backup og meta

Ini Diagnosis Dan Rawatan Sesuai Untuk Pesakit Kanser Hati

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/10/2022

    Ini Diagnosis Dan Rawatan Sesuai Untuk Pesakit Kanser Hati

    Cara merawat hati (kanser) akan diberikan kepada pesakit selepas pengesahan diagnosis dibuat berkaitan dengan tahap barah yang dialami.

    Hal ini disebabkan oleh tahap yang berlainan mempunyai protokol rawatan yang berbeza.

    Walaupun kebanyakan kaedah rawatan tertumpu kepada pembedahan untuk membuang kanser, terdapat banyak faktor yang membuatkan seseorang itu tidak sesuai untuk menjalani prosedur tersebut.

    Tambahan pula, terdapat pelbagai jenis cara merawat hati (kanser) selain pembedahan seperti terapi radio, terapi kemo, terapi embolisasi, pemberian ubat dan penggunaan terapi ablasi.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Hati, sila dapatkannya di sini.

    Diagnosis kanser hati

    Sebelum tahu mengenai cara merawat hati, kenali dahulu diagnosis kanser hati.

    Kanser hati berlaku apabila proses pembahagian sel secara tidak terkawal pada organ hati.

    Walaupun mereka yang menghidapi masalah barah ini boleh menunjukkan gejala, ia tidak spesifik kepada diagnosis kanser hati.

    Oleh sebab itu, pengesahan diagnosis bagi masalah kesihatan ini melibatkan pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal.

    Setiap satu komponen berkait di antara satu sama lain dan dapatan bagi salah satu langkah yang tersenarai akan menentukan protokol bagi langkah seterusnya.

    Sebagai contoh, jika pesakit mempunyai simptom berkaitan dengan masalah hati serta sejarah kanser dalam keluarga, pemeriksaan fizikal akan lebih tertumpu kepada aspek tersebut.

    Ujian makmal juga akan dijalankan bagi mengesahkan diagnosis yang diperolehi semasa pengambilan sejarah perubatan pesakit.

    Pemeriksaan fizikal

    Apabila faktor risiko dan maklumat daripada sejarah kesihatan pesakit menunjukkan risiko tinggi bagi kanser hati seperti sirosis dan pengambilan alkohol berlebihan, doktor akan memberikan perhatian kepada pemeriksaan abdomen anda.

    Ini tidak bermakna sistem lain seperti jantung, paru-paru dan sebagainya akan terabai. Cuma, ia akan diperiksa kemudian bagi memeriksa tahap kesihatan anda secara umum.

    Antara pemeriksaan fizikal yang menunjukkan risiko tinggi untuk kanser hati adalah:

    1. Saiz hati, limpa atau kedua-duanya besar pada bahagian atas abdomen.
    2. Terdapat urat yang timbul pada permukaan abdomen. 
    3. Perut anda mengembung akibat pengumpulan cecair di dalam abdomen (asites).
    4. Terdapat bukti fizikal yang menunjukkan anda mengalami jaundis (masalah kekuningan akibat daripada pengumpulan bilirubin).

    Jika pemeriksaan fizikal jelas menunjukkan anda mungkin mengalami perubahan fizikal akibat daripada kanser hati, ujian makmal akan dibuat.

    Ujian makmal

    Ujian makmal dibuat adalah untuk mengesahkan diagnosis kanser hati dan menyingkirkan kemungkinan diagnosis lain seperti jangkitan atau masalah autoimun.

    Kebiasaannya, ujian makmal akan di mulai dengan analisis darah pesakit.

    Terdapat beberapa komponen yang akan dipantau bagi mengesahkan diagnosis kanser hati.

    Antaranya adalah seperti berikut:

    Tanda tumor Alpha-fetoprotein

    Semasa bayi di dalam kandungan, organ hati bayi menghasilkan protein yang di kenali sebagai alpha-fetoprotein (AFP) pada kepekatan yang tinggi.

    Ia mempunyai peranan yang lebih kurang sama dengan protein albumin, namun kadar penghasilannya turun secara mendadak selepas bayi dilahirkan.

    Namun, bagi mereka yang mempunyai masalah dengan organ hati, protein tersebut boleh meningkat semula.

    Apa yang menjadi isu adalah ujian ini tidak spesifik kepada kanser hati.

    Mereka yang menghidap barah hati boleh mempunyai paras AFP normal. Bahkan, mereka yang mengalami masalah hepatitis aktif turut boleh mengalami kenaikan paras AFP.

    Ujian AFP merupakan ujian sokongan yang menunjukkan terdapat masalah pada organ hati.

    Pengesahan kanser hati perlu dibuat bersama dengan keputusan ujian makmal yang lain.

    Ujian sirosis

    Ujian ini dijalankan bagi mengetahui punca berlakunya masalah sirosis atau penyakit hati kronik yang anda alami. Doktor akan mengambil darah bagi memeriksa status jangkitan hepatitis B dan C serta ujian lain.

    Ujian fungsi hati

    cara merawat hati

    Ujian darah ini akan memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan fungsi hati pesakit.

    Sebagai contoh, jika kanser hati yang dialami oleh anda bersaiz kecil dan fungsi hati berada dalam lingkungan normal, pembedahan wajar dilakukan sebagai kaedah rawatan utama.

    Ujian darah lain

    Oleh sebab prinsip perubatan menekankan aspek penjagaan pesakit secara holistik, ujian darah lain juga akan dilakukan bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik.

    Sebagai contoh, ujian darah bagi melihat sel darah merah, putih dan kuning, fungsi buah pinggang dan pemantauan kadar mineral lain seperti kalsium.

    Ujian Imbasan/Radiologi

    Penggunaan peralatan imbasan penting bagi mengesahkan diagnosis kanser hati.

    Ultra bunyi

    Alat ultra bunyi digunakan bagi melihat keadaan organ dalaman. Ia mudah, cepat dan selamat.

    Semasa pemeriksaan, doktor akan menggunakan satu probe yang ditekankan pada abdomen bagi melihat ketumbuhan pada organ hati.

    Jika terdapat tumor pada organ tersebut, alat imbasan yang lebih canggih akan digunakan bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

    Imbasan CT dan MRI

    Penggunaan alat ultra bunyi tidak dapat memberikan maklumat penting sebelum cara merawat hati boleh dipreskripsikan kepada pesakit.

    Antara maklumat yang diperlukan adalah seperti saiz, lokasi tumor dan maklumat yang berkaitan dengan metastasis. 

    Angiografi

    Bagi melihat salur darah pada hati, prosedur angiografi boleh dilakukan semasa imbasan CT atau MRI sedang dibuat.

    Pesakit akan dipasangkan dengan salur intra vena (IV) pada lengan.

    Pewarna kontras kemudiannya akan disuntik masuk. Aliran darah dapat dilihat memandangkan ia akan diwarnai dengan pewarna kontras tersebut.

    Biopsi hati

    Biopsi adalah prosedur pemeriksaan tisu organ bagi mengesahkan sesuatu penyakit.

    Sampel tisu hati akan diambil menggunakan jarum khas dan pesakit akan diberikan ubat bius terlebih dahulu bagi mengelakkan rasa sakit. Sampel tersebut kemudiannya akan dihantar ke makmal patologi untuk dianalisis oleh doktor.

    Diagnosis pembezaan 

    Terdapat juga ketumbuhan bukan kanser yang boleh menyebabkan gejala seakan-akan kanser hati. Antaranya seperti berikut:

    Hemangioma hepatik

    Apabila berlakunya ketumbuhan pada salur darah yang berhubung dengan organ hati, keadaan tersebut dikenali sebagai hemangioma hepatik.

    Ia merupakan ketumbuhan hati bukan kanser yang lazim didiagnosis.

    Walaupun masalah kesihatan ini tidak semestinya memerlukan rawatan, namun jika ketumbuhan tersebut pecah dan berdarah, pembedahan perlu dilakukan dengan kadar segera.

    Adenoma hepatik

    Walaupun adenoma hepatik (ketumbuhan pada hati) bukan kanser, ia mempunyai risiko untuk bertukar menjadi kanser kelak.

    Oleh sebab itu, masalah kesihatan ini sering dirawat dengan pembedahan bagi mencegah berlakunya kanser hati.

    Penghidap jarang mengalami gejala melainkan ia sudah tumbuh besar atau berdarah.

    Cara merawat hati (kanser)

    cara merawat hati

    Cara merawat hati guna kaedah pembedahan

    Cara merawat hati (kanser) utama adalah pembedahan.

    Walau bagaimanapun, mereka yang didiagnosis dengan masalah kesihatan ini kebiasaannya turut mengalami sirosis hati.

    Keadaan ini boleh mempengaruhi tahap fungsi hati walaupun pembuangan sel kanser hanya melibatkan sebahagian kecil organ hati.

    Oleh sebab kebanyakan penghidap didiagnosis pada tahap yang agak lewat, majoriti daripada mereka mempunyai saiz ketumbuhan yang agak besar.

    Perkara ini boleh menyukarkan proses pembuangan kanser lebih-lebih lagi sekiranya sel kanser tersebut sudah tersebar ke organ lain.

    Prosedur pemindahan hati, salah satu cara merawat hati

    Walaupun prosedur pemindahan hati boleh menyelamatkan nyawa, kita masih lagi mengalami masalah kekurangan organ.

    Jika ada sekalipun, kebanyakan prosedur pemindahan hati yang dibuat melibatkan masalah bukan kanser.

    Namun, jika penghidap mempunyai akses kepada organ hati baharu, ia merupakan satu kaedah yang efektif untuk cara merawat hati (kanser) dan sirosis hati.

    Penerima organ perlu mengambil ubat untuk menurunkan aktiviti sistem imun seumur hidup bagi mengelakkan risiko penolakan.

    Cara merawat hati mengikut prosedur bukan pembedahan

    Terapi ablasi

    Ini merupakan cara rawat hati (kanser) bukan pembedahan yang melibatkan penggunaan jarum atau prob yang ditusuk masuk ke dalam ketumbuhan hati untuk membunuh sel kanser.

    Terdapat beberapa jenis terapi ablasi yang boleh digunakan dalam rawatan kanser hati:

    • Ablasi radio frekuensi: Penggunaan gelombang radio bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser
    • Ablasi etanol perkutaneus: Penggunaan alkohol untuk membunuh sel kanser
    • Terapi krio: Penggunaan gas sejuk untuk merencatkan dan membasmi sel kanser
    • Ablasi gelombang mikro: Penggunaan tenaga haba daripada gelombang mikro untuk membunuh sel kanser

    Terapi embolisasi

    Oleh sebab sel kanser bergantung sepenuhnya kepada saluran darah yang membawa nutrien untuk membesar, prosedur embolisasi boleh digunakan untuk merawat keadaan tersebut.

    Kaedah ini sesuai dijalankan terhadap pesakit yang mempunyai ketumbuhan besar atau tidak boleh diuruskan melalui prosedur pembedahan.

    Terapi ini boleh dijalankan seiring dengan terapi kemo dan radio bagi memaksimumkan kesan baik rawatan.

    Preskripsi bagi pesakit kanser

    cara merawat hati

    Terapi sasaran

    Terdapat beberapa ubat yang telah diluluskan bagi kegunaan rawatan kanser hati.

    Tujuan utamanya adalah bagi merencatkan keupayaan sel kanser untuk membuat salur darah baharu.

    Antara ubat yang boleh dipreksribkan adalah sorafenib dan lenvatinib.

    Namun, sekiranya kedua-dua ubat di atas gagal merawat kanser hati, ubat regorafenib boleh digunakan.

    Terapi kemo

    Berbeza dengan rawatan terapi kemo kanser lain, penghidap kanser hati boleh diberikan ubat pembunuh kanser secara terus melalui saluran arteri hepatik.

    Ubat tersebut berupaya untuk membunuh sel yang membahagi di luar kawalan.

    Walaupun kaedah ini berkesan untuk membunuh kanser, ia juga boleh membunuh sel sihat seperti rambut, sumsum tulang dan sebagainya.

    Terapi imun

    Terapi imun menggunakan ubat nivolumab yang boleh meningkatkan keupayaan sistem pertahanan badan untuk mengenali sel kanser.

    Keadaan ini membolehkan ia menyerang dan membasmi sel kanser dengan lebih efektif.

    Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang boleh dialami oleh pesakit agak serius.

    Oleh sebab sel kanser hampir menyerupai sel sihat yang lain, tindak balas autoimun (sistem imun serang sel sihat) boleh berlaku.

    Cara merawat hati (kanser) menggunakan rawatan alternatif

    Terdapat beberapa makanan herba yang boleh diambil bagi meningkatkan keupayaan badan untuk melawan kanser hati. Namun ia perlu dipantau doktor. 

    • Sho-saiko-to: Ini merupakan herba campuran 7 bahan yang sering digunakan untuk merawat hepatitis kronik dan sirosis hati.
    • Holy basil: Tumbuhan yang mengandungi bahan fitokimia bagi meningkatkan tahap kesihatan organ hati.
    • Milk thistle: Herba ini sering digunakan dalam rawatan penyakit hati kronik.
    • Makanan semula jadi: Makanan seperti biji kopi mengandungi bahan anti-kanser dan berupaya untuk menurunkan risiko sirosis hati. Anggur juga boleh memberikan kebaikan yang serupa.

    Konklusi

    Pemeriksaan dan pengesahan diagnosis kanser hati perlu dilakukan secara sistematik.

    Melalui pemeriksaan  tersebut cara merawat hati (kanser) yang paling optimum boleh ditentukan oleh doktor yang merawat.

    Justeru, jika anda mengalami simptom yang berkaitan dengan kanser hati, sila berjumpa doktor bertauliah untuk nasihat perubatan dan pemeriksaan kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan