Alahan makan kacang? Ya, mungkin anda jarang mendengarnya tetapi ia adalah penyebab paling biasa bagi serangan alergi yang teruk. Malah, simptom alahan kulit kacang tanah sebenarnya boleh mengancam nyawa!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Alahan, anda boleh klik di sini.
Alahan kulit, kacang tanah juga boleh jadi punca?
Bagi mereka yang masih belum tahu tentang hal ini, kacang tanah adalah sejenis makanan yang paling kerap memicu alergi pada manusia sekali gus menjadi keburukan makan kacang.
Bagi sesetengah individu yang mempunyai alahan kulit kacang tanah, dengan hanya terkena sedikit sahaja cebisan kekacang ini boleh menyebabkan reaksi yang agak teruk.
Alahan kulit kacang tanah ini semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak.
Walaupun anak anda mempunyai alahan kulit yang ringan terhadap kekacang ini, bawalah mereka untuk berjumpa dengan doktor bagi mengelakkan risiko reaksi yang lebih serius pada masa hadapan.
Apakah simptom-simptom alahan kulit kacang tanah?
Reaksi alahan terhadap kacang tanah ini biasanya berlaku dengan pantas, iaitu hanya selepas beberapa minit berlakunya pendedahan terhadap kacang tanah.
Perlu diingat, walaupun anda mungkin menganggapnya sebagai sejenis alahan kulit, namun simptom yang berlaku tidak hanya pada kulit sahaja.
Antara simptom-simptom alahan yang boleh berlaku ialah:
- Hidung yang berair
- Reaksi kulit seperti kemerahan dan juga pembengkakan
- Gatal-gatal atau rasa kesemutan pada atau sekitar mulut dan juga tekak
- Berlakunya masalah pencernaan seperti cirit-birit, ketakcernaan, kejang perut, loya atau muntah-muntah
- Rasa ketat pada bahagian tekak
- Sesak nafas atau bunyi nafas yang berdehit
- Batuk yang berulang
- Nadi yang lemah
- Kulit yang pucat atau berwarna biru
- Pening kepala
- Rasa keliru
Bagaimanakah alahan kulit kacang tanah ini boleh terjadi?
Mesti anda tertanya-tanya, bagaimana alahan kacang tanah ini boleh berlaku? Di sini kami terangkan kepada anda.
Alahan kulit kacang tanah ini berlaku apabila sistem imun tubuh telah tersilap dalam mengenal pasti protein kacang tanah sebagai sesuatu yang berbahaya.
Pendedahan secara langsung atau tidak langsung dengan kacang tanah akan menyebabkan sistem imun tubuh melepaskan sejenis bahan kimia dalam aliran darah.
Bahan kimia ini kemudiannya menyebabkan berlaku simptom-simptom seperti di atas.
Pendedahan terhadap kacang tanah ini boleh berlaku melalui 3 cara iaitu:
-
Pendedahan langsung
Ini adalah cara yang paling kerap menyebabkan alahan. Memakan kacang tanah atau sebarang produk makanan yang mengandungi kacang tanah adalah satu bentuk pendedahan langsung.
Kadangkala, sentuhan secara langsung antara kulit dengan kekacang ini juga boleh mencetuskan reaksi alergi.
-
Pendedahan silang
Ini adalah pendedahan terhadap kacang tanah secara tidak sengaja di dalam sesuatu produk makanan.
Biasanya produk makanan yang dihasilkan telah terdedah dengan sisa kacang tanah semasa diproses atau menggunakan alatan yang sama semasa memproses kacang tanah.
-
Menyedut nafas
Reaksi alahan juga boleh berlaku sekiranya seseorang individu itu menyedut nafas dengan habuk atau semburan aerosol yang mengandungi kacang tanah.
Habuk kacang tanah ini boleh terhasil daripada serbuk atau tepung kacang dan juga semburan minyak masak kacang tanah.
Walau bagaimanapun, jenis pendedahan ini adalah sangat jarang berlaku. Ini kerana, biasanya kacang tersebut perlu dimakan untuk mengakibatkan reaksi alahan makanan.
Adakah alahan ini hanya melibatkan kacang tanah sahaja?
Walaupun kita menyebutnya sebagai kacang tanah, tetapi ia bukanlah sejenis kacang pokok (tree nuts).
Ia adalah sejenis legum yang tergolong dalam keluarga yang sama seperti kacang pis dan kacang dal.
Walau bagaimanapun, protein kacang tanah ini mempunyai struktur yang sama seperti yang ada pada jenis kacang pokok.
Oleh itu, individu yang ada alahan makanan dengan kacang tanah juga akan mempunyai alahan dengan jenis kacang pokok seperti badam, walnut, kacang hazel, macadamia, pistachio, pecan dan juga gajus.
Bagaimana reaksi alergi kacang tanah ini boleh dirawat?
Alahan kacang tanah ini boleh menyebabkan reaksi yang teruk yang disebut sebagai anafilaksis.
Anafilaksis mungkin bermula dengan simptom yang lebih kurang sama seperti reaksi yang kurang teruk, tetapi ia akan menjadi lebih teruk dengan kadar yang pantas.
Sekiranya anafilaksis ini tidak dirawat secepat mungkin, ia boleh mengancam nyawa individu tersebut.
Biasanya, jika anda mempunyai alahan terhadap kacang tanah atau sebarang alahan terhadap makanan yang serius, doktor akan memberikan anda epinephrine auto-injector sekiranya berlaku kecemasan.
Ia adalah sejenis ubat preskripsi yang mudah untuk digunakan. Anda perlu membawanya bersama ke mana-mana untuk keselamatan anda.
[embed-health-tool-bmr]