backup og meta

Lakukan Ujian Najis Untuk Kesan Kanser Kolorektal, Adakah Benar-benar Berkesan?

Lakukan Ujian Najis Untuk Kesan Kanser Kolorektal, Adakah Benar-benar Berkesan?

Ujian saringan kanser kolorektal merupakan prosedur penting yang boleh membantu doktor mengesan sel kanser pada pesakit yang berisiko.

Ia perlu dilakukan lebih awal memandangkan potensi kesembuhan kanser berkait rapat dengan tahapnya semasa didiagnosis.

Ini bermakna individu yang didiagnosis dengan kanser kolorektal tahap 1 mempunyai potensi kesembuhan yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang didiagnosis dengan kanser tahap 3.

Oleh sebab pesakit kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal, proses pengesanan kanser sukar dicapai tanpa ujian saringan yang berkesan.

Namun, kebanyakan individu teragak-agak untuk hadir membuat pemeriksaan kerana mereka tidak selesa atau berasa takut dengan prosedur kolonoskopi.

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan perihal ujian najis dan peranannya dalam mendiagnosis masalah kanser usus.

Kenali dua kategori ujian saringan kanser kolorektal

Secara amnya, terdapat dua pengelasan ujian saringan yang boleh dibuat oleh doktor bagi mendiagnosis kanser kolorektal.

ujian saringan

Ujian yang berasaskan pemeriksaan najis pesakit

Melalui kaedah ini, najis pesakit akan diambil dan dianalisis sekiranya terdapat tanda kanser usus seperti pendarahan atau perubahan prakanser pada sel yang membarisi permukaan usus besar.

Walaupun kaedah ini tidak invasif jika dibandingkan dengan ujian kolonoskopi, namun bukan semua individu boleh menjalani prosedur ini.

Hanya mereka yang mempunyai tahap risiko yang sederhana sahaja boleh memilih pemeriksaan najis untuk mengesan kanser kolorektal. 

Ini bermakna, mereka perlu:

  1. Bebas masalah perubahan prakanser seperti polip (tiada sejarah perubatan). 
  2. Tiada ahli keluarga yang menghidap kanser kolorektal.
  3. Tiada faktor risiko kanser kolorektal yang lain.

Antara ujian yang berkaitan dengan pemeriksaan najis bagi mengesan kanser kolorektal adalah:

  1. Ujian imunokimia najis (FIT) dan ujian pengesanan darah di dalam najis berasaskan damar (gFOBT). Kedua-dua ujian ini boleh mengesan darah di dalam najis walau sedikit mana pun. Pesakit boleh membuat prosedur ujian sendiri menggunakan kit ujian yang diberikan oleh doktor dan sampel tersebut perlu dihantar ke makmal untuk dianalisis. Walaupun ia mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi untuk mengesan darah, namun lokasi pendarahan tidak boleh dikenal pasti menggunakan ujian ini.
  2. Ujian DNA najis. Ujian ini juga merupakan ujian tidak invasif bagi mengesan kanser kolorektal. Ia mengesan sebarang perubahan maklumat genetik di dalam najis yang mungkin merupakan tanda kanser usus. Sama seperti ujian FIT dan gFOBT, ujian DNA najis boleh dibuat sendiri di rumah dan sampel yang dikutip perlu dihantar ke makmal.

tanda kanser usus

Ujian yang melibatkan penggunaan teknik visual

Berbeza dengan pemeriksaan najis, ujian visual merupakan kaedah invasif yang melibatkan pemerhatian struktur dalaman usus besar dan rektum bagi mengenal pasti kawasan yang mengalami perubahan kanser.

Antara kaedah yang sering digunakan oleh doktor adalah seperti berikut:

  1. Kolonoskopi. Kaedah popular yang mengguna pakai tiub berlampu dilengkapi dengan kamera bagi melihat struktur usus besar dan rektum. Sekiranya terdapat polip pada mana-mana bahagian usus, pembuangan ketumbuhan tisu tidak normal tersebut boleh dilakukan melalui prosedur ini. Pesakit yang dijadualkan untuk pemeriksaan kolonoskopi perlu mengambil ubat julap yang kuat bagi mengosongkan usus besar. Mereka juga akan diberikan ubat bius sepanjang prosedur tersebut sedang berjalan.
  2. CT kolonografi. Turut dikenali sebagai kaedah kolonoskopi virtual. Doktor akan menggunakan mesin pengimbas CT untuk menghasilkan imej keratan rentas yang terperinci bagi mengesan kehadiran polip atau ketumbuhan kanser. Pesakit perlu mengosongkan usus besar namun mereka tidak memerlukan ubat bius. Sekiranya terdapat ketumbuhan  yang disyaki bersifat kanser, prosedur kolonoskopi akan dijalankan bagi mengambil sampel tisu untuk dianalisis (biopsi).
  3. Sigmoidoskopi fleksibel. Prosedur ini persis kolonoskopi namun ia tidak meliputi keseluruhan usus besar, hanya rektum dan sebahagian kecil usus besar. Kita boleh anggap sigmoidoskopi ini seperti kolonoskopi yang pendek. Pesakit perlu mengosongkan usus namun tidak seagresif seperti sebelum anda menjalani prosedur kolonoskopi. Pesakit juga kebiasaannya tidak dibius semasa prosedur.

Adakah prosedur kolonoskopi sudah tidak relevan dalam usaha mengesan tanda kanser usus?tanda kanser usus

Prosedur kolonoskopi masih merupakan kaedah ujian saringan utama dalam mengesan perubahan kanser pada organ kolorektal.

Ia berikutan keputusan ujian yang berasaskan pemeriksaan najis tidak memberikan lokasi perubahan abnormal yang spesifik.

Sebagai contoh, ia boleh mengesan darah di dalam najis, namun sumber pendarahan tersebut hanya boleh dikesan melalui kaedah kolonoskopi.

Sekiranya terdapat polip, prosedur pembuangan boleh dilakukan secara serta-merta menggunakan pendekatan kolonoskopi.

Prosedur kolonoskopi hanya perlu dilakukan sekali dalam tempoh masa 10 tahun dan tahap keberkesanannya dalam mengesan tanda kanser usus hampir mencecah 100 peratus.

Konklusi

Walaupun pemeriksaan najis boleh digunakan untuk mengesan kanser kolorektal, namun saranan utama masih tertumpu kepada kaedah kolonoskopi yang lebih spesifik dan efektif.

Sekiranya anda mengalami sebarang simptom yang berkait dengan kanser kolorektal atau mempunyai sebarang faktor risiko, pastikan anda membuat pemeriksaan dan rawatan dengan kadar segera.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Colorectal Cancer Screening: What Are My Options? (https://www.cancer.org/latest-news/understanding-tests-that-screen-for-colon-cancer.html). Diakses pada 3 November 2020.
  2. Study Finds Stool Test Effective for Detecting Colon Cancer. (https://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=193271). Diakses pada 3 November 2020.
  3. Can Stool Tests Really Detect Colon Cancer? (https://health.clevelandclinic.org/can-stool-tests-really-detect-colon-cancer/). Diakses pada 3 November 2020.

 

Versi Terbaru

21/05/2021

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Apa Itu Kanser Kolorektal: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Kanser Kolorektal Ketiga Didiagnosis Di Dunia, Kenali Simptom Penyakit Ini Dari Awal


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 21/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan