home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Jaga-jaga! Sakit Abdomen Belah Kanan & Perut Kembung Antara Simptom Kanser Hati!

Jaga-jaga! Sakit Abdomen Belah Kanan & Perut Kembung Antara Simptom Kanser Hati!

Susah untuk kita diagnosis masalah penyakit kanser hati berdasarkan gejala atau tanda yang dialami pesakit. Ia berikutan kebanyakan simptom tidak merujuk secara spesifik kepada tanda penyakit kanser. Jadi, apa tanda penyakit hati?

Tambahan pula, kanser bukanlah satu masalah kesihatan yang sering diberi perhatian sebagai punca utama simptom yang dialami pesakit.

Ini bermakna jika anda mudah penat, siasatan punca bagi masalah tersebut akan dilakukan bagi mengenal pasti sebab yang tidak berkaitan dengan kanser terlebih dahulu.

Pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal merupakan tunjang ke arah diagnosis kanser dan rawatan.

Walau bagaimanapun, perkara yang akan menggalakkan kehadiran pesakit ke klinik untuk pemeriksaan adalah keupayaan mereka untuk mengenal pasti simptom.

Maka penting buat anda untuk tahu dengan lebih lanjut perihal tanda penyakit hati (fokus kepada kanser) bagi menggalakkan pemeriksaan awal.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Hati, sila dapatkannya di sini.

Simptom dan tanda penyakit hati

#1 Sakit pada abdomen sebelah kanan

tanda penyakit hati

Tekanan yang dicetuskan oleh barah hati terhadap saraf atau struktur berdekatan boleh menyebabkan simptom sakit pada bahagian abdomen di sebelah kanan.

Walau bagaimanapun, sakit pada bahagian tersebut tidak hanya dimanifestasikan pada mereka yang mempunyai kanser hati.

Masalah seperti batu karang pada saluran hempedu, pedih ulu hati dan ulser perut turut menyebabkan rasa sakit pada lokasi yang sama.

#2 Benjolan pada abdomen sebelah kanan atas

Terdapat banyak diagnosis yang sering dikaitkan dengan benjolan/kebengkakan pada abdomen.

Antaranya seperti:

  1. Saiz organ hati membesar kesan daripada ketumbuhan.
  2. Peningkatan tekanan pada organ hati menyebabkan cecair di dalam darah untuk keluar mengisi ruangan abdomen (ascites). Masalah ini kebiasaannya menyebabkan seluruh abdomen menjadi besar.

Semasa pemeriksaan doktor, anda perlu menarik nafas semasa abdomen anda ditekan bagi mengukur saiz hati.

Jika anda mempunyai hati yang lebih besar daripada ukuran normal, organ tersebut boleh dirasai pada bahagian bawah abdomen kanan.

#3 Sakit bahu tanda kanser hati

Simptom sakit bahu seakan-akan tiada kena mengena dengan masalah hati.

Walau bagaimanapun, ketumbuhan pada organ tersebut boleh menyebabkan iritasi pada saraf yang turut berhubung dengan bahu kanan.

#4 Kulit menjadi kuning akibat masalah pada fungsi hati

Bilirubin adalah punca kepada masalah kulit kuning atau lebih dikenali sebagai jaundis. Ia merupakan bahan kumuh hasil daripada kematian sel darah merah.

Organ hati pada individu sihat mampu untuk menjalankan proses metabolisme bilirubin bagi mengekalkannya pada paras yang rendah di dalam aliran darah.

Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai tanda penyakit hati boleh mengalami kemerosotan fungsi fisiologi tersebut.

Akibatnya, paras bilirubin di dalam darah meningkat menyebabkan masalah kuning yang dimanifestasikan pada kulit dan mata pesakit.

Oleh sebab itu, pemeriksaan doktor penting bagi mendapatkan diagnosis yang tepat sebelum rawatan.

#5 Gatal kulit tanda penyakit hati

Pengumpulan bilirubin yang menyebabkan kulit menjadi kuning juga boleh menyebabkan rasa gatal. Kebiasaannya penghidap tidak menganggap gatal kulit sebagai gejala serius.

Namun, kegatalan yang berkait dengan penyakit hati kebiasaannya agak teruk hingga kualiti hidup turut terjejas.

#6 Kembung perut dan sesak nafas

Tanda penyakit hati seterusnya, apabila cecair berkumpul di dalam abdomen (turut dikenali sebagai asites), ia boleh menyebabkan masalah kembung perut.

Keadaan ini boleh berpunca daripada masalah kanser hati dan ia boleh menolak naik otot diafragma yang terlibat dalam mekanisme pernafasan.

Kesannya, mereka yang mengalami turut berisiko mendapat simptom sesak nafas.

#7 Penurunan atau pertambahan berat badan

Penghidap kanser boleh mengalami masalah penurunan atau pertambahan berat badan sebagai antara tanda penyakit hati.

Pertambahan berat badan bukan berpunca daripada peningkatan selera makan tetapi disebabkan oleh masalah asites.

Penurunan berat badan pula boleh dialami kesan daripada selera makan yang semakin menurun.

Secara klinikalnya, kehilangan berat badan melebihi 5% daripada nilai berat badan asal tanpa usaha (diet atau senaman) selama 6 hingga 12 bulan dianggap signifikan.

tanda penyakit hati

Komplikasi

#1 Kurang sel darah merah (anemia)

Masalah anemia yang dialami pesakit kanser hati berpunca daripada masalah kekurangan faktor pembeku dalam darah.

Oleh sebab hati merupakan organ yang membekalkan faktor pembeku utama badan, ia boleh mengganggu proses fisiologi tersebut hingga menyebabkan pendarahan dalaman boleh berlaku tanpa sedar.

Simptom yang boleh dialami oleh penghidap termasuklah kelesuan, berdebar-debar, pucat, pening kepala dan masalah sukar bernafas.

tanda penyakit hati

#2 Saluran hempedu tersumbat

Hati merupakan organ yang menghasilkan jus hempedu. Ia merupakan komponen penting dalam pencernaan makanan berlemak.

Apabila terdapat ketumbuhan yang boleh menghalang laluan jus hempedu untuk masuk ke dalam usus kecil, saluran tersebut boleh tersumbat.

Kesannya penghidap boleh mengalami kesakitan yang amat pada abdomen sebelah kanan, muntah, loya dan jaundis.

#3 Pendarahan

Tanda awal bagi komplikasi pendarahan dalam masalah kanser hati kebiasaannya tercetus ketika penghidap memberus gigi atau hidung berdarah.

Oleh sebab hati tidak lagi berupaya untuk menghasilkan faktor pembeku yang mencukupi, maka pendarahan boleh berlaku sehingga terjadinya anemia.

Apa yang lebih serius adalah pendarahan dalaman boleh terjadi tanpa pengetahuan penghidap jika kanser sudah di tahap teruk.

#4 Komplikasi hipertensi portal

Portal merupakan istilah yang merujuk kepada saluran darah yang terdapat pada organ hati.

Apabila ketumbuhan berlaku, ia boleh menghalang aliran darah terutamanya pada saluran portal yang kecil.

Akibatnya, tekanan pada saluran darah tersebut meningkat dan melarat sehingga mempengaruhi saluran darah pada permukaan esofagus.

Oleh sebab saluran vena pada esofagus lebih lemah berbanding saluran portal pada organ hati, ia boleh menyebabkan saluran tersebut pecah.

Keadaan ini mengakibatkan fenomena pendarahan yang boleh mengancam nyawa berlaku pada saluran esofagus.

#5 Paras kalsium dalam darah meningkat

Kanser hati boleh mengakibatkan perubahan kompleks pada mekanisme penyimpanan kalsium di dalam badan.

Perkara ini boleh menyebabkan jumlah kalsium di dalam darah meningkat sehingga menyebabkan tanda penyakit hati seperti loya, muntah dan lemah badan.

Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan koma dan akhirnya mati.

Konklusi

Jika dilihat secara objektif, diagnosis bagi masalah kanser hati tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Ia memerlukan pemeriksaan teliti oleh doktor serta ujian makmal bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.

Penyakit kanser hati kebiasaannya didiagnosis pada tahap lewat memandangkan penghidap tidak mengalami simptom atau tanda pada peringkat awal.

Sekiranya anda mempunyai faktor risiko seperti jangkitan hepatitis kronik, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat kesihatan berkaitan dengan rawatan dan cara menurunkan risiko kanser hati.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 12/08/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor