backup og meta

Bukan Lobak Merah Sahaja Baik Untuk Mata Anda, Cuba Juga Makanan Ini!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 08/12/2023

    Bukan Lobak Merah Sahaja Baik Untuk Mata Anda, Cuba Juga Makanan Ini!

    Mata merupakan pancaindera yang penting dan anugerah paling berharga dalam kehidupan kita. Adalah amat penting untuk anda mengamalkan tips mata sihat dalam kehidupan seharian bagi menjamin kesihatan tubuh badan yang berpanjangan.

    Sama seperti badan, mata kita memerlukan pemakanan tertentu untuk mengekalkan kesihatan mata secara menyeluruh. Namun begitu, apa sebenarnya makanan untuk mata sihat yang anda boleh cuba?

    Teruskan pembacaan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mata, anda boleh klik di sini.

    Mengapa tips mata sihat penting?

    Ahli Optometri dan Pengurus Latihan Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd, Vivien Lee berkata, pilihan pemakanan yang betul dapat membantu memelihara kesihatan mata yang optimum.

    Menurutnya, antara makanan yang baik untuk mata adalah telur, ikan, kacang badam, avokado, brokoli, bluberi, bayam, lobak merah, limau, keju kotej, bawang putih dan kekacang.

    makanan untuk mata sihat

    Setiap makanan mengandungi nutrisi yang berbeza untuk mata.

    Contohnya, kumpulan makanan zeaxanthin dan lutein yang ada dalam sayuran hijau, telur, serta buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna dapat merendahkan risiko untuk kemerosotan makula dan katarak.

    “Asid lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan dan kekacang juga adalah salah satu nutrien yang ‘mesra-mata’. Pengambilan asid lemak ini dapat membantu perkembangan visual dan fungsi retina,” katanya yang ditemui semasa pelancaran Hari Penglihatan Sedunia 2018 yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini.

    Vivien berkata, pengambilan vitamin A, C dan E juga amat penting untuk kesihatan mata, di mana vitamin A dapat membantu melindungi permukaan mata (kornea) dan penting untuk penglihatan malam.

    Vitamin C pula bertindak sebagai antioksidan yang merendahkan risiko katarak dan melambatkan kemerosotan makula atau umur yang berkaitan dengan kehilangan penglihatan, sementara vitamin E berfungsi untuk melindungi mata daripada kerosakan radikal bebas pada tisu.

    Ujarnya lagi, zink juga adalah nutrien penting yang membantu vitamin A mencipta pigmen yang dipanggil melamin, yang melindungi mata anda daripada sinaran ultra-violet (UV).

    Pengambilan antioksidan juga membantu mengekalkan penglihatan yang baik selain mengurangkan risiko penyakit keradangan kulit.

    Antioksidan juga tinggi kandungan asid anthocyanins dan phenolic yang membantu melewatkan kesan penuaan. Sumber baik untuk anthocyanins boleh didapati daripada bluberi,” katanya.

    Apa pula rawatan lain?

    Selain pengambilan makanan yang sihat, kesihatan mata juga boleh dikekalkan menerusi pemeriksaan mata secara berkala iaitu pada setiap 6-12 bulan sekali.

    Pencahayaan yang sempurna dan mengerdipkan mata dengan kerap juga membantu penjagaan mata anda.

    Memakai cermin mata hitam pada waktu cerah terutama apabila berada di bawah sinaran matahari juga merupakan tips mata sihat yang anda boleh cuba.

    Pelarasan jarak juga penting terutama jika anda sedang membaca, menggunakan gajet ataupun komputer.

    tips mata sihat

    Bagi mereka yang bekerja di hadapan komputer, anda digalakkan untuk berhenti sekejap selepas 20 minit menggunakan komputer dan memandang apa-apa benda yang berwarna hijau seperti pokok.

    Cara ini dapat membantu anda untuk merehatkan mata. Tips mata sihat yang lain adalah dengan melakukan senaman mata.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 08/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan