Sebagai contoh, alkohol di dalam cecair pensanitasi tangan boleh melerai dan tersejat jika dibiarkan di bawah cahaya matahari.
Perkara ini akan menyebabkan peratusan alkohol di dalam hand sanitiser tersebut berkurang lalu menyebabkan penggunaannya kurang berkesan.
Menurut CDC, pensanitasi tangan perlulah mempunyai sekurang-kurangnya 60% alkohol untuk berfungsi dengan baik.
Semakin tinggi peratusannya, semakin berkesanlah ia dalam mengekalkan tangan anda bebas daripada bakteria dan virus.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah penghalang untuk anda terus menyimpan cecair pensanitasi tangan di dalam kereta.
Cuba letakkan botol tersebut di tempat yang teduh dan jauh daripada sinaran matahari seperti di dalam laci atau di dalam poket belakang tempat duduk.
Hand sanitiser tamat tempoh?

Selain cuaca panas, cuba periksa tarikh tamat tempoh pensanitasi tangan yang anda gunakan sekarang.
Selalunya, cecair ini boleh digunakan selama 2 hingga 3 tahun sebelum ia tamat tempoh.
Walau bagaimanapun, setelah digunakan berkali-kali, mungkin cecair pensanitasi tangan anda sudah menjadi kurang efektif.
Cuba ingat kembali, pernahkah anda tinggalkan penutup hand sanitiser anda terbuka selepas menggunakannya? Jika ya, pensanitasi tangan tersebut mungkin sudah tidak berkesan lagi.
Untuk panduan anda, cecair pensanitasi tangan akan menjadi lebih pekat dan sukar untuk kering jika ia sudah tamat tempoh.
Selain itu, perhatikan juga bau hand sanitiser tersebut. Jika ia sudah berbau pelik, mungkin sudah sampai masanya untuk anda beli botol baharu!
Cecair pensanitasi tangan meletup di dalam kereta?
Pasti ramai yang pernah melihat gambar pintu kereta terbakar yang pernah viral di laman sosial suatu ketika dahulu.
Katanya, kebakaran itu berlaku disebabkan hand sanitiser yang ‘meletup’ di dalam kereta. Tetapi, sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut?
Menurut Dr. Jason McKnight daripada Texas A&M College of Medicine, penyimpanan pensanitasi tangan di dalam kereta adalah selamat dan tidak berbahaya.
Malah, alkohol atau ethyl alkohol, dua komponen yang terdapat di dalam pesanitasi tangan hanya akan terbakar jika terdedah pada suhu 600 hingga 700°F (315 – 371°C).
Oleh sebab itu, mustahil kereta akan jadi sebegitu panas walaupun ketika musim kemarau.
Menurut beliau lagi, penyimpanan hand sanitiser di dalam kereta adalah selamat dan tidak akan menyebabkan sebarang kebakaran.
Walau bagaimanapun, untuk kekal selamat, pastikan anda jauhkan pensanitasi tangan daripada punca haba seperti elektrik dan api.
Kesimpulan

Penggunaan pensanitasi tangan amat efektif dan berkesan untuk menghalang penularan virus COVID-19.
Malah, meletakkan sebotol hand sanitiser di dalam kereta sebenarnya merupakan idea yang bijak. Jika diletakkan di tempat yang mudah dilihat, kita akan sentiasa ingat untuk cuci tangan selepas masuk ke dalam kereta.
Walaupun begitu, pastikan hand sanitiser yang digunakan tidak diletakkan di bawah pancaran matahari dan belum tamat tempoh ya. Untuk lebih selamat, simpan di dalam tempat yang tertutup dan redup.
Selain itu, pastikan juga penutupnya ketat dan sentiasa ditutup rapat. Jika tidak, keberkesanannya akan berkurangan.
Bukan itu sahaja, keberkesanan cecair pensanitasi tangan juga bergantung kepada cara penggunaannya.
Pastikan anda letakkan cecair yang mencukupi di atas tapak tangan. Untuk cuci tangan dengan sempurna, pastikan tangan anda basah sebelum menggosoknya sekurang-kurangnya selama 20 saat hingga kering.
Walau bagaimanapun, aktiviti membasuh tangan masih lagi penting untuk mengelakkan jangkitan.
Jika kulit tangan anda selalu kering disebabkan penggunaan pensanitasi tangan, cuba banyakkan membasuh tangan menggunakan air dan sabun.