“Masalah kemurungan mempunyai kaitan dengan risiko mati akibat kanser”. Itulah pernyataan yang ditekankan berikutan dapatan kajian meta analisis yang dibuat terhadap data yang diambil dari subjek British dan Scottish sepanjang tahun 1994 hingga 2008.
Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna mereka yang didiagnosis dengan masalah kemurungan berisiko mati akibat kanser.
Menurut pengkaji, dianggarkan 8 peratus individu yang mengalami kecelaruan mental mati akibat daripada kanser kolorektal.
Seperti yang anda sedia maklum, kanser kolorektal merupakan salah satu jenis barah terlazim didiagnosis di seluruh dunia.
Pelbagai jenis pembolehubah telah dianalisis bersama dengan dapatan kajian bagi mencari punca di sebalik fenomena yang berlaku.
Antara faktor yang dianggap mempunyai kaitan dengannya adalah tabiat merokok dan kekerapan bersenam.
Walau bagaimanapun, kajian lanjut perlu dilakukan memandangkan pengkaji tidak mempunyai akses kepada faktor lain seperti kecenderungan mendapatkan bantuan setelah mengalami simptom kanser.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.
Lelaki lebih berisiko alami penyakit murung berbanding wanita
Lelaki yang mengalami kecelaruan mental (kemurungan dan keresahan) mempunyai risiko dua kali ganda untuk mati akibat masalah kanser berbanding lelaki yang sihat mentalnya.
Berbeza dengan dapatan tersebut, wanita yang mengalami masalah kecelaruan mental tidak mengalami risiko peningkatan yang sama.
Ini berikutan lelaki lebih cenderung mengubati diri mereka yang sedang ‘sengsara’ dengan minuman alkohol dan rokok.
Kedua-dua faktor tersebut merupakan elemen penting dalam pembentukan kanser di dalam tubuh badan.
Selain daripada itu, wanita juga lebih cenderung untuk merujuk kepada pakar perubatan sekiranya mereka mengalami simptom kanser.
Perkara ini memudahkan proses pengesanan awal sekaligus menyebabkan prognosis (potensi kesembuhan) mereka menjadi lebih baik.
Kajian yang melibatkan 15,938 warga Britain menunjukkan 126 lelaki dan 215 wanita mempunyai simptom gangguan keresahan umum (GAD).
Antara adalah:
- Lenguh badan
- Insomnia
- Sukar menumpukan perhatian
- Berasa letih sepanjang masa
Jika dilihat pada simptom, GAD mempunyai persamaan dengan penyakit murung walaupun keduanya tidak sama.
Namun, tanpa rawatan susulan, kemurungan boleh menjadi komplikasi GAD.
Setelah 15 tahun, mereka mendapati bahawa lelaki yang didiagnosis dengan masalah GAD adalah dua kali ganda lebih berisiko untuk mati akibat kanser berbanding dengan lelaki yang tidak mempunyai GAD.
Meskipun begitu, wanita yang didiagnosis dengan GAD tidak menunjukkan corak peningkatan yang sama.
Kanser kolorektal mendahului carta punca kematian kanser dalam kalangan lelaki
Menurut kajian metaanalisis yang melibatkan 16 kajian kohort, lelaki yang mengalami kecelaruan mental berisiko untuk mati akibat kanser.
Antara jenis kanser yang mendahului carta adalah kanser kolorektal diikuti oleh:
- Kanser prostat
- Kanser pankreas
- Kanser esofagus
- Kanser darah (leukaemia)
Hasil kajian tersebut jelas menunjukkan kepentingan menguruskan kecelaruan psikologi bagi merencatkan proses patologi kanser.
Mungkin kaitan di antara keduanya masih lagi tidak jelas.
Namun, corak kematian dan analisis terhadap kajian yang diterbitkan menunjukkan kaitan di antara kedua pemalar tersebut.
Pun begitu, jika dibandingkan dengan faktor risiko lain seperti obesiti dan tabiat merokok, penyakit murung dan keresahan bukanlah faktor penentu yang boleh diharap.
Ia boleh menyebabkan seseorang itu cenderung untuk merokok, mengambil alkohol, tidak bersenam dan makan secara berlebihan.
Namun, tidak bermakna sebahagian besar mereka yang melalui fasa tersebut akan didiagnosis dan mati akibat kanser kolorektal.
Konklusi yang dikeluarkan oleh kajian ini tidak sepatutnya disalahertikan atau ia boleh memberikan tekanan perasaan kepada mereka yang didiagnosis dengan penyakit mental.
Mungkin risiko menjadi tinggi sekiranya anda mengalami kemurungan atau didiagnosis dengan masalah GAD, namun apa yang anda perlu faham adalah risiko kanser sangat kompleks.
Ia tidak hanya melibatkan satu faktor malah interaksi daripada pelbagai jenis faktor termasuklah genetik dan persekitaran.
Usah bimbang, hasil kajian masih belum definitif
Walaupun dengan hasil kajian yang dibentangkan, kita masih lagi tidak pasti sama ada kecelaruan mental sememangnya punca kepada diagnosis kanser.
Mungkin ia merupakan cerminan kepada faktor lain. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai penyakit mental cenderung untuk makan secara tidak sihat dan itu boleh menyebabkan kanser.
Atau mungkin kecelaruan mental boleh berpunca daripada tahap kesihatan fizikal yang tidak baik. Itu menjadikan anda cenderung untuk mendapat masalah kanser.
Kaitan di antara kanser dan penyakit mental masih lagi kompleks, tidak seperti faktor lain contohnya merokok dan minum alkohol.
Walau apa pun kaitan di antara kanser dengan kecelaruan mental, kita perlu sedar bahawa penyakit murung dan keresahan merupakan dua penyakit mental yang serius.
Rawatan bukan sahaja boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit, malah menjamin prognosis yang lebih baik.
Sekiranya anda menunjukkan simptom kemurungan, keresahan atau apa jua masalah mental, sila berjumpa dengan pakar bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.