backup og meta

Bimbang Jika Kanser Payudara Berulang Semula? Jangan Biarkan Rasa Takut Menghantui Diri Anda!

Ditulis oleh Dr. Bassam Abdul Rasool Hassan · Farmasi · Hello Health Group


Disemak pada 09/07/2021

    Bimbang Jika Kanser Payudara Berulang Semula? Jangan Biarkan Rasa Takut Menghantui Diri Anda!

    Mereka yang pernah menghidap kanser payudara pasti tahu akan kebarangkalian untuk kanser berulang selepas rawatan.

    Walaupun rawatan kanser yang dijalani bertujuan untuk membuang semua sel barah dalam tubuh pesakit, kadangkala ada beberapa sel yang tertinggal atau ‘terselamat’ daripada rawatan.

    Sel kanser ini boleh membahagi tanpa sedar dan menjadi kanser semula. Untuk pengetahuan anda, kanser boleh kembali walaupun selepas bertahun-tahun pesakit menjalani rawatan.

    Kanser berulang juga boleh berlaku di tempat yang sama ataupun merebak ke bahagian badan yang lain.

    Sukar untuk sesiapapun menerima berita bahawa kanser mereka telah kembali. Recurrent cancer atau kanser yang kembali kadangkala lebih sukar untuk dirawat.

    Dalam kalangan pesakit yang pernah menghidap kanser payudara, rasa takut jika kanser kembali menghantui hidup adalah sesuatu yang lazim berlaku.

    Ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut mengenai kanser berulang dan juga cara yang anda boleh lakukan untuk kurangkan ketakutan yang dialami.

    Kanser berulang di tempat yang sama

    kanser berulang

    Kanser yang berulang boleh berlaku di tempat yang sama seperti kanser yang dialami sebelum ini. Jika ini berlaku, kanser tersebut akan dirawat dengan cara yang sama seperti sebelumnya.

    Jika anda pernah melakukan lumpectomy, kanser berulang di tempat yang sama akan dirawat menggunakan mastectomy.

    Jika rawatan utama anda ketika kanser terdahulu merupakan mastectomy, anda mungkin perlukan pembedahan untuk membuang tumor tersebut dan diikuti dengan terapi radiasi.

    Doktor mungkin akan mencadangkan agar anda melakukan terapi hormon, terapi bersasar (seperti trastuzumab) ataupun kemoterapi selepas rawatan.

    Salah satu cara untuk mengenal pasti sama ada anda mempunyai kanser yang berulang ialah dengan cara memerhatikan simptom atau gejala yang mungkin berlaku. Sebagai contoh:

    1. Muncul ketulan baru pada buah dada 
    2. Kawasan buah dada yang tegang atau keras
    3. Buah dada jadi merah atau membengkak
    4. Perubahan pada kawasan puting
    5. Muncul ketulan bawah kulit di bahagian payudara
    6. Muncul sesuatu yang abnormal pada kawasan parut mastectomy

    Walau bagaimanapun, bukan semua ketulan yang muncul adalah kanser. Kadangkala, selepas wanita melakukan mastectomy dan menjalani pembedahan penstrukturan semula, anda mungkin akan merasai ketulan-ketulan kecil yang tidak berbahaya pada buah dada anda.

    Ketulan ini bukan tanda kanser berulang dan hanyalah gumpalan sel lemak yang mati di dalam buah dada yang telah distruktur semula.

    Tetapi, doktor masih perlu tahu jika anda mengesan sebarang ketulan pada payudara anda. Doktor boleh memantau keadaan anda selepas rawatan dengan melakukan ujian klinikal.

     Jangan biarkan rasa takut menghantui diri 

    kanser berulang

    Bagi pesakit kanser payudara, kanser berulang ibarat mimpi ngeri yang berlaku untuk kali kedua. Oleh sebab itu, ramai yang akan gelisah dan dihantui rasa takut hingga mengganggu keamanan hidup.

    Walau bagaimanapun, ada beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk menguasai rasa takut tersebut dan tukarkannya kepada sesuatu yang positif. Jom, ikuti tip kami di bawah:

    1. Kekal bertenang

    Perasaan takut dan risau yang anda rasai merupakan sesuatu yang rasional. Normal jika anda mempunyai rasa takut lebih-lebih lagi selepas sembuh daripada penyakit kanser.

    Setiap pesakit yang melakukan rawatan kanser sudah pasti mempunyai keinginan untuk sembuh. Segala kesusahan yang dialami oleh pesakit selama ini pasti akan meninggalkan sebuah titik hitam di dalam hidup.  

    Jika anda mempunyai masalah untuk kekal tenang, mungkin sudah tiba masanya untuk anda berjumpa dengan kaunselor atau ahli terapi untuk bantu anda menguruskan emosi.

    Mereka boleh bantu anda untuk menerima semua perasaan yang anda alami dan yakinkan diri anda bahawa semua itu merupakan sesuatu yang normal.

    2. Minta sokongan keluarga

    kanser berulang

    Anda tidak perlu lalui semua ini bersendirian. Pastikan anda mempunyai sokongan yang kukuh daripada keluarga dan sahabat handai jika mula diserang rasa gelisah mengenai penyakit anda.

    Kajian telah menunjukkan bahawa kumpulan sokongan dapat membantu pesakit kanser berulang untuk melalui hidup yang lebih tenang dan berkualiti.

    Kadangkala, pesakit kanser rasa diri mereka berseorangan. Pengalaman yang mereka tempuhi terasa asing kerana tidak ada sesiapapun di kalangan teman rapat atau ahli keluarga yang mempunyai penyakit yang sama.

    Kumpulan sokongan boleh menjadi medan tempat pesakit kanser bertukar-tukar cerita dan pendapat tanpa sebarang diskriminasi.

    Mungkin pengalaman serta sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi boleh buatkan anda rasa lebih tenang?

    3. Teruskan rawatan jika kanser berulang

    Pengalaman pahit yang pesakit rasakan semasa menerima rawatan daripada doktor mungkin akan membuatkan mereka trauma dan sukar untuk berjumpa kembali dengan doktor.

    Walaupun kanser yang pesakit alami sudah sembuh, itu tidak bermakna janji temu dengan doktor sudah tidak perlu dihadiri lagi.

    Seperti yang ramai sudah tahu, pengesanan awal kanser amat penting untuk kesembuhan kanser. Oleh sebab itu, jangan selalu ponteng janji temu anda bersama doktor ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Dr. Bassam Abdul Rasool Hassan

    Farmasi · Hello Health Group


    Disemak pada 09/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan