim.

Wanita dengan penyakit keradangan pelvis (PID) mempunyai insiden kejadian kehamilan ektopik yang tinggi.

Ini khususnya bagi mereka yang menghidap jangkitan aktif atau pernah menghidap jangkitan lampau yang merebak ke atas (ascending infection) daripada bakteria-bakteria seperti Chlamydia trachomatis atau Neisseria gonorrhoeae.

Punca kandungan luar rahim dalam PID ini disebabkan oleh pengumpulan tisu-tisu parut pada dinding-dinding dalaman tiub yang merosakkan cilia.

Dalam situasi di mana pengumpulan tisu-tisu parut ini menyebabkan tiub di kedua-dua belah bahagian tersumbat, pertemuan sperma dan juga ovum adalah mustahil dan kehamilan tidak berlaku.

Mengikat tiub (tubal ligation) boleh menyebabkan kecenderungan untuk mendapat kehamilan ektopik.

Sekiranya seseorang wanita itu didapati hamil walaupun setelah menjalani prosedur mengikat tiub, kemungkinan untuk kehamilan ektopik perlu disyaki kerana 30% daripada kehamilan selepas melakukan prosedur ini adalah di luar rahim.

Malahan ianya adalah faktor risiko yang paling penting untuk terjadinya kehamilan dalam tiub.

Selain itu, proses pembalikan-semula tiub yang telah diikat juga berupaya untuk menyebabkan kehamilan ektopik kerana integriti dan struktur normal tiub telah diganggu dan terbentuknya tisu-tisu parut akibat pembedahan.

Punca kandungan luar rahim: Kenal pasti simptomnya

punca kandungan luar rahim

Kira-kira 10% daripada wanita yang menghidap kehamilan ektopik tidak mempunyai sebarang simptom.

Dalam kebanyakan kes, simptom dan tanda yang berlaku tidak khusus kepada simptom dan tanda kehamilan ektopik.

Sebaliknya mirip penyakit-penyakit dan keadaan kesihatan yang lain seperti keradangan apendiks, kilasan ovari (ovarian torsion), pemecahan cyst corpus luteum (ruptur of a corpus luteum cyst) jangkitan salur kencing dan juga keguguran.

Manifestasi klinikal kehamilan ektopik bermula secara puratanya setelah 7.2 minggu daripada tempoh datang bulan yang terakhir, dengan julat 4 hingga 8 minggu.

Apabila berlakunya tanda dan simptom, ia lazimnya adalah seperti berikut:

  1. Pendarahan melalui faraj (pelbagai kuantiti)
  2. Peningkatan bacaan hCG
  3. Rasa sakit pada bahagian bawah abdomen secara tiba-tiba
  4. Rasa sakit sekitar bahagian pelvis, punca kandungan luar rahim
  5. Pangkal rahim yang sensitif dan sakit
  6. Rasa sakit pada bahagian kiri atau kanan bawah abdomen
  7. Benjolan pada bahagian kiri atau kanan bawah abdomen

Sekiranya kandungan menjadi semakin besar hingga pecahnya tiub fallopian, ianya boleh menyebabkan simptom seperti kembungan abdomen, rasa sakit yang sanga teruk di sekitar abdomen, abdomen mengeras (peritonism) dan juga kejutan hipovoemia (hypovolaemic shock).

Keadah rawatan

Terdapat beberapa pilihan rawatan kandungan luar rahim yang akan digunakan oleh pakar perubatan, seperti:

Pemerhatian rapi (Expectant management)

Kebanyakan doktor akan memilih untuk tidak melakukan apa-apa terlebih dahulu, sebaliknya mereka akan menilai trend hormon hCG dalam serum dan juga dapatan daripada ujian pengimejan.

Untuk tujuan itu, kebanyakan wanita akan menerima temu janji bagi menilai semula bacaan serum hCG bagi melihat jika terdapat punca kandungan luar rahim.

Selain itu ujian pengimejan ultrasound semula akan dilakukan, bagi melihat perubahan yang berlaku (jika ada).

Tiada ubat atau intervensi lain yang diberikan pada tempoh ini. Ini kerana lazimnya, paras serum hCG ini akan menurun dengan sendirinya, menandakan janin tersebut mati secara semula jadi akibat tidak berjaya untuk terus berkembang.

Baca juga:

Penggunaan ubat, atasi punca kandungan luar rahim

Rawatan awal menggunakan ubat methotrexate untuk kehamilan ektopik adalah alternatif lain sekiranya pembedahan tidak dilakukan.

Jika diberi pada peringkat awal kehamilan ektopik, ianya mampu untuk menghentikan perkembangan embrio tersebut, mengakibatkan keguguran secara spontan atau isinya terurai dan diserap sepenuhnya oleh badan ibu, atau dikeluarkan mengikut darah haid.

Kontraindikasi bagi rawatan ini adalah penyakit darah, buah pinggang, hati dan juga sekiranya saiz embrio (melalui ukuran dalam pengimejan ultrasound) telah melebihi ukuran 3.5 cm.

Selain itu, kontraindikasi lain adalah sekiranya turut berlaku kehamilan heterotopik, kerana pengambilan methotrexate mampu untuk menyebabkan keguguran janin normal dalam rahim.

Pembedahan

Sekiranya seseorang itu tidak sesuai untuk menjalani rawatan menggunakan kedua-dua kaedah yang di atas, pilihan terbaik mereka adalah melalui pembedahan.

Rawatan pembedahan yang dilakukan untuk kes mengandung luar rahim adalah sama ada pembedahan laparotomy ataupun pembedahan laparoskopik.

ektopik

Kedua-dua kaedah ini digunakan untuk mendapatkan visual dan akses terhadap kawasan pelvis.

Ini membolehkan doktor untuk memilih untuk memotong tiub yang terjejas dan membuang kandungan ektopik tersebut (salpingotomy) atau membuang tiub yang terjejas itu sekali (salpingectomy).

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan simptom-simptom yang menunjuk ke arah punca kandungan luar rahim, segera berjumpa dengan doktor anda bagi mendapatkan pemeriksaan fizikal, ujian pengesahan dan juga pilihan rawatan yang sesuai dengan keadaan anda.

Anda juga mampu untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang peluang kehamilan anda yang akan datang berdasarkan rawatan yang dipilih oleh doktor anda.

Rawatan awal dan perhatian doktor yang mencukupi akan memberi kesan yang positif kepada si ibu.

Justeru, elakkan berlengah sekiranya anda khuatir tentang keadaan diri dan juga kandungan anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 03/04/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan