Ia adalah disebabkan pendedahan berpanjangan dan berlebihan kepada bunyi kuat, termasuk muzik yang didengari melalui peranti audio peribadi.
Disyaki menjelang tahun 2050 kelak, lebih 900 juta individu atau bersamaan 1 dalam setiap 10 individu akan mengalami masalah pendengaran.

Ini menunjukkan bahawa golongan tua dan muda sama-sama mempunyai risiko yang tinggi untuk berdepan dengan masalah ini.
Tanda masalah pendengaran yang anda perlu tahu
Sebenarnya, individu yang menderita masalah ini mungkin tidak akan pernah tahu bahawa mereka mengalaminya selagi tidak didiagnosis sedemikian.
Ini kerana mereka mungkin sudah terbiasa dengan kelantangan bunyian yang didengar sejak kecil lagi.
Akibatnya, mereka mungkin tidak mampu membezakan sama ada bunyian itu adalah kuat atau tidak.
Ia adalah sesuatu yang tidak bagus kerana ini akan membuatkan mereka tidak sedar atau tidak mahu tampil untuk mendapatkan rawata susulan.
Untuk menghindarinya, sila lebih cakna dengan tanda masalah pendengaran seperti yang telah disenaraikan oleh laman sosial rasmi Public Health Malaysia (PHM):
- Bercakap terlalu kuat
- Selalu salah faham ketika berkomunikasi
- Selalu meminta rakan mengulang ujaran
- Sukar untuk mendengar suara menerusi telefon
- Sukar untuk mendengar suara wanita dan kanak-kanak
- Sukar untuk mendengar jika persekitaran terlalu bising
- Kerap ditegur mendengar sesuatu dengan terlalu lantang
Sila tangani masalah pendengaran dengan segera!
Sekiranya anda mengesyaki diri atau kenalan mempunyai masalah pendengaran atau pekak, segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.
Selepas disahkan bahawa memang benar kalian menderita masalah ini, dapatkan nasihat doktor untuk menggunakan alat bantu pendengaran.
Untuk pengetahuan anda, ia adalah sejenis alat yang membolehkan orang pekak memperbaiki atau memulihkan semula pendengaran mereka.
Ia berfungsi dengan cara menerima bunyian yang terhasil di sekeliling melalui mikrofon lalu menukarkan tenaga bunyi kepada elektrik.
Kemudian, amplifier akan memproses gelombang tersebut lalu menghantarnya ke telinga melalui fon telinga untuk golongan ini mendengar.
Sekiranya doktor tidak menyarankannya, anda mungkin perlu menjalani rawatan susulan seperti pembedahan atau pemasangan implan koklea.
Mencegah itu lebih baik daripada mengubat…
Namun kesemua keadaan kesihatan yang wujud di dunia ini adalah lebih baik untuk dicegah daripada diubati, bukan? Jadi cegahlah ia sebelum terlambat!
Caranya adalah dengan cuba mengelakkan setiap faktor risiko yang mungkin boleh menyebabkan masalah pendengaran terjadi.
Antara yang boleh dilakukan adalah cuba untuk mendengar radio atau televisyen pada kelantangan yang ideal dan tidak terlalu kuat.
Selain itu, elakkan juga daripada kerap menggunakan fon telinga sama ada dalam bentuk headphone atau earphone kerana ia menghasilkan gelombang yang tidak baik untuk telinga anda.
Akhir kata, sila jaga keadaan kesihatan telinga anda dengan baik agar masalah ini tidak terjadi ya!