
Sepertimana rakan penulis, dia sering membuang air besar berkali-kali setiap hari setibanya di pejabat kami. Pantang sahaja memakan sesuatu, sejurus kemudian tandas pasti menjadi destinasi utamanya.
Ada individu yang mempunyai kekerapan membuang air besar yang tinggi sehingga berkali-kali dalam sehari, tetapi ada juga yang mungkin membuang air besar sekali dalam sehari atau sekali bagi setiap dua hari. Persoalannya di sini, berapakah kekerapan normal bagi seseorang membuang air besar? Bagi menjawab persoalan ini, anda mungkin mahu membacanya dengan lebih lanjut di bawah ini.
Tiada bilangan tertentu
Untuk pengetahuan anda, sebenarnya tidak terdapat bilangan khusus atau tepat untuk menentukan jika seseorang itu membuang air secara normal. Ia bergantung kepada setiap individu. Sesetengah kajian berpendapat, jika anda membuang air besar tiga kali dalam sehari atau seminggu, ia masih dianggap normal. Kebanyakan individu mempunyai corak pembuangan air besar yang sama iaitu bilangan dan waktu yang sama setiap hari.
Kadangkala, bukanlah kekerapan membuang air tersebut yang menentukan tahap kesihatan seseorang, tetapi konsistensi najis seseorang yang lebih banyak memberi petunjuk. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak membuang air besar lebih daripada tiga hari, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan kepastian berkenaan tahap kesihatan usus dan diri anda.
Faktor yang mempengaruhi kekerapan pembuangan air besar
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kekerapan anda membuang air besar. Antaranya:
- Pengambilan air
- Umur
- Aktiviti yang dilakukan
- Diet atau jenis pemakanan
- Sejarah perubatan
- Penyakit kronik
- Hormon
- Faktor sosial atau persekitaran
Simptom yang perlu diambil berat berkaitan buang air besar
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu atau perkara yang perlu anda perhatikan dan berjumpa dengan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda yang berkaitan pembuangan air besar. Antara simptom-simptom yang perlu diberi perhatian adalah:
- Darah dalam najis. Berjumpa dengan doktor sekiranya anda mendapati sebarang kesan darah yang berwarna merah atau hitam
- Najis berwarna hitam
- Muntah darah. Berjumpa dengan doktor sekiranya anda muntah-muntah dengan kesan darah pada muntah anda
- Tidak membuang air besar lebih daripada tiga hari
- Kesakitan badan yang teruk
- Kehilangan berat badan beserta cirit-birit
- Sering mengalami masalah sembelit
- Kerap cirit-birit dengan najis yang cair
Bagi sesiapa yang mempunyai tabiat seperti rakan penulis, ia mungkin normal bagi anda. Kerana gaya pemakanan dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi kekerapan membuang air besar bagi setiap individu adalah berbeza. Mungkin rakan penulis kerap memakan buah-buahan berserat yang menyebabkannya kerap membuang air, manakala penulis pula menjaga pemakanan dengan mengehadkan pengambilan makanan sebanyak 3 kali sehari. Siapa tahu kan?
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.