backup og meta

Nak Kurangkan Risiko Kanser Paru-Paru? Mudah Sahaja, Ikuti 10 Langkah Ini!

Nak Kurangkan Risiko Kanser Paru-Paru? Mudah Sahaja, Ikuti 10 Langkah Ini!

Kanser paru-paru bukanlah sesuatu yang asing lagi pada kita. Malah, kanser yang sinonim dengan perokok ini merupakan salah satu kanser yang paling lazim di Malaysia. Namun, tahukah anda ada banyak lagi faktor risiko kanser paru-paru selain amalan merokok?

Di negara kita, risiko untuk menghidap kanser paru-paru adalah 1 dalam 55 orang. Mengikut kaum, orang Cina lebih berisiko untuk menghidap kanser ini diikuti pula dengan kaum Melayu dan India.

Lebih menakutkan, kebanyakan penghidap kanser paru-paru hanya akan didiagnosis setelah mencapai tahap 3 atau 4.

Semua orang berisiko untuk menghidap kanser paru-paru. Namun, mereka yang merokok mempunyai risiko kanser paru-paru yang paling tinggi.

Walaupun begitu, mereka yang tidak merokok juga boleh menghidap kanser paru-paru. Sebab itulah, penting untuk kita semua tahu akan risiko kanser ini serta cara untuk mengurangkannya.

Mari baca penjelasan kami dalam artikel di bawah.

10 cara mengurangkan risiko kanser paru-paru

risiko kanser paru-paru

Memahami punca kanser paru-paru serta cara untuk mencegahnya merupakan strategi yang paling berkesan untuk mengelakkan penyakit ini.

Dengan semua pengetahuan ini, anda boleh mengurangkan risiko kanser paru-paru untuk diri sendiri dan ahli keluarga yang tercinta.

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru. Namun, ada faktor yang boleh diubah, dan ada juga beberapa faktor yang tidak boleh diubah seperti sejarah keluarga.

Antara langkah yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan risiko kanser paru-paru adalah:

1. Berhenti merokok untuk cegah kanser

Seperti yang semua sudah sedia maklum, amalan merokok merupakan punca utama kanser paru-paru. Malah, dengan berhenti merokok, anda boleh mengurangkan risiko kanser paru-paru walaupun sudah berdekad menghisap rokok.

Asap rokok boleh merosakkan sel paru-paru dan menyebabkannya untuk membesar secara abnormal.

Sebab itulah, ahli keluarga serta mereka yang terdedah kepada asap sekunder turut berkongsi risiko kanser yang sama dengan perokok.

2. Elakkan asap rokok sekunder

Walaupun anda tidak merokok, risiko kanser paru-paru tetap akan meningkat jika anda terdedah dengan asap rokok sekunder.

Asap rokok sekunder boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru sebanyak 20% hingga 30%. Malah, di Amerika Syarikat, pendedahan terhadap asap rokok sekunder merupakan punca hampir 7,000 kes kanser paru-paru setiap tahun.

3. Jangan galakkan anak merokok

Menurut CDC, kebanyakan orang dewasa mula berkenalan dengan rokok pada umur 11 tahun dan mula ketagih ketika berusia 14 tahun.

Tidak dinafikan, kanak-kanak dan remaja mudah terdedah kepada budaya kuning kerana beranggapan ia merupakan sesuatu yang cool dan menarik.

Bukan itu sahaja, pengaruh rakan sebaya turut memainkan peranannya yang tersendiri.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Semakin awal anda mengajar anak-anak mengenai keburukan merokok, semakin awallah mereka akan faham mengenai bahaya amalan ini.

4. Gas radon boleh menyebabkan kanser

Gas yang tidak boleh dilihat melalui mata kasar ini dilepaskan secara semula jadi oleh batuan dan tanah tertentu. Malah, pendedahan terhadap gas radon dalam satu jangka masa yang panjang boleh meningkatkan risiko kanser peparu. 

5. Berhati-hati semasa bekerja

risiko kanser paru-paru

Hampir 15% kanser paru-paru dalam kalangan lelaki dan 5% dalam kalangan wanita berkait rapat dengan pendedahan karsinogen di tempat kerja.

Bahan-bahan seperti gas atau bahan kimia di tempat kerja boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.

Sebagai contoh, pekerja lombong atau mereka yang pernah terhidu asbestos mempunyai risiko kanser peparu yang lebih tinggi.

6. Makan lebih banyak sayur dan buah

Kajian menunjukkan diet yang seimbang mampu mengurangkan risiko kanser paru-paru dan kanser lain.

Selain itu, makanan yang rendah lemak, tinggi serat serta mengandungi pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Malah, dapatan ini disokong oleh sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Nutrients.

Mereka melaporkan pengambilan buah-buahan sebanyak 100 gram sehari dapat mengurangkan risiko kanser sebanyak 5% dalam kalangan perokok dan bekas perokok.

7. Tinggalkan minuman beralkohol

Sama seperti merokok, mereka yang gemar mengambil minuman beralkohol turut mempunyai risiko kanser paru-paru yang lebih tinggi. Individu yang minum lebih daripada 7 beer atau minuman keras setiap hari mempunyai peningkatan risiko sebanyak 11%.

8. Bersenam dengan kerap untuk hentikan kanser

Tidak dinafikan, senaman mempunyai banyak kebaikan dalam mencegah penyakit. Malah, senaman juga boleh mengurangkan risiko kanser peparu dan juga kanser lain.

Orang dewasa digalakkan untuk bersenam selama 150 minit setiap minggu. Selain itu, banyakkan bergerak dan jangan duduk sepanjang hari.

9. Berhati-hati dengan pengambilan suplemen

risiko kanser paru-paru

Ada banyak suplemen di luar sana yang dikatakan dapat mengubat kanser paru-paru. Namun, jangan tertipu dengan ubat-ubatan ini. Malah, tidak ada lagi sebarang suplemen yang terbukti dapat menghentikan kanser.

Lebih teruk lagi, ada beberapa jenis suplemen yang boleh meningkatkan risiko kanser! Sebagai contoh, pengambilan suplemen beta karotena dalam kalangan perokok boleh meningkatkan risiko kanser peparu sebanyak 18%.

10. Dapatkan ujian saringan kanser paru-paru

Jika anda sudah bertahun-tahun merokok, ujian saringan untuk kanser paru-paru mungkin dapat membantu. Walaupun ujian saringan tidak boleh menyembuhkan kanser, pengesanan awal dapat mengurangkan kematian sebanyak 20%.

Ujian ini juga boleh dilakukan oleh individu yang mempunyai sejarah keluarga atau pernah terdedah dengan karsinogen di tempat kerja.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Lung Association. n.d. Lung Cancer Causes & Risk Factors. Accessed July 27, 2021. https://www.lung.org/lung-health-diseases/lung-disease-lookup/lung-cancer/learn-about-lung-cancer/what-causes-lung-cancer.
  2. Cancer.Net. 2020. Lung Cancer – Non-Small Cell: Risk Factors and Prevention. May. Accessed July 27, 2021. https://www.cancer.net/cancer-types/lung-cancer-non-small-cell/risk-factors-and-prevention.
  3. John Hopkins Medicine. n.d. Lung Cancer Prevention. Accessed July 27, 2021. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/lung-cancer/lung-cancer-prevention.
  4. Mayo Clinic. 2021. Lung cancer. March 23. Accessed July 27, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lung-cancer/symptoms-causes/syc-20374620.
  5. NHS. 2019. Prevention – Lung Cancer. August 15. Accessed July 27, 2021. https://www.nhs.uk/conditions/lung-cancer/prevention/.
  6. Prevent Cancer Foundation. n.d. Lung Cancer. Accessed July 27, 2021. https://www.preventcancer.org/education/preventable-cancers/lung-cancer/.

Versi Terbaru

06/03/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Kena Tahu, Penyakit Radang Paru-paru Mungkin Akan Sebabkan 6 Komplikasi Serius Ini!

Terbukti Berkesan! Makan 2 Ulas Bawang Putih MENTAH Seminggu Dapat Cegah Kanser Paru-Paru!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 06/03/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan