backup og meta

Hentikan Stigma Terhadap Pesakit HIV

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    Hentikan Stigma Terhadap Pesakit HIV

    HIV dan AIDS masih lagi menjadi satu stigma dalam kalangan masyarakat. Mereka yang dijangkiti virus HIV seolah-olah seperti najis dan sampah yang tidak layak mendapat tempat dalam masyarakat. Ini adalah kerana ia disebabkan ‘dosa’ yang dilakukan oleh mereka.

    Cara fikir dan fahaman seperti ini adalah salah dan jauh sama sekali dari semangat kemasyarakatan serta ajaran agama Islam. Disebabkan kurang kefahaman dan maklumat mengenai penyakit ini, ramai orang mempunyai salah faham mengenainya serta terhadap penghidap HIV/AIDS.

    Keadaan ini meletakkan mereka dalam situasi terpaksa berhadapan dengan stigma masyarakat. Mereka mungkin mengalami diskriminasi dari mendapatkan pekerjaan, rawatan, dan hidup seperti orang lain.

    Tidak semua pesakit HIV ialah ‘pendosa’

    HIV bukan hanya tersebar melalui hubungan seks dan perkongsian jarum (penyalahgunaan dadah). Ia juga boleh tersebar melalui pemindahan organ, menyusu badan, dan prosedur menderma atau menerima darah.

    Seorang perempuan yang menghidap jangkitan HIV boleh mendapat jangkitan tersebut dari suaminya yang melanggan pekerja seks. Perempuan tersebut tentunya tidak bersalah dalam kes ini.

    Bagi seorang bayi pula, susu ibunya yang mengandungi virus HIV boleh menjangkiti bayi tidak bersalah itu.

    Jika mereka ini juga dilihat sebagai ‘kotor’ dan ‘pendosa’ oleh masyarakat, di manakah keadilan buat mereka untuk mendapat hak yang sepatutnya sebagai anggota komuniti?

    Antara salah faham biasa mengenai HIV dan AIDS ialah jangkitan boleh tersebar melalui sentuhan kulit.

    Ia sama sekali tidak benar!

    Sebaliknya, ia hanya tersebar melalui darah, cecair kelamin, dan susu ibu.

    Kalau pun pesakit HIV tersebut mendapat jangkitan dari perbuatan seks dan penyalahgunaan dadah, peluang harus diberikan untuk mereka bertaubat dan meneruskan kehidupan baru yang lebih sihat. Jika tekanan dan penolakan terus diberikan, kitaran yang sama mungkin berulang dalam kalangan keluarga dan komuniti mereka.

    Pesakit HIV layak dan perlu mendapat rawatan di pusat kesihatan

    Benteng terakhir bagi golongan ini ialah staf kesihatan termasuk doktor, jururawat, dan pembantu perubatan. Pesakit HIV harus diberikan rawatan untuk mencegah penularan virus dan memberikan kehidupan normal bagi pesakit.

    Tiada kaedah yang boleh menyembuhkan HIV, namun ubat-ubatan boleh mengawal simptom dan mencegah penyebaran virus.

    Menghukum dan mengungkit kisah silam mereka bukan tugas kita. Sebaliknya, berikanlah bantuan dan sokongan agar mereka boleh mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

    Bagi penghidap HIV, banyak kumpulan sosial yang boleh dihubungi sebagai sumber sokongan dan kekuatan buat anda. Antaranya:

    • Yayasan Aids Malaysia.
    • Malaysian Aids Foundation.
    • Jabatan Kebajikan Masyarakat.
    • Baitulmal / Pusat Zakat / Pejabat Agama.
    • Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.
    • Institusi kebajikan untuk pesakit HIV/AIDS.

    Hapuskan stigma, hulurkan bantuan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan