Diagnosis kanser paru-paru dalam kalangan wanita mengandung boleh mencetuskan masalah jika tidak dikesan awal.
Tambah lagi, simptom seperti sesak nafas dan kahak yang berdarah selalunya dianggap sebagai jangkitan semasa mengandung.
Sakit tulang pula sering dianggap sebagai salah satu simptom biasa yang kerap dialami oleh wanita hamil.
Disebabkan doktor tidak akan melakukan ujian imbasan kerana bimbang akan keselamatan bayi dalam kandungan, selalunya simptom kanser akan disalah anggap sebagai simptom wanita mengandung yang biasa terjadi.
Rawatan sukar untuk dijalankan

Rawatan untuk wanita yang menghidap kanser paru-paru sukar untuk dijalankan kerana ada banyak cabaran dari segi emosi dan juga etika.
Keputusan lebih sukar untuk dilakukan jika kanser telahpun mencapai tahap yang serius. Pada ketika ini, tidak ada lagi rawatan yang efektif boleh diberikan kepada pesakit.
Diagnosis kanser ketika kehamilan akan membuatkan pakar berada di satu persimpangan yang sukar. Pilihan yang ada ialah untuk memulakan rawatan secepat mungkin semasa diagnosis atau gugurkan kehamilan ketika masih awal.
Apa yang menjadi masalah ialah rawatan untuk kanser paru-paru ketika kehamilan amat sukar dilakukan. Hingga hari ini, masih belum ada lagi rawatan yang standard untuk pesakit kanser ketika hamil.
Menurut laporan, 51.4% pesakit menerima rawatan selepas bersalin, manakala 24% menerima rawatan semasa kehamilan.
Pesakit yang berada dalam tahap 1 dan 2 boleh melakukan thoracotomy, manakala pesakit yang mempunyai kanser pada tahap 3 dan 4 pula akan dirawat dengan kemoterapi. Terapi radio pula selalunya akan dilakukan kepada pesakit setelah bersalin.
Terapi radio tidak digalakkan untuk dilakukan ke atas wanita mengandung kerana boleh menyebabkan kecacatan pada fetus lebih-lebih lagi jika ia dilakukan pada trimester pertama.
Prognosis kanser paru-paru dalam kalangan ibu hamil

Pesakit kanser paru-paru yang mengandung perlu tahu mengenai prognosis masing-masing.
Prognosis ialah satu perkara yang mungkin terjadi kepada pesakit mengenai penyakit yang mereka alami pada masa hadapan. Mereka perlu tahu peratusan kesembuhan dan kemungkinan kanser tersebut kembali pada masa hadapan.
Prognosis keseluruhan kanser paru-paru ketika kehamilan amatlah mengecewakan. 12% daripada ibu yang hamil akan meninggal dunia 1 bulan selepas melahirkan anak.
70% ibu hamil hanya mampu bertahan selama beberapa bulan. Hanya 12% sahaja yang boleh hidup melebihi 12 bulan.
Walau bagaimanapun, pesakit yang didiagnosis ketika kanser masih lagi berada di tahap yang awal mempunyai prognosis yang lebih baik. Kebanyakkannya dapat menjalani hidup dengan sihat walaupun 19 bulan selepas bersalin.
Kesimpulan
Kanser paru-paru ketika mengandung merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku.
Walaubagaimanapun, bilangan pesakit mungkin akan meningkat jika semakin ramai wanita berkahwin lanjut usia dan mengamalkan tabiat kurang sihat seperti merokok.
Jika anda mempunyai faktor risiko untuk mendapat kanser paru-paru, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu bagi mendapatkan khidmat nasihat jika merancang untuk mengandung.
Pastikan doktor tahu berapa lama anda merokok kerana ujian saringan boleh dilakukan bagi memastikan kesihatan ibu sihat sebelum hamil dan tiada kehamilan bermasalah akan muncul.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen