Asam Jawa, Bagus Untuk Kesihatan Dan Kecantikan

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 02/07/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Anda pasti pernah terdengar atau terbaca mengenai asam jawa bagus untuk tubuh badan kita terutamanya buat kesihatan oral dan kecantikan kulit. Pun begitu, mungkin ramai lagi yang belum tahu mengenai manfaatnya yang lain buat kita. Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu asam jawa?

Asam jawa atau turut dikenali sebagai celagi adalah sejenis tumbuhan saka malar hijau yang menghasilkan buah asam. Menurut kajian sejarah, antara penemuan terawalnya adalah di Senegal, Afrika. Buktinya, ibu negeri Senegal diberi nama Dakar yang membawa maksud ‘pokok asam jawa’ dalam bahasa tempatan. Bukan setakat di situ sahaja, pokok ini juga mula tersebar dan terkenal di wilayah Afrika sehingga menjadikannya antara tumbuhan semula jadi yang tumbuh meliar di benua itu.

Pokok asam jawa ini mula diperkenalkan ke negara-negara Asia melalui pedagang-pedagang Arab yang singgah ke Asia Tenggara untuk berniaga sambil menyebarkan fahaman agama Islam. India pula adalah negara yang banyak pengeluaran pokok ini sehingga menjadikannya kawasan tanaman dan ladang yang paling luas di dunia. 

Buktinya, hampir sebanyak 250,000 metrik tan asam jawa dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia dan 65 peratus daripadanya adalah hasil tanaman daripada India. Ia juga digunakan untuk pelbagai kegunaan di seluruh dunia. Hampir 3,000 metrik tan daripada pembuatannya telah dieksport ke pelbagai negara di benua Eropah dan Amerika.

Kini, ia tanaman ini mula tersebar luas ke serata dunia termasuklah di negara kita. Di Malaysia, ia ditanam sebagai pokok tanaman dan juga boleh dijadikan pokok hiasan. Ia sangat terkenal sebagai sejenis ramuan masakan dalam kalangan masyarakat kita terutamanya yang berbangsa Melayu. Kebiasaannya, ia akan dibuang hampasnya, dilarutkan ke dalam air dan hanya airnya sahaja yang akan digunakan dalam masakan.

Selain itu, tumbuhan ini juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun ditambah dengan gula untuk dibuat minuman. Pucuk muda mentah atau yang telah dicelur boleh dimakan dengan cencaluk, budu, sambal belacan atau pelbagai lagi pencecah lain bersama dengan nasi. Buahnya pula yang dikupas kulit dan ditumbuk kasar atau dicarik kecil dan dicampurkan dengan sambal belacan, amat sesuai dan sedap dimakan dengan nasi. Rasa buahnya adalah masam bercampur manis manakala daunnya pula sedikit kelat.

Ia juga biasa digunakan untuk menjadi ubat tradisional bagi merawat sakit tekak dan juga batuk. Buktinya, ramai selebriti terutamanya penyanyi mengamalkan minum air asam jawa untuk menjaga suara mereka. Jadi, ternyatalah ia sangat bagus untuk kesihatan oral anda.

Pelbagai nama lain asam jawa

Untuk pengetahuan anda, tanaman ini mempunyai pelbagai gelaran dan nama tempatannya masing-masing. Berikut adalah nama-namanya yang berbeza mengikut negara:

Inggeris: sweet tamarind, tamarind

India: anbli, ambli, chinh, imalii, tamarulhindi

Cina: da ma lin, loa wang zi

Thailand: bakham somkham

Vietnam: me chua

Filipina: sempodok

Jepun: tamarindo

Laos: khaam, kok mak kham

Manakala di Malaysia pula, masyarakat kita terutamanya yang berbangsa Melayu turut mengenalinya sebagai asam, asam kemal, asam kuning atau celagi. Ia sangat sesuai untuk kegunaan masakan harian bagi masyarakat kita. 

Dalam erti kata yang lain, pokok asam jawa sebenarnya merupakan tumbuhan anugerah Tuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan. Walaupun buahnya merupakan komponen utama yang penting untuk kesihatan kita, komponen lain juga sebenarnya tidak boleh diabaikan. Banyak kajian menunjukkan bahawa penggunaan tumbuhan ini boleh dioptimumkan sebaik yang mungkin. 

Malaysia ketika ini mengimport lebih kurang 60 hingga 80 peratus asam jawa dari luar negara terutamanya dari negara India kerana pengeluaran tempatan adalah sangat kurang. Sebenarnya, pokok tumbuhan ini adalah sangat mudah dan cepat untuk dibiakkan. Ia mampu membiak secara tampang atau penyebaran biji benih. Ia memang tahan lama disimpan dan sangat mudah bercambah.

Jika ditanam secara tampang, ia akan berbuah selepas 3 hingga 5 tahun ditanam. Jika ia ditanam secara biji benih pula, ia akan berbuah selepas 6 hingga 8 tahun. Menurut kajian di negara pengeluar asam jawa terbesar di dunia iaitu India, buahnys yang masak biasanya akan dibiarkan di atas pokok sehinggalah kandungan airnya berkurangan sehingga 20 peratus. Selain itu, pokoknya yang matang juga boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 150 hingga 200 kg buah pada masa setahun. 

Sebelum dipetik, dahannya akan digoncang terlebih dahulu untuk tujuan membiarkan buahnya yang telah masak secara semula jadi gugur dan dikutip di tanah. Untuk tujuan pasaran segar pula, buahnya akan dipetik dengan menggunting tangkainya supaya ia tidak mudah rosak. 

Fakta menarik mengenai asam jawa

  • Asam jawa adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga fabaceae yang berasal daripada Afrika
  • Genusnya adalah monotypic taxon dan hanya mempunyai satu spesies sahaja
  • Nama Inggerisnya iaitu tamarind adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu tamar hindi yang bermaksud ‘kurma India’
  • Di Jepun, Colombia, Mexico, Peru, Puerto Rico, Venezuela, Itali, Sepanyol dan Republik Dominikan, ia dikenali sebagai tamarindo
  • Ia tumbuh dengan liar di negara Afrika seperti Sudan, Cameroon, Nigeria dan Tanzania
  • Di Tanah Arab, ia tumbuh dengan liar di Oman terutamanya Dhofar
  • India adalah negara pengeluar asam jawa terbesar di dunia
  • Asam jawa adalah pokok yang tumbuh sederhana dan boleh hidup lama yang mampu mencapai tinggi sehingga 12 ke 18 meter atau 39 ke 59 kaki
  • Daun pokok ini berwarna hijau cerah, berbentuk bujur, berurat daun selari dan kurang daripada 5 cm atau 2 inci
  • Bunganya adalah berukuran lebih kurang 2.5 cm atau 1 inci, lebar, lima kelpak dan berwarna seakan kemerahan dan keorenan
  • Hampasnya yang telah matang boleh dimakan dan memiliki tekstur yang berair dan berjus
  • Di Asia Tenggara, asam jawa digunakan untuk dijadikan sebagai lapik untuk diletakkan di dahi individu yang mengalami demam
  • Ia mungkin akan mendatangkan kesan kepada perut kerana ia tinggi kandungan asid malic, tartaric dan potassium bitartrate
  • Di rumah atau di kuil, terutamanya bagi penginap agama Buddha, hampasnya digunakan untuk membersihkan patung berhala
  • Kayu pada pokoknya boleh dibuat perabot atau pelbagai lagi objek kayu-kayuan
  • Di beberapa negara Asia, ia digunakan sebagai spesies bonsai
  • Bahagian-bahagian padanya dikenali untuk pelbagai manfaatnya yang unik

Khasiat asam jawa untuk kesihatan

Tumbuhan ini yang kaya dengan vitamin, antioksidan dan mineral adalah sangat bagus untuk kesihatan dan kecantikan individu. Berikut merupakan antara manfaat-manfaat asam jawa untuk kesihatan:

#1. Membantu meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan

Untuk pengetahuan anda, tumbuhan ini mengandungi antioksidan yang dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi kita. Disebabkan itu, pengambilannya sangat membantu untuk melindungi kita dari pelbagai jenis penyakit seperti demam, selesema, batuk dan jangkitan virus yang lain-lain.

#2. Membantu menurunkan berat badan

Tumbuhan ini juga sebenarnya mampu membantu meningkatkan tahap metabolisma tubuh badan kita. Oleh itu, pengambilannya dapat membantu individu yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan. Ia mengandungi asid sitrik yang membantu mengurangkan pembentukan lemak dalam tubuh badan. Dalam pada itu juga, pengambilannya juga dapat membantu merangsang produksi enzim-enzim yang dapat mengurangkan penyimpanan lemak di dalam tubuh badan.

#3. Membantu mengurangkan pembengkakan

Tumbuhan ini sangat bagus untuk membantu mengurangkan pembengkakan pada sendi dan otot serta mampu membantu meningkatkan aliran pada darah. Oleh itu, pengambilannya secara rutin juga dapat membantu mengurangkan masalah refluks asam dalam tubuh badan kita.

#4. Membantu mengatasi masalah pencernaan

Tumbuhan ini mengandungi sifat diuretik ringan yang membantu mengatasi masalah pencernaan. Sekiranya anda kerap mengalami sembelit, kekembungan dan kekejangan perut, maka apa kata anda cuba mengambilnya sebagai makanan atau minuman pada setiap pagi. Ini pasti dapat membantu anda untuk membuatkan usus anda menjadi lebih sihat,

Khasiat asam jawa untuk kecantikan

Selain untuk kesihatan, asam jawa juga adalah sangat baik untuk kecantikan individu terutamanya kecantikan kulit. Berikut merupakan antara manfaat-manfaat asam jawa untuk kesihatan:

#1. Mencerahkan kulit

Caranya adalah mudah sahaja, cuba rendam beberapa asam dalam air panas sehingga ia mula berubah menjadi ekstrak. Kemudian, campurkan serbuk kunyit dan sapukan pada kulit wajah atau mana-mana bahagian kulit anda. Tunggu sehingga 10 minit dan bilas bahagian kulit tersebut sehingga bersih. Ulang cara ini sekurang-kurangnya 2 kali seminggu untuk mendapatkan kesan yang lebih maksimum. 

#2. Memutihkan kulit

Ya, putih itu tidak bermaksud cantik manakala hitam pula tidak bermaksud buruk. Pun begitu, jika anda mahu kulit yang lebih putih, tidak salah jika anda mencubanya, bukan? Apa yang anda boleh lakukan adalah campurkan madu dan lemon dalam ekstrak asam dan kemudian jadikannya sebagai jus. Selepas itu, sapukan pada kulit dan bilas selepas 10 minit. Jika anda konsisten melakukannya, kulit anda mungkin akan terlihat lebih putih daripada sebelumnya.

#3. Merawat bahagian kulit yang gelap

Ini adalah masalah yang sering dialami oleh ramai individu terutamanya yang berbadan sedikit gempal. Sekiranya anda memiliki kulit yang gelap di sekitar leher, ketiak, punggung, bawah paha atau mana-mana bahagian kulit sekalipun, cuba gunakan cara ini. Campurkan air mawar dan madu dalam ekstrak asam. Kemudian, sapukan ia pada bahagian kulit yang gelap dan bilas dengan air selepas 15 minit. Anda pasti akan terkejut dengan hasilnya selepas melakukannya beberapa kali.

#4. Menghilangkan selulit

Selulit memang terkenal dengan sifatnya yang degil. Hakikatnya, ia memang sangat sukar untuk dihilangkan. Jadi, apa kata anda cuba cara yang ini pula. Ambil beberapa ekstrak asam, tambahkan sedikit lemon, gula dan serbuk penaik di dalamnya. Kemudian, gosok kulit yang mengalami selulit itu dengan sikat yang telah dicelupkan ke dalam campuran ini. Lakukannya beberapa kali dalam seminggu untuk mendapatkan kesan yang lebih memuaskan.

#5. Mengelupaskan sel-sel kulit mati

Asam mengandungi asid alfa hidroksi yang merupakan bahan yang bagus untuk mengelupaskan sel-sel kulit mati. Ini disebabkan oleh asam memiliki kemampuan semula jadi untuk menghilangkan kotoran yang terjebak di dalam pori-pori kulit. Caranya, ambil beberapa ektrak asam dan satu sudu garam. Kemudian, gaulkannya dengan rata dan sapukan perlahan-lahan pada kulit anda dengan menggunakan jari. Selepas beberapa minit membiarkannya, bilas dengan air bersih. Anda pasti akan berpuas hati apabila semua sel kulit mati akan hilang daripada kulit anda.

#6. Mengelakkan masalah rambut gugur

Bukan sahaja untuk kulit, ia juga sebenarnya adalah sangat bagus untuk rambut anda. Asam dapat membantu anda mengurangkan rambut gugur dan rosak. Caranya, urutkan kulit kepala anda dengan asam yang sudah diekstrak dan balutkan kepala anda dengan kain tuala. Selepas 15 minit, cuci rambut anda dengan syampu dan perapi rambut. Jadikannya ia sebagai rutin mandian anda untuk menguatkan lagi rambut anda.

#7. Mencegah penuaan

Dan sudah pasti, asam dapat membantu mencegah penuaan daripada terlihat dan terkesan kepada anda. Ini kerana ia mengandungi vitamin, serat, asam dan antioksidan yang sangat bagus untuk kulit terutamanya. Caranya, campurkan ekstrak asam dengan madu, adunkan dan sapukan ia pada bahagian tubuh badan yang mula menunjukkan penuaan.

Jadi, terbuktilah bahawa asam jawa sememangnya mempunyai 1001 manfaat buat kesihatan dan kecantikan individu.

Siapa yang sebaiknya tidak mengambil asam jawa?

Walaupun mereka adalah golongan yang rugi, pun begitu lebih baik ia dielakkan untuk mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku. Berikut adalah kondisi yang membuatkan anda tidak seharusnya memakan atau minuman tumbuhan ini:

Wanita hamil dan sedang menyusukan anak

Walaupun masih terdapat banyak kekeliruan mengenai kesan tumbuhan ini kepada wanita hamil dan sedang menyusukan anak, satu hal adalah pasti. Satu cawan ekstrak tamarindus indica mengandungi 3.36 mg zat besi yang merupakan 12 peratus daripada 27 mg zat besi yang diperlukan oleh wanita hamil pada setiap hari. 

Seperti yang diketahui umum, zat besi adalah sangat penting untuk membantu meningkatkan isi padu darah. Akan tetapi ia juga akan menyebabkan peningkatan risiko bayi lahir kurang berat atau kelahiran bayi pramatang akibat terlebih pengambilan zat besi.

Penderita diabetes

Tumbuhan ini mampu membantu mengurangkan kadar gula dalam darah. Namun disebabkan itu, ada individu yang khuatir kebolehan ini mampu menganggu kawalan gula dalam darah sehingga ia menjadi terlalu rendah. Sebenarnya, ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaiknya, pantau kadar gula dalam darah anda dengan lebih ketat. Selain itu, perhatikan juga kesesuaian ubat dan dos yang sering anda gunakan. Selepas itu, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum anda menggunakan apa-apa suplemen berkaitan dengan asam jawa.

Individu yang akan melakukan apa-apa pembedahan

Sebelum melakukan apa-apa operasi pembedahan, anda seharusnya tidak mengambil asam jawa. Ini kerana ia mampu mengganggu kawalan gula dalam darah selama dan selepas anda melakukan pembedahan tersebut. Sebaiknya, hentikan apa-apa penggunaannya sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum anda melakukan apa-apa pembedahan.

Konklusi

Konklusinya, asam jawa adalah antara tumbuhan yang sangat bagus untuk kesihatan dan juga kecantikan tubuh badan kita. Di negara kita, ia sudah tidak lagi asing untuk dijadikan salah satu menu dalam makanan kita. Rasanya yang unik menjadikannya sebagai pelengkap sesuatu hidangan yang lain. Bukan itu sahaja, ia juga boleh dijadikan minuman penyegar dahaga yang sangat sedap.

Pun begitu, anda perlu sedikit berhati-hati ketika mengambilnya kerana ada beberapa golongan individu yang disarankan untuk tidak mengambilnya ketika berlaku sesuatu situasi seperti yang telah diperkatakan. Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda mengenali tumbuhan ini dan mengetahui setiap manfaat yang dibawanya sama ada untuk kesihatan atau kecantikan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Rawatan Dan Pencegahan Untuk Kanser Perut, Jangan Terleka Dengan Pemakanan Yang Tak Sihat

    Ada pelbagai cara untuk merawat atau menghilangkan sakit akibat kanser perut. Selalunya, rawatan yang sering digunakan ialah terapi dan pembedahan.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 6 minit bacaan

    Ada 19 Faktor Risiko Yang Boleh Menyebabkan Kanser Perut, Ubah Gaya Pemakanan Anda Sekarang!

    Anda selalu sakit pada bahagian perut? Mungkin punca dan penyebab rasa sakit perut yang anda alami mungkin disebabkan oleh kanser perut!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 5 minit bacaan

    Usah Risau Jika Anda Didiagnosis Dengan Kanser Perut, Ini Semua Pemeriksaan Yang Boleh Dibuat

    Doktor akan melakukan pemeriksaan atau ujian pada kawasan perut untuk mengesan kehadiran kanser. Artikel ini akan mengupas rawatan kanser dengan lengkap.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 5 minit bacaan

    Alami Sakit Perut Keterlaluan? Kenali 11 Simptom Kanser Perut Yang Mungkin Terlepas Pandang

    Kanser perut mempunyai pelbagai tanda dan simptom yang anda perlu ketahui. Salah satu simptomnya ialah sakit perut yang berpanjangan.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 5 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    hari polio sedunia

    Malaysia Pernah Jadi Negara Bebas Polio, Tapi Jangan Anggap Kita Sudah Selamat, Wajib Ambil Vaksin!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 3 minit bacaan
    bahan masakan

    Nak Makanan Sedap Tapi Perlu Kawal Gula, Lemak? Pesakit Diabetes Boleh Guna 13 Bahan Ini

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 3 minit bacaan
    nasi konjac

    Ingin Cepat Kurus Dengan Cara Yang Sihat? Gantikan Nasi Dengan Konjac Bermula Hari Ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 3 minit bacaan
    tumbuh jambang

    Lelaki Kurang Jantan Jika Tiada Janggut, Benarkah Ada Kaitan Dengan Hormon Testosteron?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 21/10/2020 . 3 minit bacaan