backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Memahami Kitaran Haid Dengan Mudah (1)

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 01/08/2023

    Memahami Kitaran Haid Dengan Mudah (1)

    Kitaran haid adalah satu fenomena yang berlaku ke atas wanita selepas mencapai umur matang.

    Ia adalah penting dalam memastikan fungsi wanita demi mengekalkan kelangsungan generasi manusia di atas muka bumi ini.

    Perubahan hormon yang berlaku dalam tubuh wanita setiap bulan membuatkan keadaan tubuh wanita, khususnya organ reproduktif mereka sesuai untuk menjalankan tugas ini.

    Namun, kadangkala kitaran ini dilihat begitu kompleks dan susah untuk difahami.

    Bahkan, mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang kesihatan wanita juga boleh terkeliru tentang bagaimana kitaran ini berjalan.

    Melalui artikel ini, anda akan menemui penjelasan yang mudah tentang kitaran haid wanita.

    Organ reproduktif wanita

    Secara asasnya, organ reproduktif wanita yang terlibat dalam kitaran ini terdiri daripada ovari, tiub fallopian dan rahim (endometrium).

    kitaran haid

    Kitaran rahim (endometrium) dan ovari serta hormon yang terlibat dalam kitaran haid

    Seperti yang telah dijelaskan, kitaran ini berfungsi menyediakan wanita untuk hamil.

    Bagi memahaminya dengan mudah, ia mengandungi dua kitaran yang berjalan pada waktu yang sama, iaitu kitaran rahim (endometrium) dan kitaran ovari.

    Keseluruhan kitaran ini akan mengambil masa secara kebiasaannya selama 28 hari.

    Kedua-dua kitaran ini dipengaruhi oleh beberapa hormon yang dirembeskan oleh kelenjar yang berbeza.  Ini termasuk:

    • Kelenjar pituitari – hormon FSH (follicle stimulating hormone) dan hormon peluteinan (LH).
    • Kelenjar ovari dan korpus luteum – hormon estrogen dan hormon progesterone

    Ini adalah maklumat asas yang perlu diketahui sebelum memahami kitaran haid wanita.

    Kitaran rahim (endometerium)

    Rahim atau endometrium adalah organ reproduktif wanita yang paling besar.

    Ia berhubung dengan dua tiub fallopian di bahagian atas, serta serviks dan faraj di bahagian bawah.

    Kitaran haid ini terbahagi kepada 3 fasa:

    1. Fasa haid (hari pertama hingga ke-3)

    Ini adalah fasa di mana pendarahan berlaku. Ia disebabkan oleh dinding rahim yang mati dan menjadi sebahagian daripada darah haid. Ia biasanya berlaku selama 3 hingga 7 hari.

    2. Fasa proliferatif (hari ke-4 hingga ke-14)

    Fasa ini berlaku selepas pendarahan berhenti (antara hari ke-4 dan 8). Hormon utama bagi fasa ini adalah hormon estrogen, di samping hormon FSH dan LH.

    Hormon FSH yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari merangsang rembesan estrogen oleh ovari.

    Estrogen seterusnya menyebabkan penebalan pada dinding rahim. Penebalan akan terus berlaku sehingga hari ke-14, di mana hormon LH akan dirembeskan dalam jumlah yang tinggi.

    Keadaan ini akan menyebabkan proses ovulasi berlaku di mana ovum dilepaskan oleh ovari (kilang telur wanita). Pelepasan ovum ini menandakan berkahirnya fasa proliferatif.

    3. Fasa sekretori (hari ke-15 hingga ke-28)

    Selepas berlaku proses ovulasi, bermulalah fasa sekretori iaitu pada hari ke-15. Hormon utama bagi fasa ini adalah progesterone.

    Rumah di mana ovum yang dilepaskan berada di dalamnya akan membentuk sesuatu yang dikenali sebagai korpus luteum yang akan merembeskan hormon progesterone.

    Fasa ini menyebabkan peningkatan pada penghasilan salur darah serta kelenjar di dalam dinding rahim.

    Pengeluaran mukus juga meningkat bagi menyediakan rahim untuk proses implantasi jika berlaku pensenyawaan.

    Korpus luteum akan kekal selama 14 hari (sehingga hari ke-28).

    Jika tiada pensenyawaan dan implantasi berlaku, ia akan mengecut, seterusnya menyebabkan kadar progesterone menurun secara mendadak.

    Keadaan ini akan menyebabkan salur darah menjadi kejang (spasma) sehingga saluran darah kepada dinding rahim yang mengandungi oksigen dan nutrien berkurang.

    Sel-sel dinding rahim akan mati dan berlaku pendarahan.

    Apabila pendarahan berlaku, kitaran ini akan bermula semula daripada fasa haid.

    kitaran haid

    Sambung baca di Memahami Kitaran Haid Dengan Mudah (2).

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 01/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan