Selain itu, doktor juga akan mengambil kira faktor lain seperti umur dan sama ada anda mempunyai asma ataupun tidak sebelum memberi preskripsi ubat.
Sebagai contoh, doktor mungkin akan mencadangkan ubat-ubatan seperti:
- Antihistamin untuk ubati penyakit resdung
Antihistamin merupakan sejenis ubat yang berfungsi dengan cara menghalang histamin, sejenis protein yang dirembeskan oleh badan ketika mengalami reaksi alahan.
Antihistamin boleh didapati di dalam bentuk pil, cecair, titik mata, penyembur hidung (nasal sprays) dan inhalers.
- Ubat hidung tersumbat (decongestants)
Ubat hidung tersumbat, seperti namanya, dapat membantu menghilangkan sebarang halangan di dalam hidung pesakit. Walau bagaimanapun, decongestant boleh menyebabkan pesakit alami pening kepala, sukar tidur dan rasa cepat marah.
Ubat ini boleh diambil dalam bentuk pil atau cecair dan juga boleh didapati dalam bentuk semburan hidung. Walau bagaimanapun, elak menggunakan ubat ini lebih daripada 3 hari.
- Semburan hidung kortikosteroid
Semburan ini amat berkesan untuk mengurangkan simptom alahan rhinitis. Malah, ia juga selamat untuk kegunaan kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Ketika pesakit mengalami reaksi alahan, badan akan mengeluarkan hormon leukotriene, histamin dan bahan kimia lain yang menyebabkan inflamasi.
Leukotriene blockers boleh menghalang badan daripada merembeskan leukotriene untuk mengurangkan simptom penyakit resdung.
Walau bagaimanapun, ada pesakit yang melaporkan mengalami kesan sampingan seperti ruam, pergerakan badan yang berlaku secara tiba-tiba, mimpi yang jelas dan perubahan mood yang ketara semasa mengambil ubat ini.
3. Suntikan immunoterapi untuk penyakit resdung
Jika anda tidak boleh mengelakkan alergen yang menyebabkan alahan atau simptom yang dialami adalah serius dan sukar dikawal, doktor mungkin akan mencadangkan suntikan immunoterapi kepada anda.
Doktor akan memberikan beberapa suntikan yang mengandungi alergen dalam bilangan yang kecil.
Setiap kali anda mengambil suntikan, jumlah alergen akan ditingkatkan hinggalah sistem imun badan anda mampu bertahan terhadap alergen tersebut.
Selain suntikan, doktor juga boleh memberi immunoterapi dalam bentuk pil. Pil ini perlu diletakkan di bawah lidah pesakit.
Kesimpulan

Penyakit resdung boleh membuat anda rasa tidak selesa. Namun, itu tidak bermakna tidak ada cara untuk merawat resdung yang anda alami.
Kebanyakan pesakit yang mempunyai resdung boleh hidup seperti biasa dengan syarat mereka melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup dan mengambil ubat dengan nasihat doktor.
Dengan cara ini, pesakit boleh merawat atau hilangkan simptom resdung yang mereka alami.