Pernahkah anda terdengar atau terbaca tentang mukus? Ya, anda tepat! Ia adalah sejenis cecair melekit seakan lendir yang wujud dalam tubuh badan kita.
Antara jenis mukus kita mungkin selalu dapat lihat adalah yang ada dalam hidung, mulut dan tekak.
Kita mungkin tidak akan memanggil lendir ini sebagai mukus sebaliknya dua nama ini; hingus dan kahak.
Persoalannya, adakah keduanya itu adalah sama sahaja atau berbeza?
Jom ketahui jawapannya menerusi artikel ini dengan lebih mendalam lagi!
Apa itu mukus?
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, wajarlah untuk kita semua belajar tentang definisinya terlebih dahulu.
Menurut Dr. Paul C. Bryson, Pakar Laryngologist dari Cleveland Clinic’s Voice Center di Amerika Syarikat, mukus adalah sejenis cecair melekit seakan lendir yang dihasilkan oleh sel mukus yang ada dalam kelenjar mukus pada setiap hari bagi tujuan tertentu.
Ia dihasilkan dalam tubuh badan kita bagi tujuan melindungi sistem pernafasan, penghadaman, perkumuhan, urogenital, auditori dan sebagainya daripada kuman, bakteria atau virus.
Pada sistem pernafasan, kita sering sahaja dapat lihat mukus pada laluan hidung atau saluran tekak yang terkeluar sedikit akibat dari perbuatan luar kawalan seperti bersin atau batuk.
Dalam keadaan ini, ia sering kali dikenali dengan nama hingus dan kahak.
Sila baca lebih lanjut lagi untuk tahu perbezaan di antara kedua-duanya.
Apa perbezaan kahak dan hingus?
Setiap hari, sistem pernafasan kita akan menghasilkan anggaran 1 ke 1.3 liter mukus tanpa kita sedar dan rasa walaupun ketika tertelannya.
Individu dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) pula akan menghasilkan lebih banyak mukus ekoran peningkatan jumlah sel mukus dan pembesaran kelenjar mukus.
Ia boleh diumpamakan seperti sebuah ‘penapis’ yang akan menghalang atau menyekat kemasukan debu, habuk, asap, kotoran dan bendasing dari memasuki tubuh badan melalui udara.
Meskipun kelihatan serupa, kahak dan hingus sebenarnya adalah berlainan. Jom hayati bersama perbezaannya:
#1. Luaran
Dari segi luarannya, tidak banyak yang boleh kami bezakan kerana hingus dan kahak kelihatan sama sahaja.
Dari aspek warna, tekstur, dan bau juga tidak banyak beza. Ini menjadikan kita seringkali keliru antara dua mukus ini.
#2. Lokasi mukus dihasilkan
Hingus akan dihasilkan oleh sel mukus yang terdapat dalam kelenjar mukus pada kawasan hidung, mulut dan tekak.
Kahak pula dihasilkan oleh sel mukus yang terdapat pada kelenjar mukus pada paru-paru dan saluran pernafasan.
#3. Punca mukus dihasilkan
Hingus akan dihasilkan bagi tujuan menapis kemasukan debu, habuk, asap, kotoran dan bendasing ke dalam hidung, mulut dan tekak.
Kahak pula dihasilkan bagi tujuan menapis kemasukan debu, habuk, asap, kotoran dan bendasing ke dalam paru-paru dan saluran pernafasan.
#4. Bagaimana mukus boleh dibuang
Mukus adalah cecair melekit seakan lendir yang dihasilkan secara berterusan dan tetap akan wujud dalam tubuh badan meskipun dibuang banyak kali.
Hingus akan dikeluarkan secara luar kawalan melalui perbuatan bersin.
Kahak pula dikeluarkan secara luar kawalan melalui perbuatan batuk.
Sekiranya ia wujud dengan terlalu banyak lantas mengganggu kelancaran kehidupan seharian anda, apa yang boleh dilakukan?
Bagaimana membuang mukus yang terlalu banyak?
Seperti mana yang kita tahu, mukus seperti hingus dan kahak mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Namun jika terlalu banyak, ia mungkin petanda kalian sedang mengalami kondisi berikut:
- Demam
- Selesema
- Alahan
- Sinusitis
- Terdedah kepada pencemaran
Sekiranya ia terlalu banyak dan menyebabkan masalah lain seperti hidung tersumbat, hidung berdarah, kehilangan berat badan atau berpeluh pada waktu malam, segera dapatkan konsultasi doktor.
Tidak ada masalah untuk kalian membuang mukus yang berlebihan pada tubuh badan, Berikut adalah caranya:
Minum air lebih banyak
Tubuh badan yang kekal berhidrasi adalah sangat penting untuk mengurangkan mukus pada tubuh badan.
Pasang pelembap udara
Ini dapat membantu tubuh badan anda kekal lembap lantas mengurangkan penghasilan mukus.
Selenggara sistem pemanas/penyejuk udara
Ini penting untuk memastikan ia bebas dari segala bendasing yang boleh memasuki rongga tubuh badan.
Guna cecair semburan hidung
Ubat ini akan membantu mengekalkan kelembapan dan memastikan tisu pada sistem pernafasan anda agar kekal terhidrasi.
Sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa itu mukus, hingus atau kahak, segera berjumpa doktor untuk berkonsultasi okay!
[embed-health-tool-ovulation]