Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Herpes Bibir Bukan Main-Main, Ini Punca Sebenar & Cara Elak Berjangkit
Punca herpes bibir selalunya disebabkan oleh jangkitan virus herpes simplex type 1 (HSV-1) yang mudah berjangkit melalui sentuhan langsung. Jangkitan ini boleh berlaku melalui ciuman, perkongsian alat makan, atau menyentuh luka herpes orang lain. Virus ini kekal dalam badan seumur hidup dan boleh berulang apabila sistem imun lemah.
Dalam masyarakat, isu berkaitan herpes di bibir sering dipandang remeh. Namun baru-baru ini tular di media sosial tentang pempengaruh yang mengalami jangkitan herpes di bahagian bibirnya yang didakwa berpunca daripada pasangan.
Walaupun kes ini menjadi perbincangan hangat, penting untuk kita memahami fakta sebenar tentang punca herpes bibir dan cara ia boleh tersebar.
Untuk mendapatkan lebih lanjut tentang Penyakit Berjangkit, klikdi sini.
Apa yang berlaku dalam kes herpes bibir yang tular?
Herpes di sekitar mulut.
Baru-baru ini, tular isu di media sosial mengenai seorang pempengaruh wanita yang berkongsi pengalaman dijangkiti herpes pada bibir selepas berhubung rapat dengan suami.
Kejadian ini menjadi perhatian ramai kerana tindakannya yang mewar-warkan tentang jangkitan kelamin yang tidak sepatutnya diketahui umum.
Di sebalik isu ini, sebenarnya masih ramai yang tidak sedar bahawa punca herpes bibir boleh berkait rapat dengan amalan kebersihan dan aktiviti seksual.
Apa yang boleh dipelajari dari kes ini ialah penting untuk mengetahui saluran jangkitan herpes dan bagaimana kita boleh mengurangkan risiko penularan, khususnya dalam hubungan rapat suami isteri.
Tanda herpes di bibir
Tanda herpes di bibir biasanya mudah dikenali tetapi sering disalah anggap sebagai ulser atau luka biasa. Antara simptom yang perlu diperhatikan adalah:
Rasa gatal, panas atau berdenyut di kawasan bibir sebelum luka muncul
Muncul lepuh kecil berisi air di bibir atau sekitarnya
Luka meletup dan membentuk kerak
Rasa sakit atau pedih pada luka
Kadang-kadang disertai dengan demam dan kelenjar bengkak
Jika mengalami tanda-tanda ini, jangan pandang ringan kerana herpes boleh merebak dengan mudah kepada orang lain jika tidak dikawal.
Cara merawat herpes di bibir
Contoh jangkitan herpes.
Cara merawat herpes di bibir bergantung pada tahap jangkitan. Walaupun tiada ubat untuk menghapuskan virus sepenuhnya, rawatan boleh membantu mempercepatkan penyembuhan dan mengurangkan simptom.
Beberapa cara merawat yang disarankan:
Gunakan krim antivirus: Biasanya mengandungi acyclovir atau penciclovir yang boleh disapu terus pada luka
Pengambilan ubat oral: Ubat antiviral seperti valacyclovir atau famciclovir yang disarankan oleh doktor
Amalkan kebersihan diri: Cuci tangan sebelum dan selepas menyentuh luka
Elakkan sentuhan langsung: Jangan berkongsi alat makan, tuala, atau bercium semasa luka masih aktif
Gunakan pelindung bibir: Untuk mencegah luka merekah atau kering
Rawatan awal sangat penting kerana ia boleh mengurangkan masa penyembuhan dan mengelakkan komplikasi.
Berapa lama herpes di bibir sembuh?
Ramai yang tertanya-tanya berapa lama herpes di bibir sembuh. Secara umumnya, herpes bibir mengambil masa antara 7 hingga 14 hari untuk pulih sepenuhnya.
Fasa penyembuhan herpes bibir biasanya seperti berikut:
Hari 1 – 2: Rasa gatal, panas dan berdenyut pada bibir
Hari 2 – 4: Lepuh kecil berisi air mula muncul
Hari 4 – 6: Lepuh pecah dan mula membentuk kerak
Hari 7 – 14: Luka mula sembuh dan kulit baru terbentuk
Namun, tempoh penyembuhan boleh berbeza bagi setiap individu bergantung kepada sistem imun badan dan sama ada rawatan dimulakan lebih awal.
Ini keadaan herpes apabila ia merebak.
Kesimpulan punca herpes bibir
Jangkitan herpes mulut bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Punca herpes bibir sering kali berkait dengan sentuhan langsung dan kurangnya penjagaan kebersihan diri.
Penting untuk mengenali tanda herpes di bibir seawal mungkin supaya rawatan dapat diberikan dengan cepat.
Ketahui juga cara merawat herpes di bibir dengan betul dan fahami berapa lama herpes di bibir sembuh supaya kita tidak mengambil ringan tentang risiko penularan.
Amalkan langkah pencegahan dan pastikan anda mendapatkan nasihat doktor jika mengalami simptom berkaitan.
Penjagaan diri bermula dari kesedaran. Oleh itu, jangan malu untuk bertanya dan dapatkan rawatan awal.
Kalkulator BMI
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Herpes Simplex Virus (HSV). https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/22855-herpes-simplex. Diakses pada Julai 1, 2025.
Herpes simplex virus. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/herpes-simplex-virus. Diakses pada Julai 1, 2025.
Genital herpes. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/genital-herpes/symptoms-causes/syc-20356161. Diakses pada Julai 1, 2025.
Herpes: HSV-1 and HSV-2. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/herpes-hsv1-and-hsv2. Diakses pada Julai 1, 2025.
Herpes. https://www.teensource.org/std/herpes. Diakses pada Julai 1, 2025.
Versi Terbaru
10/07/2025
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim