Bayangkan jika anda ada tidak mampu menjadi pendengar yang baik angkara ada tanda masalah pendengaran?
Ya, ketidakupayaan ini sudah pasti akan menjejaskan perhubungan serta kehidupan seharian anda!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, klik di sini.
Apa maksud masalah pendengaran?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, adalah wajar untuk kita semua tahu definisi sebenar maksud masalah pendengaran ini terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan anda, ia adalah satu kondisi di mana anda sukar atau langsung tidak mampu untuk mendengar bunyi dengan baik.
Terdapat tiga jenis masalah pendengaran dan ia sangat bergantung kepada bahagian yang terjejas:
- Sensorineural – Berlaku apabila sel pada bahagian dalam telinga atau saraf auditori rosak secara natural akibat penuaan atau kecederaan
- Konduktif – Berlaku apabila terdapat halangan yang menghalang bunyi daripada bahagian luar telinga ke dalam telinga
- Campuran – Berlaku apabila terdapat masalah pendengaran konduktif dan sensorineural pada masa yang sama
Kebiasaannya, ia akan berlaku disebabkan oleh beberapa faktor risiko seperti genetik, kerosakan gegendang telinga, kesumbatan tahi telinga dan jangkitan pada telinga.
Bukan itu sahaja, pendedahan kepada bunyi yang terlalu kuat daripada pelbagai sumber seperti radio, televisyen dan lain-lain juga merupakan antara pencetusnya.
Namun ada satu faktor risiko yakni yang paling utama akan menyebabkan masalah ini serta tidak dapat dielakkan oleh mana-mana individu, iaitu penuaan.
Jadi adakah ini bermakna golongan belia tidak akan mengalaminya? Tidak!
Golongan tua dan muda turut akan terjejas
Seperti mana yang kita selalu dimomokkan, masalah pendengaran atau pekak kebiasaannya hanya akan berlaku kepada golongan tua sahaja.
Ya, ini mungkin benar namun bukanlah bermakna golongan muda akan terus terlepas daripada masalah ini.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 50% individu berusia antara 12 hingga 35 tahun atau 1.1 bilion belia berdepan risiko tinggi mengalami masalah pendengaran.
Ia adalah disebabkan pendedahan berpanjangan dan berlebihan kepada bunyi kuat, termasuk muzik yang didengari melalui peranti audio peribadi.
Disyaki menjelang tahun 2050 kelak, lebih 900 juta individu atau bersamaan 1 dalam setiap 10 individu akan mengalami tanda masalah pendengaran.
Ini menunjukkan bahawa golongan tua dan muda sama-sama mempunyai risiko yang tinggi untuk berdepan dengan masalah ini.
Tanda masalah pendengaran yang anda perlu tahu
Sebenarnya, individu yang menderita masalah ini mungkin tidak akan pernah tahu bahawa mereka mengalaminya selagi tidak didiagnosis sedemikian.
Ini kerana mereka mungkin sudah terbiasa dengan kelantangan bunyian yang didengar sejak kecil lagi.
Akibatnya, mereka mungkin tidak mampu membezakan sama ada bunyian itu adalah kuat atau tidak.
Ia adalah sesuatu yang tidak bagus kerana ini akan membuatkan mereka tidak sedar atau tidak mahu tampil untuk mendapatkan rawata susulan.
Untuk menghindarinya, sila lebih cakna dengan tanda masalah pendengaran seperti yang telah disenaraikan oleh laman sosial rasmi Public Health Malaysia (PHM):
- Bercakap terlalu kuat
- Selalu salah faham ketika berkomunikasi
- Selalu meminta rakan mengulang ujaran
- Sukar untuk mendengar suara menerusi telefon
- Sukar untuk mendengar suara wanita dan kanak-kanak
- Sukar untuk mendengar jika persekitaran terlalu bising
- Kerap ditegur mendengar sesuatu dengan terlalu lantang
Sila tangani masalah pendengaran dengan segera!
Sekiranya anda mengesyaki diri atau kenalan mempunyai tanda masalah pendengaran atau pekak, segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.
Selepas disahkan bahawa memang benar kalian menderita masalah ini, dapatkan nasihat doktor untuk menggunakan alat bantu pendengaran.
Untuk pengetahuan anda, ia adalah sejenis alat yang membolehkan orang pekak memperbaiki atau memulihkan semula pendengaran mereka.
Ia berfungsi dengan cara menerima bunyian yang terhasil di sekeliling melalui mikrofon lalu menukarkan tenaga bunyi kepada elektrik.
Kemudian, amplifier akan memproses gelombang tersebut lalu menghantarnya ke telinga melalui fon telinga untuk golongan ini mendengar.
Sekiranya doktor tidak menyarankannya, anda mungkin perlu menjalani rawatan susulan seperti pembedahan atau pemasangan implan koklea.