backup og meta

Ibu Hamil Nak Turunkan Paras Gula Darah? Ikut 7 Cara 'Simple' Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/10/2022

    Ibu Hamil Nak Turunkan Paras Gula Darah? Ikut 7 Cara 'Simple' Ini

    Tahukah anda, wanita hamil berpotensi mendapat diabetes gestasi jika pemakanan hariannya tidak dikawal langsung? Jadi, bagi mengurangkan risiko mendapat masalah kencing manis, ibu perlulah mengamalkan beberapa kaedah pemakanan yang tepat. Apakah jenis makanan atau cara menurunkan gula darah pada ibu hamil agar tidak mendapat diabetes gestasi? 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    7 cara menurunkan gula darah pada ibu hamil yang boleh diamalkan

    Ada beberapa cara menurunkan gula darah pada ibu hamil yang sangat mudah untuk dipraktikkan.

    Mungkin sebelum ini anda tidak tahu mengenainya justeru adalah lebih baik untuk anda melihat kepada 7 cara yang kami kongsikan di sini.

    #1. Kurangkan makanan manis, cara menurunkan gula darah pada ibu hamil yang paling utama

    Tip pertama untuk wanita hamil menurunkan paras gula darah adalah dengan mengawasi pengambilan makanan yang manis. Ini merupakan langkah paling penting dan lazim walaupun untuk pesakit diabetes biasa.

    Untuk mengelakkan gula darah anda meningkat naik secara mendadak, cuba kurangkan pengambilan makanan manis seperti kuih-muih, kek, minuman manis bahkan gula-gula.

    Jika anda mengidam makanan manis, gantikannya dengan sumber lain seperti buah-buahan.

    Namun, anda masih perlu mengawal pengambilan harian agar tidak makan buah secara berlebih-lebihan.

    #2. Banyakkan minum air kosong

    cara menurunkan gula darah pada ibu hamil

    Tahukah anda bahawa air kosong tidak mengandungi sebarang kalori.

    Selain itu, ia juga mempunyai beberapa khasiat lain yang membantu memastikan keseimbangan dan metabolisme tubuh agar berjalan dengan lancar.

    Air kosong membantu anda mengurangkan keinginan untuk mengambil minuman manis selain mengekalkan diri untuk kekal hidrat.

    Pengambilan air putih setiap hari mampu menstabilkan gula darah wanita hamil supaya tidak meningkat naik.

    #3. Cara menurunkan gula darah pada ibu hamil: lakukan senaman ringan

    Tip yang seterusnya bagi menurunkan paras gula darah wanita yang sedang hamil adalah dengan melakukan senaman ringan.

    Namun, sebelum melibatkan diri dengan sebarang senaman, dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Jika doktor membenarkan anda untuk melakukan senaman ringan, barulah anda boleh melakukannya.

    Senaman bukan sahaja membantu mengawal paras gula darah tetapi juga memberikan manfaat kepada pernafasan dan peredaran darah.

    Cukup sekadar dengan berjalan-jalan di sekitar rumah pada waktu pagi dan petang.

    Senaman juga boleh mengurangkan sakit-sakit belakang yang sering terjadi dalam kalangan wanita hamil. 

    #4. Ambil makanan yang mengandungi probiotik

    cara menurunkan gula darah pada ibu hamil

    Makanan yang kaya probiotik atau bakteria baik ini sangat diketahui membantu sistem pencernaan tubuh. Selain itu, ia juga boleh membantu mengawal paras gula darah dalam tubuh manusia.

    Antara jenis makanan yang kaya dengan probiotik adalah seperti yogurt, keju dan susu.

    Namun, ia tidak bermakna bahawa anda boleh mengambilnya tanpa had.

    Anda masih perlu mengawal pengambilan harian walaupun ia baik untuk tubuh agar tidak berlaku sebarang komplikasi lain.

    #5. Ambil jenis lemak sihat

    Tidak semua lemak adalah jenis lemak yang buruk.

    Ada jenis lemak sihat dan bermanfaat kepada tubuh yang disebut sebagai lemak tidak tepu tunggal atau mono.

    Antara contoh makanan yang kaya dengan jenis lemak tidak tepu ialah minyak zaitun, minyak kanola, buah avokado, kekacang, biji-bijian dan juga ikan salmon.

    Kandungan lemak sihat yang diambil ini mampu mengawal paras gula darah sehingga menjauhkan diri kita daripada risiko mendapat penyakit diabetes. 

    #6. Cara menurunkan gula darah pada ibu hamil adalah dengan makan oat

    cara menurunkan gula darah pada ibu hamil

    Bijirin oat adalah salah satu jenis makanan yang memiliki indeks glisemik atau GI yang rendah.

    Apabila jenis makanan itu rendah GI, maka ia akan mengambil lebih banyak masa untuk dihadam dan membuatkan perut kita berasa kenyang dalam tempoh yang lebih lama.

    Pengambilan oat tidak sama dengan pengambilan nasi kerana oat tidak akan meningkatkan kadar gula darah anda.

    Jika anda inginkan hidangan oatmeal yang lebih enak dan berkhasiat, tambahkan juga hirisan buah-buahan seperti kekacang, buah pic, pisang dan juga buah beri ke dalam mangkuk oat anda.

    #7. Ambil sumber makanan berprotein

    Protein juga mampu mengawal kadar gula dalam darah wanita hamil agar ia sentiasa stabil.

    Selain itu, protein juga boleh membuatkan kita berasa kenyang dengan lebih lama.

    Antara jenis makanan yang kaya dengan kandungan protein adalah seperti ikan, daging tanpa lemak, ayam, dan juga telur. 

    Elakkan makanan ini juga!

    Selain mengambil beberapa jenis makanan seperti di atas, ada juga beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan bagi menurunkan paras gula darah.

    Antaranya ialah minuman beralkohol, makanan segera, makanan bergoreng, dan juga makanan yang tinggi kandungan kanji seperti nasi putih dan kentang.

    Dengan mengamalkan beberapa cara menurunkan gula darah pada ibu hamil seperti ini, anda bukan sahaja boleh mengelakkan diri daripada mengalami diabetes gestasi, malah risiko beberapa penyakit kronik lain. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan