backup og meta

Sudahkah Anda Ambil Vaksin HPV? Bukan HANYA Untuk Wanita, Lelaki Pun Boleh!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/03/2021

    Sudahkah Anda Ambil Vaksin HPV? Bukan HANYA Untuk Wanita, Lelaki Pun Boleh!

    Human papilloma virus (HPV) sering dikaitkan dengan kanser serviks dan bintil genital yang berlaku pada kemaluan lelaki dan wanita.

    Jadual Imunisasi Kebangsaan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan perempuan berusia 13 tahun untuk diberikan vaksinasi ini.

    Perempuan sahaja ke? Bagaimana pula dengan lelaki? Adakah virus HPV tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan kepada lelaki?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    HPV adalah punca utama kanser?

    HPV bagaikan bahan asas bagi membentuk kanser tertentu namun ia bukan satu-satunya bahan yang perlu ada dalam pembentukan kanser tersebut.

    Ini bermakna faktor lain yang dialami oleh pesakit juga memainkan peranan dalam menggalakkan pembentukan kanser tersebut. 

    Untuk pengetahuan pembaca, kanser kebiasaannya berlaku disebabkan oleh interaksi di antara banyak faktor.

    Antara faktor yang boleh menggalakkan terjadinya kanser serviks selain daripada jangkitan HPV adalah seperti berikut:

    • Merokok 
    • Hamil lebih daripada 4 kali
    • Mempunyai pasangan seksual yang ramai
    • Jangkitan bersama dengan Human Immunodeficiency Virus (HIV) 
    • Jangkitan kelamin yang lain seperti Chlamydia trachomatis dan Herpes Simplex Virus (HSV) 2 
    • Keadaan di mana sistem imun badan terjejas
    • Genetik

    Jangkitan HPV disebarkan melalui hubungan kelamin tanpa perlindungan. Oleh sebab itulah, mereka yang pernah membuat hubungan kelamin dengan individu yang tidak diketahui statusnya perlu disaring. 

    hpv

    Strategi saringan kanser serviks berbeza mengikut negara masing-masing.

    Di Malaysia, kebanyakannya bergantung kepada program kesedaran yang mempunyai tema kawasan atau bukaan booth di lokasi keramaian yang menggalakkan wanita untuk hadir ke pusat kesihatan terdekat bagi menjalani ujian saringan kanser serviks.

    Namun, antara langkah penting yang perlu diambil oleh golongan wanita adalah vaksinasi HPV melalui Program Imunisasi HPV Nasional yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2010. 

    Pelajar sekolah yang berusia 13 tahun akan diberikan 3 dos vaksin HPV dan masa pengambilannya bergantung kepada jenis vaksin tersebut.

    Bagi vaksin bivalent, pemberiannya adalah pada 0, 1 dan 6 bulan manakala vaksin quadrivalent (HPV subjenis 6,11, 16 dan 18) pula akan diberikan pada 0, 2 dan 6 bulan.

    Bagaimana ia boleh menyebabkan kanser serviks?

    Apabila virus HPV masuk ke dalam badan wanita, sistem imun bagi individu sihat akan menghalang aktiviti virus daripada menyebabkan kerosakan pada sel.

    Namun, keadaan tersebut tidak berkekalan. Virus tersebut boleh hidup di dalam tubuh badan dan kembali aktif menyebabkan perubahan pra kanser pada anggota serviks.

    Bagi wanita yang mempunyai sistem imun normal, proses patologi tersebut mungkin mengambil masa 15 hingga 20 tahun.

    Walau bagaimanapun, jika wanita tersebut mengalami masalah berkaitan dengan sistem imun, proses pembentukan kanser boleh berlaku dalam masa 5 hingga 10 tahun sahaja.

    Setiap individu yang dijangkiti boleh mengalami proses perubahan pra kanser yang berbeza.

    Ada yang mengalami perubahan sel pada organ serviks dan ia hilang secara spontan dan ada juga yang didiagnosis dengan masalah kanser serviks invasif.

    Oleh sebab tiada maklumat yang jelas bagi menerangkan fenomena kebarangkalian tersebut, pencegahan melalui pengambilan vaksin HPV amatlah penting terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi.

    Lelaki kena ambil vaksin HPV ke?

    Persoalan ini, kadangkalanya, boleh menjadi stigma dalam masyarakat tertentu. Salah faham yang sering menular adalah virus tersebut sering dikaitkan dengan wanita.

    Jadi lelaki yang ingin mengambil vaksin HPV sering diejek, disendakan dan ada juga yang dibuli.

    Menurut statistik yang dikeluarkan oleh ICO dan IARC, jangkitan HPV berlaku lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding dengan wanita.

    Namun, kebanyakan daripada mereka tidak menunjukkan simptom dan biasanya tidak menjurus kepada kanser.

    Apabila berlaku hubungan intim di antara lelaki dan wanita, virus tersebut akan mengalami proses peralihan. 

    Model ini menunjukkan bahawa lelaki yang tidak divaksin bukan sahaja boleh menyebabkan terjadinya kanser zakar (jarang berlaku), malah mereka boleh menyebabkan peningkatan kepada jumlah jangkitan dan secara tidak langsung, berlakunya kanser serviks kepada pasangan mereka.

    lelaki

    Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), individu yang berusia 26 tahun dan ke bawah, digalakkan untuk mengambil vaksin.

    Bagi mereka yang berusia 27 tahun dan ke atas, golongan yang berisiko sahaja perlu mengambil vaksin tersebut.

    Ini berikutan kesannya yang semakin kurang apabila kita dimamah usia. Perbincangan dengan doktor perubatan perlu dilakukan jika anda ingin mengambil vaksin pada usia 27 tahun dan ke atas.

    Mereka yang mengamalkan konsep monogami mempunyai risiko yang sangat rendah untuk mendapat jangkitan HPV.

    Pokok pangkalnya…

    Jangan buat andaian bukan-bukan!

    Jika pasangan anda mempunyai keputusan positif jangkitan virus HPV, tidak semestinya mereka curang. Tiada alat yang boleh mengukur berapa lama virus tersebut telah menjangkiti seseorang. 

    Pasangan suami isteri, sahabat atau kekasih perlu menggalakkan satu sama lain untuk menjalani ujian kelamin.

    Ini bukan bertujuan untuk membuktikan kecurangan pada mana-mana pihak, sebaliknya ia untuk memberikan kualiti hidup yang lebih bermutu apabila anda bebas atau mempunyai kadar jangkitan seksual terkawal.

    Jika anda seorang individu berisiko yang bertanggungjawab, sila dapatkan rawatan dan vaksin bagi mengelakkan penyebaran atau pembentukan kanser di masa akan datang. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan