Rasa takut apabila doktor sarankan anda untuk menjalani biopsi payudara? Tetapi tiada siapa yang anda kenali mempunyai pengalaman biopsi payudara. Dalam perkongsian artikel ini, Hello Doktor bantu anda memahami mengenai prosedur ini.
Lepas ini confirm tidak nervous lagi!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.
Apakah Itu Biopsi Payudara?
Biopsi payudara adalah suatu prosedur perubatan ringkas di mana sampel tisu payudara akan diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian. Menurut Mayo Clinic, biopsi payudara adalah cara terbaik untuk menilai jika apa-apa benjolan atau bahagian yang mencurigakan pada payudara itu adalah kanser (Mayo Clinic).
Ingat, sebarang benjolan pada payudara tidak selalunya kanser. Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan ketulan atau ketumbuhan pada payudara. Biopsi payudara boleh membantu menentukan sama ada benjolan di payudara anda adalah kanser atau benigna (bukan kanser).
Mengapa Biopsi Payudara Dilaksanakan?
Biopsi payudara biasanya dilakukan untuk menyiasat sebarang benjolan di payudara. Ini penting kerana walaupun benjolan payudara biasanya dianggap menakutkan, hanya satu daripada lima kes benjolan payudara adalah kanser, menurut Mayo Clinic.
Doktor anda biasanya akan melaksanakan biopsi jika dia mengesan sesuatu dapatan pada keputusan mamografi atau imbasan ultrabunyi payudara, atau sekiranya terdapat benjolan semasa pemeriksaan fizikal.
Biopsi juga mungkin diperintahkan jika ada perubahan pada puting anda, termasuk lelehan berdarah, kulit berkerak, bercawak, atau bersisik. Ini adalah semua petanda bagi tumor di buah dada.
Risiko-risiko Pada Pengalaman Biopsi Payudara
Walaupun biopsi payudara agak mudah dan berisiko rendah, setiap prosedur pembedahan walaupun kecil pasti membawa risiko. Beberapa kesan sampingan dari biopsi payudara termasuk:
- perubahan rupa payudara anda, bergantung kepada saiz tisu yang dikeluarkan
- lebam dan pembengkakan payudara
- kesakitan di kawasan suntikan
- jangkitan laman biopsi
Pastikan anda mematuhi arahan doktor anda untuk kaedah penjagaan selepas biopsi. Ini akan mengurangkan kemungkinan jangkitan terhadap anda.
Komplikasi daripada biopsi biasanya jarang berlaku. Faedah-faedah daripada pemeriksaan benjolan yang berpotensi sebagai kanser, jauh melebihi risiko yang datang bersama prosedur ini.
Lebih awal anda mengesan kanser payudara, lebih cepat rawatan dapat dimulakan, dan ia akan menjadikan peluang anda untuk bertahan hidup lebih baik.
Baca juga:
Jenis-jenis Pengalaman Biopsi Payudara
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan pakar bedah untuk mengambil sampel tisu payudara anda. Ini termasuklah:
Biopsi Jarum Halus
Untuk prosedur ini, anda akan berada di atas meja semasa pakar bedah anda memasukkan jarum kecil dan picagari ke dalam benjolan untuk mengeluarkan sampel. Ini membantu menentukan perbezaan antara sista (cyst) yang berisi cecair dengan benjolan yang berjisim pepejal.
Biopsi Teras
Sama seperti biopsi jarum halus, prosedur ini menggunakan jarum yang lebih besar untuk mengumpulkan beberapa sampel, setiap satu bersaiz seperti bijirin beras.
Biopsi Stereotaktik
Semasa prosedur ini, anda akan berbaring meniarap di atas meja dengan muka anda berada di dalam lubang meja. Meja ini berkuasa elektrik dan boleh dinaikkan mencondong.
Dengan cara ini, pakar bedah boleh bekerja di bawah meja sementara payudara anda terletak di antara dua plat. Doktor bedah anda akan membuat potongan kecil dan mengeluarkan sampel dengan jarum yang berkuasa vakum.
Pengalaman Biopsi Payudara Teras Dipandu MRI
Semasa prosedur ini, anda akan berbaring meniarap di atas meja dengan muka anda berada di dalam lubang meja. Mesin MRI akan memberikan imej yang memandu pakar bedah kepada bahagian benjolan. Potongan kecil dibuat dan sampel diambil dengan jarum teras.
Biopsi Pembedahan
Prosedur ini melibatkan pembedahan sebahagian jisim payudara. Selepas itu, sampel akan dihantar ke makmal hospital, dan bahagian pinggir sampel akan diperiksa untuk memastikan seluruh benjolan kanser berjaya dikeluarkan.
Penanda logam boleh ditinggalkan di payudara anda untuk pemantauan kawasan tersebut di masa akan datang.
Anda perlu menjaga luka biopsi dengan membersihkan dan menukar pembalut. Doktor anda akan memberi arahan kepada anda tentang bagaimana untuk mengurus luka anda dengan betul.
Sekiranya anda mengalami demam melebihi 100 ° F atau mengalami kemerahan, kehangatan atau lelehan dari luka biopsi, anda perlu menghubungi doktor anda. Ini semua adalah antara tanda-tanda jangkitan.
Keputusan Pengalaman Biopsi Payudara
Keputusan ujian anda boleh kembali sebagai benigna (tidak kanser), pra-kanser, atau kanser.
Sekiranya sampel tersebut adalah kanser, hasil biopsi juga akan mendedahkan jenis kanser itu. Jenis-jenis kanser payudara yang boleh dikesan termasuklah:
- Karsinoma duktus: kanser saluran payudara
- Kanser payudara keradangan: jenis yang jarang berlaku, yang membuat kulit payudara kelihatan seperti dijangkiti
- Karsinoma berlobul: kanser lobular, atau kelenjar yang menghasilkan susu
- Penyakit Paget: jenis kanser yang jarang berlaku, yang menjejaskan puting
Doktor anda akan menggunakan dapatan jenis kanser dan maklumat lain dari biopsi untuk membantu merancang rawatan anda. Ini termasuk lumpektomi (pembedahan pembuangan tumor), rawatan penyinaran (radiasi), kemoterapi, dan / atau terapi hormon.
Walau bagaimanapun, beberapa keadaan bukan kanser juga boleh menyebabkan benjolan pada payudara. Antaranya:
- Adenofibroma: tumor benigna pada tisu payudara
- Penyakit payudara fibrosista: benjolan payudara yang menyakitkan, disebabkan oleh perubahan hormon
- Papiloma intraduktus: tumor kecil dan benigna pada saluran susu
- Nekrosis lemak mamari: benjolan yang terbentuk oleh tisu lemak yang lebam, mati, atau cedera