backup og meta

Risau Gejala Kanser Ovari Terjadi Pada Anda? Wanita, Ini Cara Nak Kesan Penyakit Awal

Risau Gejala Kanser Ovari Terjadi Pada Anda? Wanita, Ini Cara Nak Kesan Penyakit Awal

Kanser ovari merupakan sejenis kanser yang bermula pada kawasan ovari wanita. Berbeza dengan kanser lain, kanser ovari selalunya menunjukkan tanda dan simptom tertentu. Namun, simptom ini agak samar dan sukar untuk dikenal pasti. Bagi mengesan kanser ovari, wanita perlulah peka mengenai sebarang perubahan atau abnormaliti pada kawasan badan mereka.

Walau bagaimanapun, kanser ovari yang telah mencapai tahap yang serius sukar untuk dirawat. Tetapi, jika dikesan awal mempunyai peluang yang cerah untuk dirawat.

Selalunya, pesakit akan dirawat menggunakan kemoterapi atau pembedahan. Hampir 20% kanser ovari dapat dikesan awal.

Apabila ia ditemui pada peringkat awal, hampir 94% pesakit dapat hidup lebih lama daripada 5 tahun selepas diagnosis.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ada beberapa cara yang wanita perlu buat untuk mengesan kanser ini. Antaranya adalah dengan melakukan pemeriksaan berkala dan juga ujian saringan.

Cara untuk mengesan kanser ovari

Buat masa ini, tidak ada cara yang boleh dilakukan untuk mengesan kanser ovari dalam kalangan wanita yang tidak mengalami sebarang tanda-tanda atau simptom. Walau bagaimanapun, wanita boleh melakukan ujian saringan.

Kanser ovari merupakan kanser organ reproduktif wanita yang paling bahaya. Risiko untuk mengalami kanser ini adalah 1 dalam 78 orang.

Oleh sebab itu, semua wanita berisiko untuk menghidap penyakit ini. Namun, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengesan kanser ovari:

1. Selalu lakukan pemeriksaan kesihatan

mengesan kanser ovari

Ketika melakukan ujian pelvis, pakar boleh memeriksa saiz, bentuk dan konsistensi ovari dan uterus. Jika terdapat sebarang abnormaliti, doktor boleh memeriksa sama ada ia berlaku disebabkan penyakit ataupun kanser.

Ujian pelvis amat berguna kerana ia boleh mengesan kanser pada tahap awal. Walau bagaimanapun, tumor yang awal dan bersaiz kecil amat sukar untuk dikesan.

Namun, ujian pelvis mampu mengesan kanser lain dan masalah wanita yang mungkin belum dikesan.

Ujian saringan kanser ovari seperti ujian Pap dan HPV tidak berkesan untuk mengesan kanser ovari. Selalunya, jika dapat dikesan menggunakan ujian tersebut, ia sudah pada tahap akhir.

2. Jumpa doktor jika anda mempunyai simptom

Lazimnya, kanser tidak akan menunjukkan sebarang simptom hinggalah ia sudah mencapai tahap yang serius. Malah, jika anda mengalami simptom, besar kemungkinan ia boleh disebabkan oleh penyakit lain yang tidak serius.

Apabila pesakit sudah mengalami simptom, selalunya kanser tersebut telah merebak. Malah, ada juga beberapa jenis kanser ovari yang lebih agresif dan dapat menjangkiti organ berdekatan dengan pantas.

Oleh sebab itu, wanita perlulah lebih berjaga-jaga jika mengalami simptom kanser ovari. Sebagai contoh, perhatikan tanda-tanda seperti:

  1. Bengkak pada kawasan perut.
  2. Cepat kenyang selepas makan.
  3. Berat badan turun dengan mendadak.
  4. Rasa tidak selesa di kawasan pelvis.
  5. Sering alami sembelit.
  6. Perlu membuang air dengan kerap.

Jika anda mengalami simptom di atas, berjumpalah dengan doktor dengan segera. Anda perlu mendapatkan khidmat pakar secepat mungkin jika masalah ini telah berlarutan selama berminggu-minggu.

3. Lakukan ujian saringan

Ujian saringan amat berguna untuk mengesan kanser dalam kalangan mereka yang masih belum menunjukkan sebarang simptom.

Salah satu ujian saringan yang diketahui ramai ialah ujian mamogram yang digunakan untuk mengesan kanser payudara.

Walau bagaimanapun, tidak ada ujian saringan untuk kanser ovari setakat ini. Buat masa ini, dua ujian yang selalu digunakan untuk menyaring kanser ovari ialah transvaginal ultrasound (TVUS) dan ujian darah CA-125.

Semua ini merupakan ujian diagnostik yang boleh mengesan atau mengetepikan diagnosis kanser ovari jika anda mengalami sebarang simptom.

Ujian darah CA-125 lebih tepat jika digunakan untuk mendiagnosis kanser ovari dalam kalangan wanita yang sudah menopaus. Wanita yang menghidap kanser ovari tahap awal selalunya mempunyai tahap CA-125 yang normal.

Oleh sebab itu, doktor mungkin akan melakukan ujian ini bersama ujian lain seperti ultrasound pada kawasan pelvis.

Risiko anda untuk menghidap kanser ovari tinggi?

mengesan kanser ovari

Wanita yang menghidap sindrom Lynch atau mempunyai sindrom genetik seperti mutasi gen BRCA lebih berisiko untuk mengalami kanser ovari dan kanser payudara.

Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, anda digalakkan untuk melakukan ujian saringan bagi merendahkan risiko kanser ovari.

Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai risiko kanser yang lebih tinggi juga mungkin tidak akan dapat mengurangkan risiko kanser ovari walaupun setelah melakukan ujian saringan.

Ini kerana ujian ini tidak dibuktikan berkesan untuk menyaring kanser ovari.

Sebab itulah, sukar untuk pakar mengesan kanser ovari pada tahap awal. Tanda-tandanya juga sukar untuk dikenal pasti dan menyerupai sakit perut atau senggugut.

Malah, ramai wanita yang tidak sedar mengenai simptom penyakit ini sehinggalah mereka disahkan menghidap kanser.

Apa yang boleh anda lakukan

mengesan kanser ovari

Jika anda risau mengenai risiko kanser ovari, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan. Sebagai contoh:

  1. Perhatikan sebarang perubahan pada badan anda.
  2. Tahu apa yang normal dan apa yang tidak normal.
  3. Jika muncul sebarang tanda kanser, berjumpalah dengan doktor secepat mungkin.

Perhatikan simptom yang anda alami dan jangan pandang rendah jika anda sakit lebih daripada seminggu.

Ingatlah, walaupun kanser ovari sukar untuk dikesan, masih ada wanita yang mengalami tanda-tanda awal. Malah, ramai wanita yang boleh meneruskan hidup seperti biasa selepas mendapat rawatan kanser ovari.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Cancer Society. 2020. Can Ovarian Cancer Be Found Early? July 24. Accessed July 28, 2021. https://www.cancer.org/cancer/ovarian-cancer/detection-diagnosis-staging/detection.html.
  2. Cancer Council Victoria. n.d. Ovarian cancer. Accessed July 28, 2021. https://www.cancervic.org.au/cancer-information/types-of-cancer/ovarian_cancer/diagnosing_ovarian_cancer.html.
  3. CDC. 2021. What Should I Know About Screening. March 8. Accessed July 28, 2021. https://www.cdc.gov/cancer/ovarian/basic_info/screening.htm.
  4. Mayo Clinic. 2019. Ovarian cancer. July 25. Accessed July 28, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ovarian-cancer/symptoms-causes/syc-20375941.
  5. Ovarian Cancer. Accessed July 28, 2021. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/ovarian-cancer

Versi Terbaru

08/12/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Rawatan PCOS Bukan Cuma Pada Ubatan, Makanan Dan Gaya Hidup Pun Penting!

Masalah Ketidakhadaman Atau Kanser Ovari? Hati-Hati, Jangan Keliru Jika Sering Alami Kembung Perut!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 08/12/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan