Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Banyak yang kita masih tidak tahu berkenaan dengan virus korona baharu (COVID-19) yang kini menjangkiti hampir 200,000 individu di seluruh dunia.
Berikut adalah statistik terkini di Malaysia:
[covid_19]
Apa yang lebih menakutkan adalah beberapa negara sudah mengisytiharkan pelbagai jenis langkah pencegahan drastik. Ia bagi memulihkan keadaan semasa dan memastikan kadar jangkitan tersebut turun.
Suatu ketika dahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menggerakkan amalan cuci tangan secara agresif. Kini, ia masih saranan utama bersama dengan langkah pencegahan baharu iaitu social distancing atau jarak sosial.
Berikut adalah video tentang bagaimana kita boleh melakukan social distancing sendiri di rumah:
https://www.facebook.com/HelloDoktorMY/videos/3475692265791979/
Jadi apa yang termaktub dalam amalan jarak sosial ni? Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Kepentingan amalan jarak sosial dalam mencegah wabak COVID-19 di Malaysia
Amalan jarak sosial tidak dapat membantu merawat mereka yang telah dijangkiti. Walau bagaimanapun, ia merupakan langkah yang baik bagi mengelakkan individu lain daripada dijangkiti.
Salah satu daripada maklumat penting berkenaan dengan penyakit berjangkit adalah nilai R0 (R-naught). Nilai tersebut memperincikan risiko penyebaran kepada beberapa individu lain bagi satu individu yang berjangkit.
Sebagai contoh, bagi virus COVID, nilai R0 adalah pada sekitar 2 hingga 3. Ini bermakna, satu orang berjangkit berisiko untuk menyebarkannya kepada 2-3 individu lain pada satu masa. Berbeza dengan virus influenza yang mempunyai nilai R0 1.3.
Virus yang disebarkan melalui titisan udara seperti COVID tidak berlegar-legar lama di udara. Ia kebiasaannya akan jatuh kira-kira 1 meter daripada kedudukan orang yang bersin atau batuk.
Artikel berkaitan:
Namun, itu bukanlah cara penyebaran utama. Model jangkitan yang sering digunakan bagi membuat kiraan risiko bergantung kepada sentuhan rapat di antara dua individu. Barang bertukar tangan, bersalaman dan berpelukan, ini semua merupakan kaedah penyebaran COVID.
Penyelesaiannya? Sudah tentulah amalan jarak sosial. Ia merupakan satu tindakan bagi meningkatkan jarak fizikal di antara dua individu bagi mengelakkan jangkitan atau tularnya jangkitan (jika anda sumber COVID).
Wabak COVID di Malaysia berada pada tahap yang serius. Peningkatan pada jumlah mereka yang dijangkiti berkait rapat dengan faktor kontak rapat sewaktu menghadiri sesuatu majlis seperti yang terbaru, di Masjid Sri Petaling.
Anda mungkin berminat untuk membaca:
Peristiwa tersebut menunjukkan kepentingan menjaga jarak dalam usaha untuk membasmi wabak COVID di Malaysia. Semakin jauh jarak anda dengan individu lain, semakin sukarlah sesuatu jangkitan untuk bertapak di dalam badan anda.
Langkah amalan jarak sosial untuk basmi virus korona baharu
Berikut merupakan cara-cara bagaimana anda boleh mengurangkan risiko untuk dijangkiti virus korona baharu.
Elakkan jangkitan COVID di rumah
- Basuh tangan secara kerap dan utamakan kebersihan rumah.
- Elakkan daripada memeluk, bersalam atau mencium ahli keluarga yang lain.
- Bersihkan permukaan yang disentuh berulang kali seperti meja makan, dapur, tombol pintu dan kerusi sofa secara kerap.
- Buka tingkap untuk pengudaraan yang lebih baik atau laraskan penyaman udara kepada suhu dan kadar pengudaraan yang bersesuaian.
- Kurangkan daripada membeli barang di kedai (melainkan barang basah dan keperluan masakan). Beli barang secara di atas talian.
- Jika ada ahli keluarga yang sakit, tempatkan dan asingkan mereka di dalam satu bilik.
- Individu sakit dan mereka yang menjaganya perlu memakai topeng muka tiga lapis apabila berada di dalam bilik yang sama.
- Jaga orang tua (mereka yang berusia 65 tahun ke atas) dengan baik. Jika ada individu sakit di dalam rumah, pastikan orang tua ditempatkan jauh dari bilik mereka yang sakit. Sebaiknya, cari tempat tinggal alternatif.
Lindungi diri anda di tempat kerja daripada virus korona baharu
- Jika anda sakit, rehat di rumah dan jangan datang ke tempat kerja.
- Elakkan daripada bersalaman dengan individu lain.
- Jika hendak bermesyuarat, lebih selamat jika anda bermesyuarat menggunakan talian telefon atau konferens video.
- Sediakan sumber untuk cuci tangan yang cukup. Pastikan sabun sentiasa ada, bekalan air tidak dipotong dan hand sanitizer diletakkan di tempat umum untuk digunakan oleh semua orang. Lebih baik jika anda boleh bekalkan hand sanitizer kepada setiap pekerja.
- Makan di meja sendiri atau di luar, mana-mana kawasan bukan tempat orang berkumpul. Jangan kongsi makanan anda.
- Bersihkan meja kerja anda secara kerap.
- Pastikan kawasan kantin atau kafeteria bersih dan mengamalkan cara penyediaan makanan yang baik.
- Batalkan aktiviti luar syarikat atau apa-apa aktiviti yang memerlukan semua pekerja untuk berkumpul.
Lakukan ini untuk elak COVID jika anda masih belajar
Menurut pengumuman berkenaan dengan arahan kawalan pergerakan, semua sekolah dan institut pengajian tinggi awam dan swasta akan ditutup. Sekiranya selepas dua minggu dan tempat anda belajar dibuka kembali, lakukan ini untuk rendahkan risiko jangkitan.
- Jika sakit, elakkan daripada menghadiri kelas.
- Basuh tangan secara kerap ketika berada di tempat belajar.
- Elakkan daripada menyertai apa-apa aktiviti berkumpulan.
- Batalkan perhimpunan mingguan/harian.
- Ajar rakan-rakan atau anak murid (jika anda guru/pensyarah) cara membasuh tangan yang betul.
- Bersihkan kelas atau tempat belajar secara kerap. Jika anda bekerja di perpustakaan, pastikan setiap meja dibersihkan secara teliti. Kain meja perlu dicuci secara kerap.
- Jika boleh, buat sesi pembelajaran di luar kelas.
- Buka tingkap untuk pengudaraan yang baik.
- Pastikan kantin sekolah menyediakan makanan dengan protokol yang mementingkan kebersihan kantin.
Elakkan jangkitan COVID di tempat awam
- Bawa hand sanitizer bersama anda.
- Gunakan sistem pembayaran eDompet.
- Elakkan tempat keramaian.
- Jika anda merupakan pemandu bas, teksi atau Grab, bersihkan kenderaan anda secara kerap.
Semua ini penting kerana virus korona baharu ini boleh kekal di sesuatu tempat dalam masa yang tertentu seperti dalam gambar:
Konklusi
Wabak COVID di Malaysia boleh diatasi dengan amalan jarak sosial. Kadangkala salah satu tanda kita menyayangi seseorang adalah dengan berjauhan daripada mereka.
Pihak kerajaan telah mengeluarkan perintah kawalan pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Patuhi dan bantu kerajaan dalam membasmi wabak COVID yang semakin berleluasa.
[mc4wp_form id=’115319″]
#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus
Baca juga: