“Nini, fibroid rahim dengan polip itu bahaya ke? Aku risaulah dengan kitaran haid aku sekarang“, rungut Ana kepada teman sekerjanya.
Pendarahan lebat semasa haid haruslah diambil berat oleh para wanita. Banyak keadaan yang menjurus kepada simptom ini seperti fibroid rahim dan polip rahim.
Namun, biasanya ramai yang menganggap kedua-dua keadaan ini sama.
Tahukah anda, salah satunya berupaya untuk berkembang menjadi kanser rahim? Teruskan membaca artikel ini yang akan mendedahkan perbezaan fibroid rahim dan polip rahim.
Apakah itu fibroid rahim?
Fibroid rahim, atau istilah perubatannya leiomyoma merupakan ketumbuhan jinak, dalam bentuk tunggal atau berganda yang boleh tumbuh merata-rata di dinding atau otot rahim.
Selalunya, fibroid rahim akan dialami oleh wanita lingkungan umur 18 hingga 50 tahun, di mana sistem peranakan masih subur.
Kajian mendedahkan secara puratanya 20% wanita dalam lingkungan umur tersebut mengalami fibroid rahim dan ketumbuhan ini selalunya mengecut selepas menopaus.
Punca fibroid rahim masih belum ditemui namun pengkaji beranggapan bahawa ia terjadi oleh beberapa faktor seperti perubahan genetik dan hormon.
Fibroid merangkumi sel otot dan tisu penyambung berserat (fibrous connective tissue).
Penggabungan komposisi ini yang memberi pelbagai simptom seperti sakit di pangkal rahim, senggugut, masalah pendarahan tidak normal dan sakit ketika bersenggama.
Fibroid terdiri daripada beberapa jenis mengikut lokasi, seperti :
- Submukus: Asal ketumbuhan daripada bawah salutan rahim, menjalar ke dalam rahim.
- Intramural: Ketumbuhan dalam dinding otot rahim.
- Subserus: Terbentuk di lapisan luar dinding rahim.
- Pedunkal: Boleh muncul sebagai benjolan bertangkai di dinding luar rahim atau dalam rahim, dan mampu menjalar ke pangkal rahim.
Apakah itu polip rahim?
Polip rahim sebaliknya lebih serius berbanding dengan fibroid kerana sebanyak 5% kes berpotensi untuk menjadi kanser jika tidak dirawat dengan segera.
Polip ialah ketumbuhan dalam bentuk benjolan di lapisan rahim (endometrium) yang biasanya mempengaruhi wanita usia 40 tahun ke atas.
Keadaan ini terjadi apabila kadar lapisan rahim tumbuh secara tidak normal dan berlebihan.
Polip kerap tumbuh di dalam rahim, namun boleh dijumpai di pangkal rahim juga. Saiz polip juga berbeza, boleh bermula sebesar biji bijan sehingga ke saiz sebiji bola golf!
Punca sebenar polip masih tidak dikenal pasti, namun saintis yakin bahawa ia berkaitan dengan tahap hormon wanita.
Polip lebih kerap ditemui dalam kalangan wanita yang obesiti, hipertensi dan mengambil rawatan kanser payudara.
Perbezaan fibroid dan polip rahim
Perbezaan utama antara kedua-dua keadaan ini ialah komposisi tisu yang membentuk ketumbuhan tersebut.
Seperti dinyatakan di atas, fibroid terdiri daripada tisu otot dan tisu penyambung berserat, manakala polip daripada tisu lapisan rahim.
Fibroid jarang sekali berkembang menjadi kanser, tetapi simptomnya lebih parah berbanding polip.
Walaupun berbeza, namun kedua-dua keadaan ini mempunyai persamaan juga.
Jenis ketumbuhan ini jarang sekali meragut nyawa, namun ingatlah bahawa kepentingan informasi yang tepat bagi membantu pencegahan dan rawatan.
Tanda dan simptom fibroid dan polip rahim
Jadual di atas meringkaskan tanda dan simptom untuk kedua-duanya.
Jika diteliti, simptomnya hampir sama tetapi tanda polip rahim lebih kepada pendarahan, manakala fibroid rahim mendorong ke arah ketidakselesaan dan kesakitan.
Salah satu persamaan antara kedua-dua kondisi ini ialah perkembangan mereka sukar untuk diramal. Kedua-duanya berbeza dari sudut saiz, bilangan dan lokasi.
Oleh sebab terdapat pelbagai punca dan risiko mengenai kedua-dua ketumbuhan ini, diagnosis sukar sekali dicapai tanpa bantuan ultrasonografi.
Rawatan dan pencegahan
Selepas diagnosis, tidak semua wanita akan menerima rawatan selanjutnya. Rawatan tidak diperlukan sekiranya saiz fibroid atau polip kecil dan tidak mempunyai simptom.
Rawatan akan diambil kira sekiranya simptom mengganggu kehidupan harian, ketumbuhan tumbuh cepat dan besar, umur wanita dan merancang untuk beranak.
Ringkasan rawatan boleh dilihat dalam rajah di bawah:
Mencegah lebih baik daripada merawat
Kepada para wanita, anda haruslah peka akan kesihatan anda.
Anda boleh membuat pemeriksaan rutin bersama pakar ginekologi anda. Selain itu, pemakanan dan gaya hidup sihat memainkan peranan yang penting juga untuk tubuh badan kita.
Sekiranya anda mempunyai simptom di atas dan risau akan keadaan anda, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut.
[embed-health-tool-ovulation]