Seringkali anda hanya memberi tumpuan dalam membersihkan Miss V setelah berhubungan intim bersama suami. Padahal, bahagian tubuh badan lain juga perlu dibersihkan setelah bersetubuh.
Ini kerana, cecair tubuh tidak hanya kelihatan di kawasan kemaluan anda semata-mata. Ia boleh berada di mana-mana kawasan sekitar tempat anda melakukan hubungan seks.
Mengapa ia perlu dibersihkan? Tujuannya untuk mengelakkan sebarang pembiakan bakteria pada tubuh anda.
Selain Miss V, anda juga perlu membersihkan bahagian ini setelah ‘bersama’
Semasa anda ‘bersama’ dengan suami, tubuh badan akan mengeluarkan peluh secara automatik. Selain itu, anda dan pasangan juga mungkin akan meninggalkan beberapa ‘kesan’ lain pada bahagian kemaluan.
Pakar berkenaan hubungan intim atau seks, Anne Hodder menyarankan agar pasangan sentiasa menitik beratkan soal kebersihan setelah ‘bersama’. Soal kebersihan ini perlu diambil berat bagi mengurangkan risiko sebarang jangkitan yang boleh berlaku.
Berikut merupakan antara perkara yang perlu dibersihkan setelah melakukan hubungan intim bersama suami anda.
#1. Bersihkan Miss V anda
Bagi seorang wanita, anda pasti sudah maklum bahawa Miss V semestinya perlu dibersihkan setelah melakukan hubungan intim bersama suami. Rutin seperti ini dapat melindungi anda daripada jangkitan bakteria dan yis pada vagina dan jangkitan saluran kencing.
Perkara ini juga perlu dilakukan oleh kaum lelaki setelah melakukan aktiviti seks. Zakar anda juga perlu dibersihkan secara lembut untuk mengelakkan pengumpulan atau tompokan air mani.
Pembersihan juga bertujuan mengelakkan diri anda daripada risiko dijangkiti penyakit-penyakit berkaitan hubungan kelamin.
#2. Mencuci tangan
Selain daripada Miss V, zakar dan juga sex toy, anda juga perlu membersihkan tangan anda setelah ‘bersama’. Ini kerana, ketika anda melakukan hubungan intim, anda juga mungkin telah menyentuh organ kemaluan pasangan anda. Bakteria boleh membiak jika anda tidak mencuci tangan selepas ‘bersama’.
Bersegeralah mencuci tangan anda bagi menghentikan penyebaran jangkitan yang berisiko untuk berlaku. Cuci tangan anda dengan menggunakan sabun dan air yang mengalir. Sentiasa melakukan kaedah ini setiap kali selepas anda ‘bersama’ pasangan anda.
#3. Membersihkan cadar tilam
Jangan sesekali malas untuk mencuci cadar tilam anda setelah selesai berhubungan.
Menurut Dr. Felice Gersh, seorang Ahli Obstetrik dan Ginekologi, terdapat kemungkinan bahawa air mani, cecair vagina, air liur dan peluh akan turut melekat pada cadar tilam anda.
Beliau turut menyatakan, tiada sesiapa pun yang suka jika terdapat kotoran seperti itu berada pada cadar tilam mereka.
Apatah lagi cadar tilam akan digunakan semula untuk anda tidur.
Terdapat banyak bakteria yang dihasilkan ketika anda melakukan hubungan intim. Oleh sebab itu, anda sangat disarankan untuk segera mencuci dan menggantikan cadar dengan cadar yang lain setelah anda dan pasangan ‘bersama’.
#4. Mencuci seluar dalam setelah melakukan hubungan intim
Adakah anda akan terus memakai semula seluar dalam yang sama setelah selesai bersenggama?
Perkara yang terbaik, anda digalakkan untuk mencuci seluar dalam yang telah digunakan setelah melakukan hubungan intim untuk menjaga kesihatan Miss V anda.
Sewaktu anda dan suami hendak melakukan hubungan seks, biasanya akan terdapat cairan yang keluar daripada organ kemaluan anda. Cecair tersebut boleh membuatkan kemaluan anda menjadi lebih lembap.
Bakteria dan yis sangat mudah membiak pada persekitaran yang lembap. Oleh sebab itu, jangan sesekali lupa untuk mencuci seluar dalam yang telah anda pakai sebelum ini.
Gunakan seluar dalam lain yang kering agar anda terlindung daripada jangkitan bakteria.
Kesimpulannya
Kini anda tahun, bukan Miss V sahaja yang perlu dicuci setelah anda melakukan hubungan intim bersama pasangan anda.
Kawasan dan barang di sekitar anda juga perlu dibersihkan setelah aktiviti seks berlaku bagi mengelakkan sebarang jangkitan bakteria atau yis.
[embed-health-tool-ovulation]