backup og meta

Ketumbuhan Ini Boleh Rembeskan Hormon Gembira, Kenali Sindrom Karsinoid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/05/2022

    Ketumbuhan Ini Boleh Rembeskan Hormon Gembira, Kenali Sindrom Karsinoid

    Tahukah anda apa itu sindrom karsinoid? Ia merupakan penyakit endokrin (neuroendokrin lebih tepat) yang jarang berlaku namun boleh dianggap serius sekiranya didiagnosis.

    Ketumbuhan karsinoid (tumor karsinoid) adalah sejenis kanser yang berkembang secara perlahan-lahan dan ia berupaya untuk tumbuh di mana-mana lokasi di dalam badan.

    Secara amnya, ketumbuhan ini lazim berlaku pada organ gastrousus.

    Terdapat juga pesakit yang mengalami tumor pada peparu. Walau bagaimanapun, kes tersebut jarang berlaku.

    Sindrom karsinoid pula berlaku apabila ketumbuhan tersebut mula merembeskan hormon serotonin dan beberapa bahan kimia aktif lain di dalam saluran darah.

    Perlu diingatkan bahawa bukan semua tumor karsinoid akan mengalami sindrom karsinoid.

    Dianggarkan hanya 10 peratus pesakit akan mengalami sindrom tersebut dan ia kebiasaannya berlaku setelah sel kanser sudah mengalami metastasis (tersebar ke organ lain).

    Purata usia penghidap adalah pada sekitar 60 tahun dan ia lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Bagaimana penyakit endokrin karsinoid boleh berlaku dan apakah simptomnya?

    penyakit endokrin

    Seperti yang dinyatakan di atas, sindrom karsinoid berlaku apabila sel tumor karsinoid menghasilkan terlalu banyak bahan kimia berupa hormon.

    Antara hormon yang boleh dirembeskan adalah serotonin, bradykinin, tachykinin dan prostaglandin.

    Kebiasaannya, jika ketumbuhan karsinoid berlaku pada laluan gastrousus, hormon tersebut boleh dineutralisasikan oleh badan.

    Namun, masalah boleh berlaku apabila ketumbuhan tersebut berada di luar kawasan laluan gastrousus seperti di organ hati atau ovari.

    Bahan yang dirembeskan oleh tumor tersebut tidak boleh dicerna oleh laluan gastrousus maka ia akan masuk ke dalam saluran darah dan menyebabkan simptom.

    Antara gejala yang boleh dialami oleh mereka yang menghidap masalah endokrin ini adalah:

    1. Kulit menjadi kemerah-merahan dalam tempoh masa yang lama (beberapa minit hingga beberapa jam). Keadaan ini boleh berlaku terutamanya pada bahagian muka, kepala dan dada atas. Pada mulanya ia berwarna pink namun lama kelamaan akan menjadi gelap sehingga bertukar menjadi warna ungu. Simptom ini boleh berlaku disebabkan oleh senaman, pengambilan alkohol dan stres.
    2. Vena lelabah muncul di bahagian hidung dan bibir atas. Vena lelabah adalah salur darah (vena) yang timbul menyerupai bentuk sarang lelabah.
    3. Kram pada bahagian abdomen dan masalah cirit birit
    4. Masalah sukar bernafas
    5. Sakit otot dan sendi
    6. Sakit perut
    7. Mudah untuk pengsan atau sering berasa lesu dan lemah

    Diet bagi penghidap sindrom karsinoid

    penyakit endokrin

    Walaupun pemakanan tidak boleh menyembuhkan penyakit endokrin ini, ia boleh membantu menurunkan tahap teruk gejala.

    Makanan tertentu boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom seperti:

    1. Kulit kemerah-merahan
    2. Cirit-birit
    3. Perut berangin
    4. Sakit abdomen

    Walau bagaimanapun, setiap individu boleh mempunyai tindak balas berlainan terhadap makanan tertentu.

    Sebagai contoh, ada dalam kalangan penghidap yang sensitif terhadap makanan berlemak tinggi, ada yang tidak boleh makan pedas dan ada yang tidak boleh mengambil tomato mentah.

    Jika anda keliru dengan gaya pemakanan yang sepatutnya anda amalkan, cuba pertimbangkan tip berikut:

  • Makan dalam kuantiti yang kecil (6 hidangan sehari) tetapi kerap. Cuba elakkan daripada mengambil 3 hidangan besar sehari.
  • Elakkan daripada mengambil sayuran mentah. Ambil yang sudah dimasak (rebus, celur) memandangkan ia lebih mudah dicerna.
  • Jika anda mudah mendapat masalah cirit-birit, elakkan daripada mengambil makanan bergandum, buah-buahan kering dan bertih jagung.
  • Ambil makanan berprotein tinggi seperti ayam, daging dan telur.
  • Kurangkan pengambilan makanan berlemak yang tidak sihat seperti makanan bergoreng dan sebagainya.
  • Rawatan bagi penyakit endokrin karsinoid

    sindrom karsinoid

    Rawatan bagi sindrom karsinoid tertumpu kepada pembuangan sel kanser yang merembeskan hormon di luar kawalan badan.

    Antara prosedur yang boleh dijalankan adalah seperti berikut.

    Embolisasi salur darah arteri hepatik (hati)

    Oleh sebab bekalan darah sangat penting bagi tisu tumor, prosedur memutuskan bekalan darah boleh merawat masalah karsinoid.

    Prosedur embolisasi salur darah arteri hepatik hanya dijalankan jika tumor karsinoid berada di organ hati.

    Dalam prosedur tersebut, pakar bedah akan memasukkan kateter berdekatan dengan kawasan pangkal paha (groin) untuk sampai ke salur darah arteri utama pada organ hati.

    Kemudian, partikel yang boleh menyumbatkan salur darah tersebut akan disuntik masuk bagi menghalang aliran darah ke arah ketumbuhan endokrin yang menyebabkan simptom.

    Sel sihat yang lain akan dibekalkan dengan darah oleh saluran lain.

    Penggunaan ubat dan ablasi frekuensi radio dan terapi krio

    Terdapat juga prosedur yang melibatkan penggunaan haba atau gas sejuk untuk membunuh sel kanser. Prosedur tersebut akan dijalankan menggunakan jarum khas.

    Rawatan lain yang boleh diberikan bagi merawat masalah karsinoid adalah ubat-ubatan seperti:

    1. Oktreotid
    2. Lanreotid
    3. Telotristat
    4. Interferon alfa

    Ubat yang tersenarai berupaya untuk menghalang tumbesaran tumor endokrin ini di samping merencatkan keupayaannya untuk merembeskan hormon.

    Selain daripada itu, ubat lain yang sering digunakan untuk merawat tumor karsinoid adalah seperti berikut:

    1. 5-fluorouracil
    2. Cisplatin
    3. Cyclophosphamide
    4. Dacarbazine
    5. Doxorubicin
    6. Streptozotocin
    7. Etoposide

    Konklusi

    Walaupun jarang berlaku, sindrom karsinoid boleh menyebabkan gejala yang mempengaruhi kualiti hidup pesakit.

    Jika anda pernah didiagnosis dengan apa-apa jenis kanser terutamanya kanser gastrousus, peratusan peluang untuk anda didiagnosis dengan masalah endokrin ini agak tinggi.

    Sekiranya anda mengalami mana-mana simptom yang tersenarai di atas, pastikan anda berjumpa doktor untuk pengesahan dan tindakan selanjutnya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan