Pernahkah anda terfikir, adakah objek awam di sekeliling kita selamat untuk disentuh? Tambah lagi, ketika wabak COVID-19 masih belum berakhir, pasti masih ramai yang ragu-ragu menyentuh sebarang permukaan. Manakan tidak, objek awam sebegini boleh menjadi punca kita terkena penyakit berjangkit.
Malah, mereka yang peka dengan keadaan sekeliling pasti sentiasa membawa pensanitasi tangan di dalam beg masing-masing.
Jika tidak pun, ramai yang akan terus cuci tangan sejurus tiba di rumah untuk elakkan sebarang penyakit daripada menjangkiti ahli keluarga yang tersayang.
Tetapi, adalah objek-objek di tempat awam boleh menjadi punca penyakit berjangkit?
Sebagai contoh, butang lif, tombol pintu dan sebagainya sudah terbukti dapat menyebarkan bakteria atau virus penyebab penyakit kepada orang ramai.
Namun, bagaimana pula dengan objek seperti pen yang digunakan di bank atau barang-barang di kedai serbaneka? Adakah semua barang ini mampu membuatkan anda jatuh sakit?
Jika ingin tahu lebih lanjut, jom ikuti kupasan kami di bawah.
Baca lebih lanjut tentang Habit Sihat di sini.
Pen, pensel punca penyakit berjangkit?
Bolehkah kita dijangkiti penyakit berjangkit jika berkongsi pen atau pensel di tempat awam seperti bank, hospital atau restoran?
Jawapannya adalah ya.
Jika seseorang yang berpenyakit menyentuh objek tersebut dan mempunyai kuman pada tangan mereka, ada risiko untuk penyakit tersebut menjangkiti orang lain asalkan kuman di permukaan objek tersebut masih hidup.
Malah, jika anda menyentuh objek tersebut lalu memegang pula mulut, hidung atau mata, besar kemungkinan anda akan dijangkiti penyakit tersebut tanpa sedar.
Sebab itulah pemakaian pelitup muka amat penting untuk memerangi penyakit berjangkit dan juga wabak COVID-19. Selain itu, kerajaan juga selalu menasihati agar kita tidak menyentuh muka sehinggalah kita mencuci tangan.
Kuman boleh menjangkiti dari satu individu ke individu yang lain apabila pesakit batuk, bersin atau bercakap. Titisan kecil yang keluar daripada badan pesakit boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada dalam jarak 3 kaki.
Malah, bakteria ini juga boleh hidup dalam masa yang lama di atas permukaan ini. Walaupun kuman ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, itu bukan bermaksud ia tidak wujud!
Di mana kuman bersembunyi?
Selain di atas permukaan pen atau pensel, ada banyak lagi permukaan lain yang boleh menjadi tempat persembunyian semua mikroorganisma yang menyebabkan penyakit berjangkit.
Sebagai contoh, kuman boleh hidup di atas objek seperti:
- Tombol pintu
- Butang lif
- Pili air
- Butang pin di ATM, stesen minyak dan sebagainya
- Troli membeli-belah
Objek-objek di atas merupakan antara contoh barang atau objek yang boleh menjadi rumah kepada ribuan kuman.
Bayangkanlah, berapa ramai yang menyentuh objek ini setiap hari. Malah, sebelum anda menggunakannya, mungkin objek ini telah digunakan oleh berpuluh-puluh lagi manusia lain.
Cara yang terbaik untuk mengelakkan sebarang penyakit berjangkit melalui permukaan ini adalah dengan melakukan sanitasi menggunakan tisu pensanitasi sebelum anda menyentuhnya.
Walau bagaimanapun, langkah ini mungkin sukar untuk dilakukan di tempat awam.
Paling mudah, elakkan menyentuh objek ini secara terus. Gunakan tisu atau kain sebagai alas di antara tangan anda dan juga permukaan tersebut.
Selain itu, jangan lupa cuci tangan atau gunakan hand sanitiser sebelum dan selepas menggunakan barang-barang tersebut ya!
Pastikan tangan sentiasa bersih untuk elak penyakit berjangkit
Tangan anda mungkin nampak bersih, namun ia mungkin menjadi tempat tinggal pelbagai kuman yang berbahaya, lebih-lebih lagi jika anda sedang sakit.
Jika anda tidak sihat atau demam, duduk rumah dan elakkan pergi ke tempat kerja atau sekolah. Selain itu, elakkan memegang mata, hidung atau mulut anda.
Selalulah cuci tangan dengan sabun selama sekurang-kurangnya 20 saat atau menggunakan pensanitasi tangan untuk melindungi diri anda dan orang lain daripada penyakit berjangkit.
Sabun dan alkohol di dalam cecair pensanitasi tangan boleh membunuh virus yang menyebabkan penyakit. Paling penting, pastikan anda sentiasa basuh tangan:
- Selepas batuk atas bersin.
- Selepas menggunakan tandas.
- Sebelum dan selepas makan.
- Selepas membuang sampah.
Kesimpulan
Kuman ada di mana-mana sahaja di sekeliling kita.
Langkah yang terbaik untuk melindungi diri kita daripada dijangkiti penyakit berjangkit adalah dengan cara menjaga kebersihan diri dan melakukan langkah pencegahan untuk menghentikan penyebaran kuman.
Walau bagaimanapun, jika anda terlalu takut dengan kuman sehinggakan ia mengganggu kehidupan harian, ini mungkin tanda penyakit!
Oleh sebab itu, mereka yang sanggup membersihkan objek-objek sekeliling secara keterlaluan perlu berjumpa doktor untuk diagnosis yang lebih lanjut.
[embed-health-tool-bmi]